Tatkala malam bertaut, hati ini gelisah. Entah apa yang bermain di benak ini, aku sendiri kurang pasti. Tetapi, aku tahu, pasti aku sudah melakukan sesuatu yang membuatkan diriku gelisah sendiri. Aku merenung seketika. Mencari di mana silapnya. Mencari di mana jengkelnya tingkah ku. Setiap sisi ku intip. Namun, sukar untuk ku temui. Sudah menjadi kebiasaan, kejelekan diri sendiri amat sukar untuk menjadi paparan kornea ini. Sebaliknya, kejelekan insan-insan di sekeliling amat mudah menjadi omelan. Kuman di seberang laut jelas kelihatan, sehinggakan gajah yang melintas di hadapan mata, tidak perasan. Itulah manusia, termasuk diri ini. Sesuka hati mengeluarkan kata-kata tentang itu dan ini. Menyombong diri menggalas tugas yang bukan miliknya. Sesuka hati menilai itu dan ini tentang insan-insan lain. Ya, mungkin insan itu telah membuka aibnya sendiri dan membuatkan kita berbicara tentangnya, tapi apalah salahnya ditinggalkan bicara sia-sia itu.
Apabila kita lihat dunia sekeliling, kita akui, begitu besar tanggungjawab selaku seorang hamba ALLAH yang telah diamanahkan menjadi khalifah di atas muka bumi ALLAH. Seisi dunia yang semakin jauh dari matlamat dan destinasi sebenar kehidupan. Kita berangan-angan mengubah dunia. Tanpa kita sedari ada satu tanggungjawab yang lebih besar daripada apa yang kita angan-angankan ini, mengubah diri kita sendiri. Mengubah dunia itu mungkin tanggungjawab yang sukar. Namun, mengubah diri sendiri adalah lebih sukar kerana manusia sukar untuk melihat kelemahan dirinya sendiri. Atas dasar itulah, ALLAH menciptakan manusia ini dengan berbagai-bagai sifat. Mungkin sifat yang ada pada si A, tidak ada pada si B. Kerana ALLAH mahu manusia ini hidup saling melengkapi. Saling membantu. Saling mengasihani. Saling menasihati. Penciptaan manusia yang punya kekurangan, bukan untuk dihina.
Untuk mengubah dunia, kita perlu mengubah diri. Dan untuk mengubah diri, adalah tidak semudah sangkaan kita. Kita diciptakan bersama keegoan, yang kadang-kadang meledak dan membuatkan kita tidak mahu atau sukar untuk menerima kebenaran. Teguran dan nasihat dijadikan medan untuk mencari siapa menang dan siapa kalah. Seboleh mungkin kita mahu memenangkan diri. Sedangkan tanpa kita sendiri, kelemahan kita itu nyata di mata insan-insan di sekeliling kita. Kita tidak mampu menjadi sesempurna Muhammad Rasulullah. Tetapi, siapa kata kita tidak boleh menjadi lebih baik? Selagi kita berusaha, insyaALLAH. ALLAH tidak akan menyia-nyiakan usaha hambanya. Bagaimana usaha kita, begitulah juga hasilnya. Wajarkah untuk kita membiarkan diri terus tenggelam di lautan dalam, sedangkan ada yang sudi menyelamatkan? Sudah ada yang memberi nasihat, kita pula yang menyangkal. Apa yang tertulis ini seolah-olah menyingkap kesilapan diri ku sendiri.
Dalam sujud cintaku
Kau berikanku segala-galanya
dan Kau mengujiku dengan cinta dunia
yang sungguh indah dan
Kau hiaskannya dengan intan permata
dengan jua wanita
dan kedudukan yang memalingkanku
daripada-Mu
Dalam menikmati kurniaan-Mu
tak terucap lafaz terima kasihku
namun untuk jadi yang terbaik
juga masih belum kumampu
Dalam sujud cintaku
fanaku diulit rindu
getirnya cemas di kalbu
takut hidup tanpa redha-Mu
Hanya kerna-Mu Tuhanku
aku hidup dan ku akan
kembali pada-Mu
hanya pada-Mu dalam
sujud cintaku.
ya ALLAH,
saat aku terleka..
ingatkanlah aku dengan janji-janjiMU..
Saat aku terlena dibuai dunia..
bangkitkanlah aku..
Saat aku keasyikan dibuai cinta dunia..
rindukanlah aku pada wangian syurga..
Saat aku mencari-cari cinta sejati..
Cintakanlah aku pada DiriMU yang sempurna..
Saat aku kesedihan, dan mengharap pujukan insan,
pujuklah hatiku dengan sabda kekasihMU..
Saat aku kegelisahan,
berikan aku petunjuk
agar aku tidak terkapai-kapai
dalam pelayaran ini..
Saat aku melihat dunia itu indah..
ingatkan aku pada keindahan syurgaMU..
Didiklah hati ini, ya ALLAH.
Peliharanya dari penyakit-penyakit yang memamah tawadho'..
Peliharanya dari terjerumus ke lembah hina.,
Redhakan hati ini dengan setiap ketentuan MU..
kerana Engkaulah sebaik-baik penentu.
Engkau juga yang mendengar setiap rayuan hambaMU.
Amin.