Friday, April 29, 2011

Kesabaran perlu dipupuk, keikhlasan perlu dibentuk.

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum

Sabar perlu dipupuk ikhlas perlu dibentuk. Tiada yang terjadi sekelip mata tanpa usaha. 
Bukan mudah untuk hal ini, kerana setiap ketika, pasti ada sahaja bisikan kejahatan yang menerjah membuka ruang ke arah hal-hal yang dimurkai ALLAH. 


Dia yang setia.

.Angin petang mengelus lembut. Tenang. Dia masih ralit menatap setiap bait yang tercatat di atas lembaran yang sangat bernilai buat dirinya. Meskipun saat itu dia seharusnya sudah beristirahat seperti kebanyakan insan lain, dia masih terus merelakan dirinya sibuk dengan tugas rutin yang tak pernah berhenti. Keletihan seharian di sekolah tak dapat terungkap lagi. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja direhatkan badan yang keletihan saat itu. Namun, kerana perjuangan, dia relakan kepenatan memamah tubuhnya. Seharian penuh perhatian diberikan sewaktu di dalam kelas. Tidak sekalipun dia membiarkan tubuhnya terlena saat guru sedang memberi penerangan. Walaupun kadang kala, matanya seakan mahu tertutup angkara usikan syaitan yang tak pernah mengalah. 

Direnungnya bait-bait kata yang tercatat di atas lembaran berharga, Lama pandangannya mati di situ.

"ALLAH tidak mensia-siakan hambaNYA yang terus berada di atas jalanNYA. Yang tidak pernah berhenti melaksana perintahNYA, yang tidak pernah meninggalkan prinsip, amar makruf, nahi mungkar (Mengajak kepada kebaikan,  mencegah dari berbuat mungkar) ALLAH akan sentiasa membantu hambaNYA yang tidak pernah berhenti menggerakkan usaha di atas jalanNYA."
Tanpa dipinta, sebabak demi sebabak kenangan semalam silih berganti bergentayang di paparan mindanya. Senyuman terukir di bibirnya. Segalanya terasa indah. 

**********
Kali pertama mengenakan tudung labuh, dirinya berasa rimas. Namun, hati kecilnya, senang. Tenang kerana diri sentiasa dilindungi. "Panas! Lecehlah! Ish!". Dalam keterpaksaan dia terus melaksanakan rutin kerana peraturan sekolah. Jelaslah tiada keihklasan yang hadir dari hatinya. Setiap kali kedengaran pengumuman mengenai aktiviti usrah yang merupakan aktiviti mingguan di sekolahnya, keluhan pasti meniti di bibirnya. Perginya tanpa rela. Hadirnya tanpa hati. Sekadar memenuhi tuntutan peraturan dunia. Tiada terlintas di hatinya, hal itu dilakukan kerana ILAHI. 


Hari silih berganti. Dia terus sabar mengenakan tudung labuh yang pada perkiraannya sangat membebankan. Sabar yang lama kelamaan membuahkan kerelaan, yang akhirnya memutikkan keihklasan jauh dari dasar hari paling dalam. Dia semakin istiqamah. Sikapnya mula berubah. Mengenakan tudung labuh kerana kerelaannya sendiri, tanpa sebarang paksaan. Perlahan-lahan perubahn demi perubahan dilaksanakannya. Dia menemui tujuan hidupnya. Dalam pada itu, entah berapa banyak cubaan silih berganti. Dia hampir goyah. Namun, berkat persaudaraan kukuh yang terbina, dia selamat. Ada rakan yang menyedarkan dirinya. Setiap hujung minggunya diisi dengan pertemuan bersama rakan seusrahnya yang bukan sahaja sebaya malah mereka yang lebih senior. 


Terikat dengan bermacam-macam aktiviti sekolah tidak menghalangnya untuk bergiat di jalan ALLAH.
Usia kian mematangkannya. Dia sedia mengorbankan waktunya untuk amanah suci yang terpikul dibahunya. Kesabarannya memutikkan keikhlasan dan kesungguhan. Hatinya tenang dan puas dapat melaksanakan setiap tuntutan ILAHI. Saat teruji, dia kuatkan hati. Zikrullah semakin lekat di bibir. Tidak putus-putus. Bimbang kalau-kalau hati terleka.

**************

Hari ini, dia masih teguh di atas jalan ILAHI. Dia bersyukur kerana masih beroleh hidayah dariNYA. Dan, dia tahu, tanpa kesabaran yang mantap, tidak akan lahir keikhlasan dari lubuk hati paling dalam. 

P/s: Rekaan semata-mata


**************
"Kesabaran perlu dipupuk, keihlasan perlu dibentuk."
wassalam, 
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

No comments:

Post a Comment