Tuesday, December 14, 2010

Aku salah...

Assalamualaikum...

Suatu ketika dahulu, diri ini sangat mencemburui si A. Si A ada segalanya. Kemahuan materialnya dituruti. Tidak seperti diri ku yang dididik tanpa habuan material yang melimpah ruah. Aku jadi tertanya-tanya, kenapa si A ada segalanya, sedangkan aku tidak? Lumrah manusia, menilai sesuatu secara sambil lewa. Menilai sesuatu dengan mata kasar. Aku mahu jadi seperti dia! Itu kata hati ku suatu ketika dahulu. Manusia biasa mana yang tidak mahu keinginan materialnya dipenuhi.

Sebagai contoh apabila seseorang itu ke pusat membeli belah, mustahil insan itu tidak tertarik dengan barang-barang berjenama yang terpamer di kiri dan kanan. Pasti insan itu tertarik, segalanya mahu dibeli. Namun, seandainya dia bijak, dia tahu apa yang dia perlu dan apa yang dia mahu. Apa yang kita mahu tidak semestinya apa yang kita perlu.

Begitu juga diri ini. Pernah silap dalam membuat penilaian. Kini, baru ku sedar. Ada suatu nikmat yang dikurniakan ALLAH buatku, yang juga ada pada dia, namun tidak sebagaimana yang ALLAH kurniakan pada ku. Dan, anugerah ini terlalu besar nilainya, terlalu berharga. Aku juga kini sedar, apa yang dimiliki oleh si A, juga apa yang aku miliki hari ini, bukan milik kami yang mutlak. Setelah aku terlupa tentang hakikat, segalanya milik ALLAH, kini aku tersedar. Biarlah kesilapan itu ku jadikan sempadan dan pedoman agar aku tidak mengulanginya lagi. Cukup besar nikmat yang ALLAH pinjamkan buat ku. Malangnya aku lupa bersyukur. Nauzubillah.. Astaghfirullah.

Kini, aku tidak lagi diburu cemburu pada si A kerana aku yakin ALLAH itu maha Adil. Dia memberi kepada ku apa yang tiada pada si A. Dan, si A diberikan apa yang tiada pada ku. Kerana itu manusia diciptakan untuk saling melengkapi. Kita tidak akan pernah ada segala-galanya. Harta, pangkat, anak segala-galanya milik ALLAH. Milik ALLAH yang dipinjamkan pada kita. Aku malu pada diri ku sendiri kerana silap dalam membuat penilaian.

**************

Hari ini, hati tersentuh.
Bergetar hatiku membaca kalam seorang insan.
Subhanallah.
Kalamnya bagai benar-benar lahir dari kolam hati.
Mungkin itulah Penulis sejati.
Menulis setulus hati.

wassalam,
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

No comments:

Post a Comment