Monday, January 31, 2011

Perjuangan di bumi kinanah


Assalamualaikum..

Tempikan takbir bergema. Lautan manusia berarak membawa sepanduk. Tanda protes. Jalan raya dibanjiri lautan manusia, warga mesir yang bertempik menuntut pemerintah yang telah sekian lama berkuasa, turun dari tampuk pemerintahan. Menuntut pembaharuan, sebuah keadilan. Selama ini, rakyat menderita dalam kepayahan, sedangkan pemimpin ralit diulit kemewahan. Berpendapatan tidak sampai separuh dari keperluan, rakyat menanggung penderitaan yang hanya ALLAH yang tahu kepayahannya.
Kebangkitan yang terinspirasi dari pemberotakan di Tunisia ini, tercetus apabila rakyat sudah letih menderita dan mengharap sebuah perubahan. Menuntut kehadiran seorang pemimpin yang benar-benar pemimpin, dan bukan hanya memegang 'title' pemimpin tanpa sekali pun mengambil berat tentang perihal rakyat.

Kesannya, Mesir kini lumpuh. Terumbang-ambing. Ribuan banduan terlepas dari sangkarnya. Kacau bilau. Mesir masih lumpuh. Para perusuh masih belum mahu beralah. Dataran Tahrir terus dibanjiri warga mesir. Kereta kebal masih meniti di kiri dan di kanan jalan. Bekalan makanan terus berkurangan. Harga barangan melambung tinggi.

**********
Aku tidak berada di tempat mereka,
aku di sini, tidak sepayah yang mereka lalui..
berat mata yang memandang,
berat lagi apa yang mereka lalui..

Aku di sini, tidak setabah mereka,
kecekalan mereka tidak mampu ku gapai,
diuji sedikit, aku rebah..
namun mereka, teguh berdiri..
meskipun kepayahan yang menanti..

Mereka bangkit menyingkirkan
seteru ALLAH,
mereka bangkit menyingkirkan
sekutu kepada seteru ALLAH..
Tunisia telah berjaya.
Mesir pula menyusul..
kita pula bagaimana?

Tidak perlu memandang sekeliling,
cukuplah melihat dalam diri kita,
sejauh mana tuntutan syarak kita laksanakan,
sejauh mana kebatilan kita singkirkan..

wallahu'alam,
Wassalam,
anaqi.norysafiqahsaifulanuar

Saturday, January 29, 2011

Aku akur :)


Assalamualaikum,

Mahu atau tidak,
aku perlu akur pada suratan takdir,
DIA telah menentukannya, dan
sudah pasti itu yang terbaik
buat kita semua..

Meskipun payah,
aku relakan jua..

Doaku, semoga kau teguh
di atas landasanNYA..
Di mana pun kau berada,
jauh atau dekat,
Jangan biarkan dirimu jauh dari
PENCIPTA.

Pergimu, kerana mencari ilmu,
membawa satu paradigma buat diri..
sebagaimana kami tidak mampu melupakanmu,
jangan lupa kami di sini :)


Jaga iman, jaga diri
panjang umur, jumpa lagi :)




wassalam,
anaqi. norsyafiqahsaifulanuar :)

Thursday, January 27, 2011

Buat teman :)





Assalamualaikum,..

Coretan kenangan kita bersama,
biarpun masing-masing cuba melupakan,
namun, aku yakin memori itu terus hidup dalam kenangan.

Biarpun engkau dan aku,
sama-sama membawa diri,
menuju haluan yang tersendiri,
namun, kenangan itu tetap di hati..

Aku mencari pengertian,
mengapa kau pergi meninggalkan diri ini,
bersama sekeping potret memori,
cerita indah yang bersemi..

Lama ku mencari,
tak ku temu erti,
berkat petunjuk ILAHI,
aku sedari hakikat hidup duniawi.

