Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan bertandang lagi..

assalamualaikum..

Subhanallah, segala puji bgai ALLAH yang telah mengatur tiap sesuatu yang terjadi di atas muka bumi ini, keberadaan kita di atas muka bumi ini juga merupakan aturanNYA. Selawat dan salam atas junjungan besar Rasulullah s.a.w, juga buat para sahabat baginda dan kaum kerabat. Ramadhan datang lagi, dan sudah tertulis dalam suratanNYA, kita bertemu lagi bulan yang penuh barakah ini.

Kedatangannya dinanti, pemergiannya ditangisi. Ahlan wa sahlan wa marhaban, ramadhan. Senyuman terukir. Mutiara jernih berguguran di pipi. Entah mengapa hati sebak apabila mengenangkan rahmatNYA. DIA masih lagi memberi peluang buat diri ini bertemu dengan ramadhan yang dirindui. Mungkin tiada siapa yang mampu menyoroti kisah jiwa yang terlalu bahagia kerana masih berkesempatan menemui ramadhan yang suatu ketika dahulu sangat dinanti-nantikan oleh generasi sahabat baginda s.a.w. Kini, Ramadhan turut dinanti, tapi ada kalanya penantian itu hanya berlandaskan kegembiraan syawal yang bakal menjengah sesudahnya. Minta kita dijauhkan daripada itu. Semoga penantian kita buat ramadhan adalah atas landasan rahmat, keampunan daripadaNYA. Kalbu menangis sendiri mengenang hakikat diri yang alpa, mengenang iman yang tidak seberapa. Terbit di hati, segunung harapan, semoga ramadhan kali ini mampu membawa diri lebih baik daripada hari-hari semalam. Terbit harapan, semoga ramadhan kali ini, mendukung iman untuk terus teguh di jiwa meskipun ada pasang surut yang sememangnya hakikat manusia yang sudah tentu akan diuji.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Berapa banyak orang berpuasa tetapi
dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga."

riwayat ibnu majah.

Sebagaimana kebiasaan di malam bulan keberkatan ini, sudah pastinya menunaikan solat tarawih. Sama ada secara berjemaah mahupun sendirian. Dan, kesempatan yang ada ini, aku manfaatkan. Dengan izinNYA, aku menghadirkan diri di surau berhampiran kediamanku. Melihat ke sekeliling. Subhanallah. Penuh, sesak. Pelbagai peringkat umur. Yang tua, yang muda. Semuanya bersesak di atas surau sederhana besar yang hanya mampu menampung satupertiga daripada jemaah yang hadir pada hari itu. Kesudahannya, ada yang bersembahyang di atas padang. Menyambut kedatangan Ramadhan yang sekian lama dinanti. Riuh rendah anak-anak kecil yang mungkin belum mengerti kemanisan ramadhan silih berganti di corong telinga di saat tazkirah ramadhan sedang berkumandang. Ramadhan datang setahun sekali, tahun depan mungkin ada lagi, kalau ada rezeki...

Kemaafan dipohon, mengharap kasih dari saudara seagama, semoga kita semua dapat melalui ramadhan ini dengan sebaik mungkin. Semoga ramadhan tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu. Tambahan lagi, Peperiksaan Percubaan yang hanya bersisa lebih kurang empat hari, bakal menjelang, doakan yang terbaik buat diri ini, juga teman seperjuangan yang lain.

ahlan wa sahlan wa marhaban, ya ramadhan..
salam ramadhan al-mubarak.

Wassalam..
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

No comments:

Post a Comment