Monday, April 26, 2010

Letih...

Memandang sekeliling, melihat dunia. Kepura-puraan meliar. Kejujuran sukar sekali kutemui. Segalanya seakan tertimbus di balik hipokrasi duniawi. Setiap yang bicara yang benar dihukum seolah-olah telah melakukan sebuah kesalahan yang cukup besar. Dipandang seperti seorang sangat besar silapnya. Sedang kita tidak mengerti kebenaran yang terucap dari bibirnya, lantas kita membantah setiap tutur kata yang lahir dari jiwanya. Aduhai. Butanya mata hati ini, andai itu yang menimpa diri ini, menilai sesuatu atas dasar dunia. Sebagaimana butanya mata hati musyrikin jahiliyyah dahulu yang membuta tuli menuduh junjungan besar Nabi Muhamad s.a.w seorang pembohong yang membawa cerita-cerita palsu. Nauzubillah.
Begitulah hakikat dunia akhir ini. Kita sibuk mengata yang itu dan yang ini. Kita sibuk berlagak mengatakan diri kita lebih mulia. Lebih sempurna. Lebih baik daripada yang lainnya. Tapi, hakikatnya kita semua sama. Dan hanya iman dan taqwa yang subur di taman hati mampu membezakan kita. Letih diri ini hidup di bawah payung hipokrasi, di bawah bumbung pujian palsu yang melambung tinggi, bertiangkan kata-kata jelek yang mereka kira ia satu teguran. Teguran, nasihat yang kena pada tempatnya itulah teguran yang membina. Tapi, teguran yang salah cara penyampaiannya, itulah kemudaratan, atau tidak kurang seperti sebuah penghinaan. Pujian yang tidak disertai pujian buat Yang Menciptakan, itulah pujian yang aku kira disertai seribu kepura-puraan. Yang mungkin sekali disertai sebuah sindiran.
Aduhai... terkadang jiwa ini terkulai. Terlalu mengikut api kemarahan yang menyala-nyala. Terlalu mengikut nafsu dunia yang sementara. Ampunkan hambaMU, ya ALLAH. Aku khilaf.
****************
ya ALLAH..
Kiri, kanan..
diri ini diselimuti seribu kepura-puraan,.
yang aku pinta dariMu..
Tunjukkan aku sebuah Kejujuran..
tunjukkan aku erti sebuah ketulusan..
yang lahir dari hati seorang
hamba MU yang menyintaiMU...

Ya ALLAH..
kiri, kanan..
hanya paparan palsu..
yang aku pinta dariMU..
Jauhi aku dari paparan palsu dunia
agar terselamat aku dari seksa MU..
Yang paling utama..
Selamatkan insan yang aku sayangi,
yang aku cintai kerana MU..

amin..

********

"Hati,..

sepenat manapun dirimu..
jangan pernah kau sisihkan DIA
jangan pernah kau sekutukan DIA
jangan pernah kau lupakan DIA

Jasad,..
Biar sehebat manapun keringatmu
yang gugur ke bumi..
Ingatlah, akan janjiNYA.
Jangan pernah kau berburuk sangka padaNYA..
Kerana setiap ketentuanNYA,
pasti ada hikmah
yang bakal berkunjung ..

Jiwa,..
saat dirimu dirantai bahagia..
saat dirimu dibelit duka..
jangan pernah kau lupakan DIA..
Syukur kau panjatkan pada NYA..
Doa kau pohon dariNYA..
Kerana hanya padaNYA,
tempat kau meminta pertolongan.."

wassalam..
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

Saturday, April 24, 2010

Mungkinkah ini satu peringatan dariNYA.

"huhhh" penat. Keluhan ini aku lepaskan tatkala diri ini keletihan kerana seharian melalui hari yang sangat menduga diri ini. Kesabaran diri ini teruji saat diri ini disimbahi terik mentari. Namun, kerana terfikirkan teman-teman lain yang telah sekian lama bertungkus lumus membuat persediaan untuk Mahrajan Kawad Kaki, aku abaikan keletihan yang membelit diri.
Keletihan mereka mungkin lebih lagi.

+gambar; Jedda+
Putera
Johan : Kadet Polis (KPO)
Naib Johan: Pengakap
Puteri
Johan : Kadet Polis (KPO)
Naib Johan: Bomba
........

Hari ini juga DIA telah menetapkan sebuah suratan yang mengajar aku tentang pengertian sebuah ketabahan. Kadangkala hati ini leka, bertemankan dunia, sehingga terabai keperluanNYA. Tapi, hari ini DIA telah membuatkan aku menangisi setiap kesilapanku. Aku bersyukur kerana DIA masih menitipkan peringatanNYA buatku. Kebiasaan manusia, apabila teruji dengan pahitnya dunia, TUHAN dicari. Saat diri teruji dengan kemanisan dunia, TUHAN dibelakangkan. Saat dilimpahi nikmat yang hanya pinjaman dariNYA, diri terlupa untuk mensyukuri pemberianNYA. Saat DIA mengambil semula sesuatu yang menjadi hakNYA, barulah diri menyedari tetang hakikat dirinya yang pernah bertuhankan material sehingga lupa pada Yang Maha Agung. Saat itulah, diri mula mencari RABB. Memanjat doa, memohon perlindunganNYA, memohon limpah kurnia dariNYA, memohon ampunanNYA. Namun, sekali lagi, diri terleka. Terleka di tengah lautan nikmat pinjaman dariNYA, sehingga terlupa alam sana. Aduhai, hinanya diri.
Ya ALLAH,
Segenap penjuru..
Di Langit dan di Bumi..
Segalanya milikMU..
Segalanya sekadar pinjaman dariMU,..
buat kami,.
Maafkan kami..
kerana terleka dari mengingatiMU..
dan mensyukuri nikmatMU...
Maafkan kami, ya TUHANku.