Setiap yang bertemu,
pasti akan menemui perpisahan,
Dan, beruntunglah kita,
andai pertemuan dan perpisahan itu keranaNYA :)

Aku tidak menghalang engkau pergi,
Bumi ini milik ILAHI,
Hijrah itu perlu bagi membangunkan diri,
Dan, kalau itu yang terbaik,
Aku relakan hati,
ikhlaskan jiwa,
atas pemergianmu,
mencari puncak jaya..:)

**************
Ahhh! Kenapa menangis?
Aku tidak mahu menangis..
Tapi, aku sedih.

Ya ALLAH, bantu aku menghadapi perpisahan ini.
Aku tahu, itu terbaik buat kami..
Kerana hanya ENGKAU yang mengetahui..

*******
Doa Perpisahan-Brothers
Pertemuan kita di suatu hari
Menitikkan ukhuwah yang sejati
Bersyukurku kehadap Illahi
Di atas jalinan yang suci

Namun kini perpisahan yang terjadi
Dugaan yang menimpa diri
Bersabarlah diatas suratan
Kutetap pergi jua

Kan kuutuskan salam ingatanku
Dalam doa kudusku sepanjang waktu
Ya Alloh bantulah hamba-Mu

Mencari hidayah dari pada-Mu
Dalam mendidikan kesabaranku
Ya Alloh tabahkan hati hamba-Mu
Diatas perpisahan ini


Teman betapa pilunya hatiku
Menghadapi perpisahan ini
Pahit manis perjuangan
Telah kita rasa bersama
Semoga Allah meredhoi
Persahabatan dan perpisahan ini
Teruskan perjuangan

Kan kuutuskan salam ingatanku
Dalam doa kudusku sepanjang waktu
Ya Alloh bantulah hamba-Mu

Senyuman yang tersirat di bibirmu
Menjadi ingatan setiap waktu
Tanda kemesraan bersimpul padu
Kenangku di dalam doamu
Semoga... Tuhan berkatimu

********

Sahabat-Devotees

Ku layarkan kerinduan di lautan memori
Mengimbau kenangan indah yang mengetuk emosi
Masih segar di ingatan saat mesra berputik
Hatimu bawa sinaran cahaya inspirasi

Sahabat...
kau sesungguhnya
Temanku...
dikala suka dan lara

Tika ku buntu
diselubungi sendu
Kau tiupkan ketabahan kuntum
mengukir senyuman

Bagaikan embun
hilang diterbit fajar
Kau pergi jauh mengejar cita
Menggapai redha Yang Esa

Duhai sahabat dengarkanlah
Bicara hatiku ini
Meskipun jarak memisahkan
Namun tiada rentap kasih

Biarlah waktu menetukan
nilai ukhwah yang terjalin
Teruskanlah perjuangan hingga
Ke titisan darah terakhir

Dan aku masih di sini
terus mendaki
puncak tertinggi hidupku

Dan aku terus menanti
saat yang manis
akan berulang kembali

Sahabat...

*********
Sahabat, tetaplah di atas landasanNYA,
teguhlah bertaut pada taliNYA,
Jaga Iman, Jaga diri
Panjang umur, kita jumpa lagi :)

wassalam,
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

Friday, January 21, 2011

Berdoa padaNYA :)



Assalamualaikum..

Alhamdulillah, dengan izin dan rahmatNYA, diri ini masih di sini. Hidup di bumiNYA. Mencari segenap bekalan buat kehidupan di negeri abadi. Tidak mampu ku nafikan, hakikat diri yang sekejap begini, dan sekejap begitu. Punya rahsia hati, punya pendapat tersendiri.

Hati ini tertaut kukuh pada kenangan semalam. Kenangan yang menyubur dalam taman hati. Berbunga harum. Namun, ada kejelekan yang tersembunyi, tanpa aku sedari. Tatkala menyedari hakikat sebuah kehidupan, baru tersedar. Kenangan pahit itu tidak pernah akan hilang meskipun sedetik. Segalanya tetap kukuh dalam diari hati. Walaupun tanpa dipinta, memori itu tetap hadir sebagai peringatan buat mematangkan diri. Ujian hadir bersilih ganti, dan kita tidak akan berjaya andai kita lari dari menghadapinya. Kekuatan itu anugerah ILAHI. Buat hambaNYA, yang tiada berhenti meminta. Saat hati gusar soal itu dan ini, teringat firmanNYA, agar berdoa padaNYA, dan pasti akan dikabulkan oleh NYA.

"Dah doa. Kenapa tak makbul juga?"

Dalam urusan memakbulkan permintaan hambaNYA, ALLAH memakbulkan dengan beberapa cara. Pertama, adalah dengan menangguhkan dahulu. Doanya itu dimakbulkan namun diberi penangguhan kepada waktu tertentu, kerana DIA tahu apa yang terbaik untuk hambaNYA. Kedua, doanya itu dimakbulkan dengan menggantikan permintaan itu dengan sesuatu yang lebih baik. Setiap yang kita inginkan, tidak semestinya yang terbaik untuk kita, dan setiap yang kita benci, tidak semestinya buruk untuk kita. Hanya DIA yang mengetahui hakikat terbaik buat kita. Ketiga, doa itu dimakbulkan dengan penangguhan di akhirat nanti. Tidak memperoleh apa yang kita doakan, tidak bermakna doa kita itu tidak dimakbulkan ALLAH. Sebaliknya, ALLAH menentukan sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang kita pinta. :)

************
ALLAH itu Maha Mengetahui,
DIA mengetahui tiap sesuatu,
Tanpa kita maklumi,
DIA sudah sedia tahu..

***********
Doa bukan memberitahu ALLAH apa yang kita mahu, kerana tanpa diberitahu juga, ALLAH sudah sedia maklum tentang kemahuan kita. Doa adalah pengabdian. Doa menunjukkan kita mempunyai pergantungan dan pengharapan kepada ALLAH. Doa menunjukkan kita mengharapkan redha dan rahmat ALLAH. Doa membuktikan bahawa, kita percaya dan yakin dengan kewujudan, keesaan serta kekuatan ALLAH.

***********
Wassalam,
Anaqi.norsyafiqahsaifulanuar:)

Monday, January 17, 2011

Hari ini bukan semalam :)


Assalamualaikum...

Semalam, aku tersungkur,
kekalutan membelit.
Kegusaran menular jiwa.
Hari ini aku bangkit,
membiarkan kisah semalam,
terbang dibawa peredaran masa,
namun, aku tak bisa.

Mengapa?
Kerana kisah semalam teguh di memori.
Aku tahu, tidak sukar.
Ya, tidak sukar meninggalkan hari semalam..
Biar terus jadi pengajaran,
dan bukan igauan.

Hari ini bukan semalam,
namun, takkan ada hari ini tanpa semalam.
Semalam mengajar aku erti..
Hari ini, mengajar aku usaha..
Esok mengajar aku impian dan cita..

Titisan embun membasahi bumi,
dan aku masih di sini,
meniti hari di atas muka bumi ILAHI,
bersama segenap kekuatan diri,
mencari redha dan rahmat ILAHI.

Biarlah semalam.
Berlalu pergi,
meninggalkan secebis memori,
menjadi sempadan dan pengajaran buat diri,
dalam menempuh ranjau kehidupan duniawi,
untuk merebut kemuliaan ukhrawi :)

**********
Ya ALLAH,
Tetapkanlah aku di atas landasan MU,
Bantulah aku dalam menjalankan amanah dariMU..
Bantulah aku agar sentiasa mengingatiMU..
Didiklah hatiku untuk menyintaiMU..
Amin..

**********
wassalam,
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar:)

Saturday, January 15, 2011

Saya akan rindu awak :)


Assalamualaikum..

Sudah lebih kurang dua minggu saya melalui sesi 2011.
Alhamdulillah, masih diberi kekuatan olehnya, untuk melalui hari-hari semalam, juga hari ini dan insya ALLAH hari esok juga.. Amin.

*****
Liyana Malek.
saya akan rindu awak!
Jangan lupa saya, ya!
Kita kawan, kan?

Di mana pun awak berada, saya yakin awak mampu untuk berjaya.
Kejayaan itu bukan kerana apa yang diusahakan oleh orang lain untuk kita, tapi apa yang kita usahakan untuknya.
Awak jaga diri baik-baik, ya :)
cho :)
tak sempat nak jumpa hari jumaat tu.

