Friday, November 5, 2010

Dunia ini sementara


Kehidupan di atas muka bumi Tuhan ini umpama sebuah pelayaran. Pelayaran yang berhenti sebentar di sebuah pulau. Terdampar di pulau bukan sekadar tingkah kosong, sebaliknya, anak-anak kapal perlu mempersiap bekalan yang perlu dibawa ke destinasi seterusnya, destinasi yang abadi. Anak-anak kapal itu adalah kita. Kita yang diberi arahan oleh nakhoda untuk mencari, mengumpul bekalan secukupnya untuk dibawa bersama. Namun, kita terleka dan terbuai dengan keindahan pulau, sehingga kita lupa pada keindahan destinasi abadi yang kita tuju pada awalnya. Kita terpesong dari tanggungjawab kita yang fitrah. Kita ralit berseronok. Dunia bukan tempat untuk berehat dan berseronok!


"Muda hanya sekali, jom enjoy puas-puas. Dah tua nanti baru taubat.."

"Aku bukan tak sembahyang. Sembahyang aku tak tinggal, tapi hiburan pun tak pernah lepas.."

"Aku pakai macam ini sebab ikut trend. Yang penting, hati ada Iman. Ini semua luaran. ALLAH tak tengok luaran"

Kita menunaikan solat tidak sepenuh hati. Tunai solat tidak ikhlas kerana ALLAH. Tunai solat untuk jaga air muka, takut jiran atau kawan mengatakan diri kita seorang yang ingkar. Tunai solat kerana ikut-ikutan. Ibu bapa kita menyuruh kita solat, kita solat. Umpama pahat dengan penukul. Tidak disuruh, tidaklah dibuatkan. Inilah yang membuahkan kemungkaran di dunia. Kerana peranan solat itu mencegah diri daripada berbuat mungkar. Tetapi, apabila solat ditunaikan sambil lewa, kemungkaran jelas terjadi. Hidup tanpa matlamat yang jelas. Solat, ada yang memandang enteng. Kita tergesa-gesa menyahut panggilan majikan kita, guru kita, atau panggilan-panggilan dunia, tetapi kita sangat liat untuk menyahut panggilan azan. Lebih-lebih lagi azan subuh. Sudah terjaga, selimut ditarik semula. Mengantuk? Bukankah ALLAH sudah sediakan malam untuk berehat? Malam dihabiskan dengan menonton televisyen.

Kemudian, apabila ada yang menghina islam, kita berduyun-duyun datang membuat demonstrasi, bertakbir dengan suara-suara yang lantang. Apabila tiba waktu solat, kita lah dulu yang melelapkan mata. Penat. Bangga membakar bendera itu dan ini sebagai tanda protes, tapi menunaikan subuh sangatlah liat. Bagaimana musuh islam mahu gerun melihat umat islam. Sebaliknya, musuh-musuh islam berdekah-dekah ketawa melihat tingkah kita. Jauh dari agama, tapi ada hati mahu memperjuangkan agama. Kita berusaha pertahankan islam apabila ada yang menghina, tapi kita sendiri tidak beramal dengan agama yang haq ini. Beginilah hakikat umat manusia yang kian lari jauh dari landasan sebenar. Umat akhir zaman. Kiamat itu bila-bila masa sahaja. Wallahu'alam.

Dunia ini hanya sementara,
yang kekal di akhirat sana..
Pencarian kita di dunia,..
adalah sebagai bekalan kita di sana.,
Baik bekalannya, baiklah tempat kita..
Jangan kerana cintakan dunia,
kita lupa hakikat,..
kemewahan diburu, kematian digeruni..
ALLAH jauh dari hati..
Hidup bertunjangkan nafsu..
Tingkah tanpa agama,..
Hati semakin tidak kenal pencipta..
Bekerja seolah-olah dunia
ini wujud selamanya..
sedangkan janji Tuhan itu pasti,
kiamat akan terjadi suatu ketika nanti..
bila masanya, hanya Dia yang mengetahui..

wassalam,
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

No comments:

Post a Comment