Ya ALLAH..
ampunilah kami hamba-hambaMU..
Yang sering berbuat dosa..
Yang sering lalai dari mengingatiMU..
Yang sering terleka dibuai dunia..

Ya ALLAH..
Pimpinlah kami menuju syurgaMU..
Pimpinlah kami menuju cintaMU..
Pimpinlah kami mencari RedhaMU..

ya ALLAH..
saat atmosfera ini diselubungi udara jahiliyyah,
aku pohon dariMU perlindunganMU..
buat melindungiku dari bahananya..
aku pohon dariMU segenggap kasih dan cintaMU..
agar bisa ku bernafas dalam cintaMU di atas muka bumi ini...

amin~


wassalam
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

Monday, April 19, 2010

AnugerahNYA.. Alhamdulillah

Dakwat hitam tercalit di kanvas hati.Kekotoran yang terpalit menyebabkan diri ini alpa. Sedang,terlalu banyak anugerah kurniaanNYA. Terlalu banyak untuk aku rungkaikan satu persatu. Namun, pasti yang satu ini tidak mampu untuk dinafikan oleh sesiapa. KurniaanNYA, yang aku kira sangat berharga hingga tak terhitung nilainya. Sesuatu yang tanpanya, hidupku mungkin tak selengkap ini. AnugerahNYA yang sangat aku syukuri selain daripada nikmat iman dan islam yang masih bertapak di hati, meskipun kadangkala tiangnya rapuh dan aku mencuba untuk membinanya semula. Nikmat yang kadangkala aku khianati. Nikmat yang kadangkala aku lupai. Hinanya diri ini. Sedang ALLAH menganugerahi diri ini sesuatu yang tak ternilai, namun aku lalai. Leka. Sehingga kadangkala menyia-nyiakan nikmat ini. Nikmat kasih dan sayang daripada insan yang bergelar ibu dan bapa. Tidak semua insan yang hidup di atas muka bumi ini dapat merasai indahnya kasih seorang ibu.. tulusnya kasih seorang bapa. Aku menyedari hakikat ini tatkala, atmosfera dunia diselubungi fenomena jahiliyyah; pembuangan bayi. Terdetik di hati ini, alangkah bertuahnya diri ini, kerana ALLAH menganugerahi diri ini Ibu dan Bapa yang sehingga saat ini masih setia menjaga ku meskipun kadangkala, aku ada mengguris perasaan mereka.

Naluri seorang ibu yang sangat memahami anaknya, membuatkan hati aku luluh, saat kata-kata semangat yang dititipkannya buat ku saat aku terkapai-kapai dek kerana kecundang di tengah jalan. Wajah tenangnya menggamit hati aku. Bicara bapa, pendek.. namun, pengertiannya menyusup ke jiwa ku. Aduhai, mampukah aku hidup di dunia ini andai aku tidak punya mereka? Mampukah aku menghadapi sebuah hakikat, apabila ALLAH mengambil semula anugerah yang dipinjamkanNYA buat ku. Aku tidak setabah junjungan yang mulia. Menjadi yatim semasa masih dalam kandungan ibu baginda. Menjadi yatim piatu ketika berusia 6 tahun. Kehilangan seorang insan bergelar datuk yang menjadi tempat untuk baginda bermanja semasa berusia 8 tahun.

Terdetik di hati ini, perasaan yang bagaimanakah yang bakal menyusur dilorong jiwa seandainya diri ini berada di tempat mereka. Mereka yang dibiarkan di celah-celah semak dan belukar, yang kemudian menjadi makanan sang gagak. Aku beruntung. Sangat beruntung! kerana masih lagi merasai sebuah kehidupan di muka bumi ALLAH ini. Merasai jerih perihnya sebuah kehidupan sebagaimana yang dirasai mereka yang bernyawa. Tapi, mereka turut bertuah kerana mendapat tempat mulia di sisi ALLAH. Masakan tidak, mereka merupakan kain putih, yang belum dicalit sebarang dakwat. Suci tanpa dinodai sebarang dosa. Pasti, syurgalah tempat yang selayaknya buat mereka. Mereka juga bertuah kerana terlepas dari ujian berat; cinta duniawi. Cinta yang kabur kerana nafsu. cinta yang kabur kerana Material. Cinta yang kabur kerana sesuatu yang fana.......

wallahua'alam..
wassalam.
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

Wednesday, April 7, 2010

Baja itu penting!