**********
Sebiru hari ini-edcoustic
Sebiru hari ini
birunya bagai langit terang benderang
sebiru hari kita
bersama disini
seindah hari ini
indahnya bak permadani taman syurga
seindah hati kita
walau kita kan berpisah

bukankah hati kita telah lama menyatu
dalam tali kisah persahabatan illahi
pegang erat tangan kita terakhir kalinya
hapus air mata meski kita kan terpisah
slamat jalan teman
tetaplah berjuang semoga kita bertemu kembali
kenang masa indah kita
sebiru hari ini

wassalam,
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar:)

Tuesday, January 11, 2011

Cinta itu biar terpelihara :)


Assalamualaikum,

Alhamdulillah, masih dipanjangkan umur dan masih diberi ruang dan peluang olehNYA untuk mencoret sepatah dua perkongsian. Segala-galanya dengan izin dari NYA.

**************
Ungkapan sayang, ungkapan cinta terlalu mudah dilafazkan. Seolah-olah tiada nilai. Tanpa batasan. Cinta dibangga-banggakan. Namun, malang sekali kerana cinta itu cinta palsu semata-mata. Ungkapan rindu, ungkapan syahdu diluahkan. Tidak kira melalui laman sosial mahupun alat perhubungan lainnya. Remaja terbuai dengan cinta dunia. Rindu pada sang kekasih. Cinta mereka nampak indah. Manis. Tapi, sayang ALLAH bukan matlamatnya. Adakah perhubungan itu bermatlamatkan mencari keredhaan ALLAH. Mungkin ada yang menjawab 'YA'. Tetapi, benarkah apa yang terlafaz di bibir? Dapatkah tingkah membenarkan lafaz 'YA' yang terungkap itu? Persoalan hati, hanya ALLAH yang tahu. Tika hati itu rindukan kekasih, adakah si hati sudah benar-benar menemui kemuncak rindunya pada ILAHI? Atau mungkin si hati tidak pernah merasai kerinduan yang hakiki itu? Malang sekali seandainya, 'YA' yang menjadi jawapan. Nauzubillah..

Saya sedar, saya seorang yang terlalu muda yang mahu menyentuh soal hati. Tetapi, hati pedih melihat hakikat teman-teman sebaya yang hanyut dalam lautan perasaan. Saya tahu itu fitrah. Manusia punya perasaan. Tetapi, itu tidak bermakna, perasaan itu perlu dilayan semuanya. Bukankah kita yang bertanggungjawab mendidiknya? Ya. Itulah tugas seorang bergelar khalifah. Kita perlu menjadi raja kepada diri kita sendiri. Menundukkan nafsu, mendidik emosi. Tiba masanya, segalanya akan terasa begitu indah, kerana selama ini kita membiarkan cinta itu terpelihara dari noda kepalsuan dunia.

*********
'Aku mahu dicintai..'
'Aku mahu dikasihi..'
itu kata hati, dibelit emosi,
dibayangi dongengan fantasi..
tanpa sedar, dia terlupa pada yang Maha Menyintai..
kerana terlalu asyik didodoi pencinta palsu duniawi..
terlalu mengejar seorang yang disangka pencinta sejati..
walaupun, pada hakikatnya tidak sama sekali..
bukan dia si pencinta sejati yang dicari-cari..
Tatkala menyedari, siapa 'dia' si Pencinta sejati,
Hati merintih, menyesal atas perbuatan diri,
terasa hina di sisi ILAHI..

************
kerana cintaNYA,
aku di sini..
wassalam,
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar :)

Friday, January 7, 2011

Muhasabah Cinta :)



Assalamualaikum,..

Muhasabah Cinta-Edcoustic
Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu

**********
Ya ALLAH,
salahkan seandainya aku mahu menangis?
Salahkah sekiranya aku mahu adukan segala-galanya padaMU?
Tiada siapa mampu mengerti diriku,
melainkan PENCIPTAku sendiri,
ENGKAU telah mencipta diriku,
dari tiada kepada ada..
Hanya ENGKAU yang mengerti hati ku.
Tanpa perlu aku adukan segala-galanya pun sudah ENGKAU ketahui.

