Wednesday, June 15, 2011

Kemewahan suatu keperluan?

Assalamualaikum..
lama tak tulis~





Siapa tak mahu apabila segala kemewahan di depan mata..
Siapa yang tidak mengidamkan setiap titis harta yang menyaji pandangan mata..
Lumrah manusia sememangnya punya kemahuan dan naluri ingin memiliki setiap yang mencuri perhatian. Tidak kiralah sepayah mana pun, sebesar mana pun pengorbanan yang perlu dilakukan, pasti dikejarnya kemewahan yang dalam sangkaannya mampu mewarnai kehidupan.
Tanpa dia sedari, kehidupan itu sementara. Kemewahan yang dikejar entah di mana penghujungnya juga akan terhenti suatu ketika nanti.

 Ya, manusia tak mampu lari dari fitrahnya yang suka pada kemewahan, kecantikan. Namun, hal ini mampu dibendung apabila hati dididik dengan iman. Iman menghalang kesilapan akal dalam mentafsir erti sesuatu kemewahan dan kecantikan yang sememangnya bersifat subjektif dan berbeza di mata setiap insan. Iman membendung seseorang untuk bersikap mementingkan diri sendiri apabila bertimbun-timbun harta diperolehnya berkat nikmat kurnia ALLAH. Seseorang yang punya iman, dan hati yang terdidik dengan sewajarnya mampu bertindak menurut syariat, menginfakkan hartanya ke jalan Yang Maha Esa, membantu perjuangan menegakkan islam.

Suatu ketika, kemewahan hanya menjadi kemahuan untuk di'ternak' tanpa dimanfaatkan sedikit pun buat islam. Kemewahan inilah yang tidak ada nilainya dan tidak mampu mebawa pemiliknya ke mana. Suatu ketika yang lain, 'kemewahan' suatu keperluan untuk menggerakkan perjuangan menegakkan kalimah ALLAH. Biar kita miskin dalam memiliki, asal kita mewah dalam memberi untuk agama ALLAH. 

Muhasabah diri pengubat terbaik dalam menghadapi sebarang situasi. Melihat mereka yang kurang bernasib baik daripada diri kita sambil berkata, 'Terima kasih, ya ALLAH. Segala puji bagiMU.' Bersyukur kerana DIA telah mengurniakan sesuatu yang tidak DIA kurniakan buat yang lainnya. Melihat seorang yang tidak pernah lekang dari mengingati ALLAH, katakanlah"dia tidak pernah lupa akan hakikat dirinya sebagai hamba, bagaimana dengan aku?" Apabila melihat seorang anak kecil yang masih belum kenal erti kehidupan, katakanlah"Dia masih kecil. Jiwanya masih bersih dan suci. Tidak seperti aku yang entah sudah berapa kali kotoran hinggap di jiwa yang sering goyah ini.." Melihat seorang warga emas, jalannya sudah bongkok, sudah tiada daya, katakanlah, "Dia diberi ALLAH usia yang panjang. Pasti sudah banyak bekalan yang terkumpul untuk dibawanya bertemu dengan Pencipta. Bagaimana dengan aku? sampaikah aku pada usia sebegitu...?"

wallahu'alam.
Betulkan saya andai ada yang salah:)
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

No comments:

Post a Comment