Alhamdulillah, berbekalkan kekuatan kurniaanNYA, diri ini masih mampu mengharungi kehidupan yang tidaklah sesukar perjalanan kehidupan yang pernah dilalui para anbiya' dan para sahabat Rasulullah suatu ketika dahulu. Perjalanan yang mereka lalui lebih banyak getirnya. Bermacam-macam cubaan yang dilaksanakan musuh-musuh ALLAH dalam usaha menjatuhkan islam. Sehingga kini, kewujudan musuh-musuh Islam ini tidak dapat dinafikan lagi. Mereka masih lagi terus dalam usaha menjatuhkan agama ALLAH ini. Mereka tahu, seandainya mereka memerangi agama ini dengan senjata, mereka mungkin akan kalah. Mereka tahu berdasarkan sejarah. Bagaimana tentera Islam menempah kejayaan di dalam peperangan badar walaupun bilangan tentera yang jauh lebih sedikit berbanding tentera kafir quraisy. Mereka melihat dan membaca bagaimana pejuang-pejuang yang tidak takut mati untuk mempertahan agama. Namun, itu semua tinggal sejarah. Sekiranya, hari ini, untuk dibilang berapa ramai umat islam di dunia yang sanggup menggorbankan nyawa semata-mata untuk agama ALLAH, amatlah sedikit. Kerana, musuh-musuh agama ALLAH telah berjaya memesongkan mereka dengan bermacam-macam propaganda.
Pemodenan yang pada hakikatnya adalah pemusnahan, pengikisan agama dari hati-hati manusia. Remaja-remaja seolah-olah hidup bertuhankan hiburan. Hati menjadi lalai. Satu demi satu titik hitam wujud. Lama-kelamaan, hati semakin kelam. Hidayah semakin jauh dari diri. Remaja semakin tidak kenal siapa Pencipta mereka. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara hanya tinggal ungkapan. Pemuda-pemudi kian hanyut di arus pemodenan. Mereka meninggalkan Islam, yang mereka sangka kolot, ketinggalan zaman. Sedangkan, lebih 1400 tahun dahulu, al-Quran merupakan kitab yang menerangkan penciptaan alam ini. Dan, ketika itu, manusia tidak mengerti tentang hakikat kejadian alam ini. Kalamullah menerangkan bagaimana penciptaan manusia. Kalamullah juga yang menerangkan kisah-kisah sejarah; ashabul kahfi, zulkarnain, kisah para anbiya' dan umat terdahulu. Adakah itu yang dimaksudkan ketinggalan zaman? Hari ini, manusia terhegeh-hegeh membuat kajian itu dan ini, mengenai perkara itu dan ini, hakikatnya al-quran telah memberitahu umat islam mengenainya 1400 tahun dahulu. Subhanallah. Itulah kebesaran ALLAH, yang menurunkan al-Quran sebagai tanda kekuasaanNYA, bagi mereka yang mengetahui.
Bersyukurlah kerana dilahirkan sebagai seorang muslim, dan dibesarkan dalam atmosfera islam, dan kita sepatutnya membuktikan kesyukuran itu dengan membawa diri ke arah muslim dan mukmin yang lebih baik. Bersyukurlah, kerana begitu ramai yang lahir sebagai seorang muslim, namun, di besarkan di dalam atmosfera jahiliyyah, jauh dari agama. Setiap anak itu, lahirnya sebagaimana fitrah, Islam. Anak-anak umpama kain putih, dan ibu bapalah yang mencorakkannya, menjadi majusi mahupun nasrani.
Islam rindukan pemuda sejujur Saidina Abu Bakar, pemuda seberani Saidina Umar Al-Khattab, pemuda sebaik Saidina Uthman, pemuda sebijak Saidina Ali, pemuda setangkas Khalid Al-Walid, pemuda sehebat Sultan Muhammad Al-Fateh, penakluk konstatinopel, dan pemuda sehebat Salahuddin al-Ayubi. Di sebalik setiap lelaki, pasti ada wanita. Islam juga merindui wanita setangkas Khaulah, yang berjuang umpama seorang mujahid di medan peperangan, wanita segigih Saidatina Khadijah, setia di sisi suami dalam susah mahupun senang, wanita sebijak Saidatina Aisyah, juga wanita setabah Fatimah Az-Zahra, yang menjadi ibu kepada ayahnya. Dan, yang pasti, islam rindukan insan-insan yang terbentuk dari acuan al-Quran dan sunnah. Siapa lagi yang mampu mengubat kerinduan islam ini, kalau bukan kita?
Mungkin ada yang menafikan, 'kita tidak mungkin meyamai mereka. Kita tidak mungkin jadi seperti mereka. Zaman kita dan mereka berbeza.' Mungkin tidak sehebat mereka, namun kita boleh membentuk diri kita dari acuan yang sama, al-Quran dan sunnah. Tidak sehebat mereka tidak mengapa, yang penting, ada usaha ke arah itu. Usaha ke arah membentuk peribadi yang lebih unggul. Dan, usaha ini tidak akan berhasil dalam sekelip mata. Sebagaimana Rasulullah memulakan dakwahnya beransur-ansur, begitulah pendekatan yang perlu kita laksanakan atas diri kita sendiri. Perlahan, dan berhemat. Diri kita juga akan menerima kejutan besar apabila kita memaksanya melakukan sesuatu dengan terburu-buru dan semua perkara dalam sekali gus. Diri kita akan beranggapan negatif dan akhirnya, segalanya terkulai. Hanya keazaman yang meniti di bibir, hati pula sebaliknya. Sedikit, tapi berterusan. Itu lebih baik, daripada banyak dan jarang dilaksanakan. Sedikit, sedikit lama-lama jadi bukit. Insya ALLAH. Segalanya bermula dengan niat kita. Bawalah diri kita menuju cintaNYA. Seruan dan ajakan ini, buat kita bersama. Kerana tiada sesiapa yang sempurna di atas muka bumi ini, melainkan KekasihNYA. Wallahu'alam.
wassalam.
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar
No comments:
Post a Comment