Assalamualaikum..

Entah apa yang mahu kubicarakan di ruang maya ini. Mata yang sedari tadi ralit menatap paparan pada komputer sudah lelah. Penat. Tugasan hampir selesai. Namun, hati merasakan seolah-olah ada yang keciciran. Mungkinkah setiap pekerjaan yang aku laksanakan ini tidak disertai dengan baja yang paling penting bagi menjamin pertumbuhan hasil yang baik? ya, baja keihklasan. Aku bimbang andainya, usaha yang aku laksanakan sedari tadi sekadar menjadi sesuatu yang sia-sia kerana tidak dibajai keikhlasan yang lahir tulus dari hati. Tanpa secalit keikhlasan, hari yang ku jalani ini sia-sia. Tanpa mendukung sebarang nilai.


"Hati,..
sepenat manapun dirimu..
jangan pernah kau sisihkan DIA
jangan pernah kau sekutukan DIA
jangan pernah kau lupakan DIA

Jasad,..
Biar sehebat manapun keringatmu
yang gugur ke bumi..
Ingatlah, akan janjiNYA.
Jangan pernah kau berburuk sangka padaNYA..
Kerana setiap ketentuanNYA,
pasti ada hikmah
yang bakal berkunjung ..

Jiwa,..
saat dirimu dirantai bahagia..
saat dirimu dibelit duka..
jangan pernah kau lupakan DIA..
Syukur kau panjatkan pada NYA..
Doa kau pohon dariNYA..
Kerana hanya padaNYA,
tempat kau meminta pertolongan.."

wassalam.
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

Tuesday, April 6, 2010

Kesilapan...

Assalamualaikum..
Diri ini tahu, tiada gunanya untuk kita mengeluh. Tapi, hati ini dirundung hiba saat hati ini terkenang sebuah kesilapan, yang seboleh-bolehnya mahu dielakkan. Tapi, saat ini, setelah kesilapan itu terjadi, hanya istighfar yang bisa ana ungkapkan memohon ampunan dan rahmatNYA. Ya ALLAH, hinanya hamba MU ini.

Kesilapan ini telahpun berlalu. Namun, iktibarnya tidak akan sesekali akan dipersiakan sehingga menyebabkan diri ini mengulangi kesilapan yang sama. Hati ini bakal menyimpannya kemas dan sentiasa menjadikannya sebagai titik tolak untuk diri ini berubah menjadi lebih baik. Insya-ALLAH. Hanya memohon ampunan, rahmat dan petunjukNYA yang mampu diri ini laksanakan selain berusaha menjadi lebih baik. Harapan jiwa ini, moga hari esok mampu membawa sinaran baru buat diri ini. Amin.

wallahualam
wassalam
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

Monday, April 5, 2010

Teguran membina.. Pujian membunuh..

Assalamualaikum..

Bicara ini ku titipkan buat setiap insan yang bernyawa dan masih lagi bernafas di bumi TUHAN. Termasuk juga buat diri ini. Sesekali, teguran menjengah corong telinga ku. Bukan mahu menidakkannya, tetapi, teguran ada caranya. Dan bagi ku.. dalam dunia ini tidak ada seorang pun yang sempurna, jadi.. jangan pula sesuatu teguran itu, dituntaskan dengan cara seolah-olah si penegur itu sudah sempurna, tiada cacat celanya. Jangan pula teguran itu disampaikan seolah-olah, mereka yang bersalah itu, terlalu buruk! Ya.. mungkin pada pandangan diri, itulah yang terbaik. Tetapi, cuba letakkan diri kita di tempat mereka yang ditegur. Apa agaknya rasa yang menerjah ruang hati apabila kita ditegur dengan cara seolah-olah yang kita ini terlalu jahat. Menegur tidak salah, tapi biar betul caranya. Peringatan ini buat diri ini, yang kadang-kadang terlupa akan hakikat diri. Apa-apapun.. yang pasti, teguran itu membina, sedangkan pujian itu membunuh.
"Manis bicara indah tutur kata
Tak seindah rupa pengertiannya
Lembutnya lidah mengata nista
Lidah yang tiada bertulang
Mengadu domba
Serta memfitnah sesama saudara

Terkadang aku berfikir sendirian
Perlukah amarahku dibiar terus menyala
Membakar membara dengan rasa bangga
Mencela mereka dengan kata-kata

Kata ibarat pedang
Yang tajamnya bisa membunuh lawan
Kata-kata yang berhikmah
Menyedarkan kita

Kata madah pujangga
Bisa menjadi pedoman manusia
Jagalah bahasa kata kita
Jangan disalah guna

Yang merah itu saga
Yang kurik itu kendi
Yang indah itu bahasa
Yang cantik budi pekerti

Terkadang aku mentaksir manusia
Kurniaan Tuhan telah banyak dikhianati
Mencerca, menghina, dustanya bicara
Menyusun nista dengan kata-kata

Terlajak perahu masih boleh diundur lagi
Terlajak kata buruk padahnya
Terlajak perahu masih boleh diundur lagi
Terlajak kata hilang percaya
Hilang percaya..."

wallahualam..
wassalam..
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar