Friday, June 17, 2011

Untuk awak, sahabat saya..

Assalamualaikum..


Persahabatan itu indah. Bersahabat kerana Allah membentuk kekuatan. 
Saya bukan sahabat yang baik. Saya tidak sempurna. Kala awak kesakitan dibelit seribu masalah, saya hanya mampu berdiam diri dan melihat kerana saya tidak terdaya untuk membantu. Hanya doa yang mampu saya kirimkan. Sahabat, saya di sini mengetahui mengenai apa yang sedang awak lalui. Tapi, tidak mengerti. Hanya mengetahui. Untuk bertanya, saya masih belum punya keyakinan. Saya gusar akan menyinggung hati awak. Saya risau kalau ada manik-manik jernih yang gugur saat pertanyaan itu saya utarakan. Saya tahu awak dah puas menangis. Saya tahu, kalaupun saya menyatakan bahawa saya sangat memahami apa yang awak lalui, apa yang saya fahami itu tidak akan pernah sama dengan apa yang awak lalui. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya, kan... 

Sahabat, sebagaimana yang pernah saya katakan dulu. Positif. Apapun masalah yang sedang membelenggu fikiran, positif terhadapnya. Lihatlah masalah yang hadir sebagai suatu peluang. Peluang  mencari redha Allah. Sebesar manapun masalah itu, apabila dipositifkan akan mampu mengubah persepsi kita terhadap sesuatu masalah. Insya Allah. 

Banyakkan bergantung pada Allah. Banyakkan mengadu pada Dia. Luahkan pada Nya, meskipun kita sedia maklum Dia lebih tahu tentang setiap apa yang terjadi. Tidak salah juga andainya awak mahu meluahkan permasalahan yang membelenggu hati awak dengan mereka yang sudi mendengar. Dengan izinNya, kedukaan itu bisa terubat. Setiap penyakit ada ubatnya, inikan pula masalah. Pasti ada penyelesaiannya. Penyelesaiaan yang paling utama, kembali padaNya. Mohon padaNya, agarr dipermudahkan setiap hal yang terbaik buat diri. Mohon padaNya, agar dikurniakan kekuatan untuk menghadapi segala sesuatu. :)

wallahu'alam
wassalam
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar
sahabatmu~


Wednesday, June 15, 2011

Kemewahan suatu keperluan?

Assalamualaikum..
lama tak tulis~





Siapa tak mahu apabila segala kemewahan di depan mata..
Siapa yang tidak mengidamkan setiap titis harta yang menyaji pandangan mata..
Lumrah manusia sememangnya punya kemahuan dan naluri ingin memiliki setiap yang mencuri perhatian. Tidak kiralah sepayah mana pun, sebesar mana pun pengorbanan yang perlu dilakukan, pasti dikejarnya kemewahan yang dalam sangkaannya mampu mewarnai kehidupan.
Tanpa dia sedari, kehidupan itu sementara. Kemewahan yang dikejar entah di mana penghujungnya juga akan terhenti suatu ketika nanti.

 Ya, manusia tak mampu lari dari fitrahnya yang suka pada kemewahan, kecantikan. Namun, hal ini mampu dibendung apabila hati dididik dengan iman. Iman menghalang kesilapan akal dalam mentafsir erti sesuatu kemewahan dan kecantikan yang sememangnya bersifat subjektif dan berbeza di mata setiap insan. Iman membendung seseorang untuk bersikap mementingkan diri sendiri apabila bertimbun-timbun harta diperolehnya berkat nikmat kurnia ALLAH. Seseorang yang punya iman, dan hati yang terdidik dengan sewajarnya mampu bertindak menurut syariat, menginfakkan hartanya ke jalan Yang Maha Esa, membantu perjuangan menegakkan islam.

Suatu ketika, kemewahan hanya menjadi kemahuan untuk di'ternak' tanpa dimanfaatkan sedikit pun buat islam. Kemewahan inilah yang tidak ada nilainya dan tidak mampu mebawa pemiliknya ke mana. Suatu ketika yang lain, 'kemewahan' suatu keperluan untuk menggerakkan perjuangan menegakkan kalimah ALLAH. Biar kita miskin dalam memiliki, asal kita mewah dalam memberi untuk agama ALLAH. 

Muhasabah diri pengubat terbaik dalam menghadapi sebarang situasi. Melihat mereka yang kurang bernasib baik daripada diri kita sambil berkata, 'Terima kasih, ya ALLAH. Segala puji bagiMU.' Bersyukur kerana DIA telah mengurniakan sesuatu yang tidak DIA kurniakan buat yang lainnya. Melihat seorang yang tidak pernah lekang dari mengingati ALLAH, katakanlah"dia tidak pernah lupa akan hakikat dirinya sebagai hamba, bagaimana dengan aku?" Apabila melihat seorang anak kecil yang masih belum kenal erti kehidupan, katakanlah"Dia masih kecil. Jiwanya masih bersih dan suci. Tidak seperti aku yang entah sudah berapa kali kotoran hinggap di jiwa yang sering goyah ini.." Melihat seorang warga emas, jalannya sudah bongkok, sudah tiada daya, katakanlah, "Dia diberi ALLAH usia yang panjang. Pasti sudah banyak bekalan yang terkumpul untuk dibawanya bertemu dengan Pencipta. Bagaimana dengan aku? sampaikah aku pada usia sebegitu...?"

wallahu'alam.
Betulkan saya andai ada yang salah:)
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar