Wednesday, December 2, 2009

K.E.T.A.W.A...

"hidup mesti ceria.." itulah yang akan terpantul dari mulut seseorang yang hidupnya penuh dengan ketawa. memang ketawa itu menceriakan.. tapi, dalam pada itu beringat-ingatlah. Bergurau senda.. berjenaka, bukan tak boleh. Tapi, biarlah berpada-pada..kadang-kadang, ada juga manusia yang ketawa sampai dah tak cukup nafas. ada juga wanita yang ketawa berdekah-dekah. mengalahkan lelaki. Macam-macam ragamnya.

Bergurau...
“Sesungguhnya aku bersenda gurau dan aku tidak mengatakan, selain yang benar.”
Riwayat Ibnu Abid-Dun-ya dari Abu Hurairah

Berguraupun ada adabnya. Ramai sangka, yang menipu semata-mata kerana bergurau dibolehkan.. Hakikatnya tidak.
islam membenarkan gurauan namun, dalam masa yang sama islam tidak membuka ruang bagi pendustaan mahupun penipuan. sabda Rasulullah S.A.W:

“Celakalah orang yang memperkatakan sesuatu agar orang lain ketawa, lalu dia berdusta. Celakalah untuknya. Celakalah untuknya.”
Riwayat at-Tirmizi

“Hendaklah kamu jujur. Sesungguhnya kejujuran menunjuk kepada kebaikan. Dan kebaikan menunjuk kepada syurga. Seorang lelaki terus jujur dan mencari kejujuran sehinggalah dia dicatatkan di sisi Allah sebagai seorang yang sangat jujur. Berwaspadalah terhadap dusta. Sesungguhnya dusta menunjuk kepada kejahatan. Dan kejahatan menunjuk kepada neraka. Seorang lelaki terus berdusta dan mencari pendustaan sehingga dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang sangat berdusta."
Riwayat Bukhari dan Muslim

Gurauan juga tidak boleh menyakiti hati orang lain kerana gurauan juga mampu menerbitkan bibit persengketaan mahupun pergaduhan dan tidak bertegur sapa sesama saudara.

Rasulullah S.A.W. sendiri telah memberi amaran dalam sabda baginda:
“Sesungguhnya orang yang berkata-kata dengan suatu perkataan untuk mentertawakan teman-teman duduknya, akan jatuh dalam api neraka, lebih jauh dari bintang surayya."

Rasulullah sendiri pernah bergurau dengan seorang lelaki:

Suatu hari, seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah S.A.W., meminta tunggangan daripada baginda kerana hendak pulang ke negerinya. Apabila Nabi mendengar permintaan lelaki itu, baginda bersabda: “Sesungguhnya aku akan menunggangkanmu di atas anak unta.” Padahal, pada waktu itu Nabi berkata demikian hanya dengan tujuan untuk bergurau.
Apabila lelaki itu mendengar kata-kata Nabi, dia merasa susah hati kerana memikirkan bagaimana anak unta yang kecil dan lemah boleh ditunggang untuk perjalanan yang jauh. Lalu, lelaki itu berkata, “Apa yang boleh aku buat dengan seekor anak unta? Kalau kamu berikan pada aku, tentulah menjadi beban dan hanya menambahkan kesusahan saja, sebab ia masih kecil dan tidak boleh ditunggang.”
Maka Rasulullah S.A.W. berkata, “Adakah yang melahirkan unta itu selain daripada unta betina? Maka itulah yang mahu aku berikan kepadamu iaitu unta besar yang asalnya dilahirkan oleh ibunya.”
Riwayat Abu daud dan at-Tirmizi dari Anas, Hadis shahih.

No comments:

Post a Comment