Ya ALLAH,
hanya dengan kembali padaMU
ubat buat hati ini..
Sisihkan aku kecintaan dunia..
Didiklah aku untuk menyintai MU,
Bantulah aku untuk menghadapi setiap ujian MU..
Walau segetir apapun..
Bantulah aku, ya ALLAH.
Jangan biarkan hati ini terus berdarah
hanya kerana luka-luka kecil semalam..
Bimbinglah aku, Ya ALLAH..

Hanya dengan izinMU,
aku mampu lalui hari ini, semalam..
dan hari yang bakal mendatang..
Didiklah hati ini untuk menyintaiMU,
melebihi kecintaan ku
buat segala nikmat duniawi
ENGKAU berikan kepada ku..

ya ALLAH,.
Didiklah aku untuk sentiasa mensyukuri
nikmat kurniaan MU yang tak terhitung banyaknya..
Terima Kasih, Ya ALLAH..
atas segala-galanya..

*******
Amin.
Wassalam..
Anaqi.norsyafiqahsaifulanuar:)



Sunday, January 2, 2011

Benarkah jalan itu?


Assalamualaikum,.

Bicara soal cinta, remaja adalah yang paling ke hadapan dalam memberi tumpuan. Sememangnya usia sebegini menarik diri ini dan juga remaja-remaja lain ke dalam lautan emosi. Mahu berkasih, mahu disayangi, mahu sebuah perhatian dari seorang bergelar kekasih. Itu lumrah. Fitrah manusia. Ingin dicintai dan menyintai.

Dalam sisa-sisa cuti yang berbaki sehari dua ini, sempat juga saya menjengah ke alam siber, dengan hanya mengetik papan kekunci, dengan izinNYA, bermacam pengalaman dan ceritera cinta yang dapat saya tatapi. Aduhai, fenomena yang bukanlah luar biasa.

Perkenalan singkat sang teruna dan si dara, tidak kiralah melalui laman sosial mahupun melalui rakan-rakan. Pada awalnya, teman sekadar suka-suka. Berbalas pesanan ringkas, panggilan telefon, emel, dan sebagainya. Sedar tidak sedar, wujud rasa cinta jauh di sudut hati tanpa disedari. Mula rindu-rinduan. Lebih kerap berhubung. Ada kelapangan keluar bersama. Apabila keluar bersama, pusat karaoke, pusat bowling, dan sebagainya menjadi destinasi. Bergurau senda, bergelak tawa suatu kemestian, tidak kiralah melalui pesanan ringkas, panggilan mahupun emel. Itulah rutinnya pasangan yang bercinta sebelum sebuah ikatan perkahwinan.

Persoalannya, di mana perlunya rutin-rutin ini mengisi jadual sang teruna dan si dara, yang sememangnya pada hakikat sebenar terlalu padat untuk rutin-rutin kosong ini. Sudahlah terikat dengan jadual pengajian. Tanggungjawab pada yang Menciptakan pula bagaimana? Amanah dariNYA sudah terlaksana? Dalam pada sibuk merindui, sudah terisi hati dengan cinta NYA? Pastikah kita perhubungan yang berniatkan mendirikan sunnah itu dinaungi redha dan rahmat NYA? Tepuk dada, tanya iman...

Seindah mana pun cinta yang kita rasai hari ini, saat ini, tidak akan pernah menyamai cinta agung Pencipta cinta. CintaNYA cinta yang abadi.

Carilah cintaNYA, kerana di situ letaknya kunci kebahagiaan yang hakiki. Cintakan manusia, lambat laun kesedihan juga yang membelit kerana manusia akan mati.

Apabila kita menyintai seseorang, kita pasti mencemburui insan lain yang mencintai insan yang kita cintai. Tetapi, apabila kita menyintai ALLAH, kita bukan sahaja menolak sifat cemburu pada insan-insan yang juga menyintai ALLAH, sebaliknya kita turut menyintai mereka. Inilah ukhuwah yang terikat kerana ALLAH. Ukhuwah fillah. Berpisah dan bertemunya kerana ALLAH :)
Indah, bukan? :)

wallahua'alam.
wassalam..
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar:)

Bingkisan dari hati :)

Assalamualaikum..

waktu datang dan pergi,
aku hanya menjalaninya sebaik mungkin,
selagi belum berakhir,
selagi itu aku di situ,
terus menggerak tenaga,
mengotakan impian dan cita..


Tidak mampu dinafikan,
kadang aku terleka,
terbuai mimpi dongengan dunia,
hanyut dalam lautan angan-angan fatamorgana,
Aku perlu pertolongan dan rahmat dariNYA.
agar terlerai daku dari pelukan dunia,
agar tersedar aku dari lena.


Ku mohon dariNYA,.
DIA penuhi segalanya,
namun, bukan menurut kemahuan ku semata-mata..
segalanya menjadi rahsiaNYA..
DIA mengkehendakkan yang itu buat ku,..
pasti ada hikmahnya..
ya, aku perlu yakin..
DIA mengetahui segala-galanya..
sedangkan aku tidak.

**************
Alam ini cukup indah,
saat diri keresahan mencari kekuatan,
langit biru bertompokan sang awan putih berseri ku tatap,
tidak bertiang namun utuh,..
kalimah pujian terungkap.
Awan berarak perlahan,
Angin bertiup menyapa jendela,damai.
sekali lagi pujian ku ungkapkan.
Kicauan burung pulang ke sarang,.
mendayu-dayu, melodi alam.
merdu dan gemersik di corong telinga ku,indah.
Dan, tentu sekali Indah lagi PENCIPTA alam ini..
Segala puji bagi ALLAH pemilik Alam ini.

wassalam,
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar :)

2010 pergi.. 2011 hadirkan diri :)


Assalamualaikum...

Alhamdulillah, dengan izinNYA, jejari ini masih mampu mengetik kekunci pada papan kekunci untuk mencoret sesuatu. Alhamdulillah, juga kerana dengan izinNYA, diri ini masih mampu bernafas di atas muka buminya. Sedar ataupun tidak, setelah hampir sebulan tahun baru hijrah berlalu, kini tiba pula 2011 menjelma. Usia semakin bertambah. Hendaknya iman juga begitu. Amin..

Sesi persekolahan yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi turun dinantikan. Gembira. Setelah hampir sebulan lebih menghabiskan musim cuti dengan aktiviti bersama keluarga, sudah pastinya kembali ke sekolah itu menyeronokkan. Ya, mungkin tidak bagi semua pelajar. Apapun, niat itu utama. Seandainya betul niat kita ke sekolah itu untuk menuntut ilmu, dan menuntut ilmu itu niatnya kerana ALLAH, pasti dipermudahkan. Insya ALLAH.

Jangan silap dalam menuntut ilmu. Ilmu untuk diamalkan, dan bukan sekadar untuk peperiksaan. Seorang pelajar yang memperoleh A dalam setiap mata pelajaran yang diambilnya, namun mempunyai sahsiah yang sangat mengecewakan. Adakah A itu cukup untuk menilai sejauh mana ilmunya? Apabila kita berada di tengah-tengah masyarakat, adakah masyarakat melihat A itu, atau melihat sahsiah kita? Ya, sahsiah itu utama. A itu hanya pada sijil. Manusia melihat diri kita, bukan A yang di atas kertas semata-mata.

Jangan kecewa apabila gagal. Gagal bukan bererti tewas selamanya. Gagal itu madu untuk sebuah usaha yang murni ke langkah seterusnya, mencipta sebuah kejayaan yang masih tertunda. Jangan mudah melatah apabila kegagalan membelit. Sebaliknya terus bangkit bagi mencari di mana silapnya untuk diperbaiki.

******
2010 sudah berlalu. 2011 datang menjelma. Muhasabah diri, lihat yang mana perlu diperbaiki, semoga tahun ini, menjadi lebih baik daripada tahun yang lalu. Ingat ALLAH selalu :)

*******
Wassalam,
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar:)