Assalamualaikum..
Alhamdulillah. Hari ini saya berpeluang menghadirkan diri ke program Transformasi Kendiri. Program khas untuk pelajar puteri Smka Maahad Hamidiah. Pengisian utamanya berkaitan dengan Ikhtilat. Turut disentuh adalah, isu hedonisme. Rata-rata remaja hari ini sering meletakkan hedonisme itu sebagai salah satu perkara penting dalam kehidupan.
“Berhibur tiada salahnya, kerana hiburan itu indah, hanya apabila salah memilihnya, membuat kita jadi bersalah.”
Islam tidak melarang kita berhibur. Hanya memberi panduan. Hiburan yang paling berkesan untuk menghilang kegusaran di jiwa adalah dengan mentadabbur ayat-ayat Allah. Kita seronok melaung-laungkan bait-bait lirik penyanyi-penyanyi kafir yang tidak mengakui kewujudan Allah, tanpa kita tahu bahawa semua itu merupakan apa yang telah direncanakan oleh musuh Allah untuk merapuhkan jiwa umat islam. Mereka bertindak sedemikian untuk menyingkirkan nilai diri seorang hamba dalam diri setiap muslim. Seorang muslim yang mempunyai nilai dir seorang hamba dalam dirinya, sanggup berkorban apa sahaja untuk Pencipta yang satu. Namun, musuh-musuh Allah mengakui kelemahan kita. Mereka mencucuk jarum untuk membiarkan umat islam terus hanyut dan leka terbuai dengan keasyikan dunia sehingga melupakan tanggungjawab terhadap Allah.
"Saya nyanyi lagu-lagu tu suka-suka sahaja. Solat saya tetap solat. "
Boleh jadi inilah yang akan lahir kalau tidak dari mulut, hanya dari corong hati. Kita tidak boleh mengasingkan antara islam dan kehidupan. Islam itu cara hidup yang syumul. Solat kita penentu kehidupan kita. Baik solat kita, baiklah kehidupan kita. Solat mencegah kita daripada berbuat kemungkaran. Rasulullah menyuruh kita membenci kemungkaran (selemah-lemah iman). Bagaimana dengan kita? Kita adalah sebaliknya. Kita bangga melaung-laungkan bait-bait lirik penyanyi-penyanyi yang tidak mengakui kebesaran Allah. Telah berjayalah musuh-musuh islam dalam meletakkan satu racun dalam hati kita. Kerana lambat laun hati kita akan gelap. Satu titik. Satu titik. Akhirnya gelap sepenuhnya. Nauzubillah. Kita masih mampu merubahnya. Selagi nyawa belum sampai ke kerongkong insya Allah. Step by step. Fake it till you make it.
Ungkapan Ustazah Marzilah,
Biasakan yang betul.Betulkan yang biasa.
Berbalik kepada prorgam Transformasi Kendiri, terpalit sedikit kekecewaan. Apabila saya mendengar ada antara pelajar yang sememangnya saya hormati, mengomel apabila pelajar yang duduk di bahagian belakang menyuarakan bahawa mereka tidak mendengar dengan jelas video yang sedang dipaparkan. Bukan saya mahu memperbesar isu kecil begini. Tetapi, kita patut meraikan kehadiran mereka di program itu. Kita tidak tahu, kehadiran yang mungkin dipaksa-paksa pada awalnya akhirnya mampu merubah diri mereka sedikit demi sedikit. Kita patut meraikan setiap hal kebaikan yang dilakukan oleh mereka. Hal ini mampu menjadi pendorong untuk mereka berubah. Kita selaku insan yang menjadi penggerak untuk mendorong insan lain berubah atau dalam kata lain, seorang Dai'e perlulah sentiasa positif dalam membentuk perubahan dalam diri mereka. Perubahan sukar untuk berlaku dalam masa yang singkat.
Bayi sebelum pandai bertatih, perlu belajar untuk merangkak, duduk dan berdiri. Berperingkat. Begitu juga dalam membentuk perubahan dalam diri. Usaha yang berperingkat dan berterusan. Anak kecil semasa pertama kali belajar berjalan, entah berapa kali jatuh. Setiap kali jatuh, dia akan bangun lagi. Tidak pernah serik. Begitulah analoginya dalam membentuk perubahan diri. Teringat sebuah kisah yang pernah diceritakan oleh salah seorang sahabat di Smka Maahad Hamidiah.
Analogi si anak gajah.
Seekor anak gajah telah dirantai sejak kecil. Sejak hari pertama dia dirantai, dia berusaha untuk melepaskan diri daripada rantai yang membelenggunya. Walaubagaimanapun, usahanya gagal. Penat berusaha. Akhirnya, si anak gajah tidak pernah berusaha untuk membebaskan dirinya lagi. Sehinggalah si anak gajah meningkat dewasa. Tubuhnya besar. Namun, si anak gajah tidak pernah berusaha untuk membebaskan diri. Hal ini terjadi kerana si anak gajah telah berputus asa untuk mencuba sejak kecil. Akhirnya, si anak gajah ini terus dibelenggu rantai yang mengikat dirinya walaupun sebenarnya dengan sekali rentapan sahaja si anak gajah ini mampu mengubah nasibnya.
Usaha kita dalam membentuk perubahan itu perlu berterusan. Istiqamah. Tanpa mengenal erti putus asa. Sebuah lagi kisah yang turut disampaikan oleh seorang sahabat di Smka Maahad Hamidiah ketika forum Isra' dan Mikraj. Kisahnya berkisar mengenai seorang pemuda yang tinggal di dalam sebuah kampung. Si pemuda ini seorang yang sangat rajin berkebun (*kalau tidak silap). Walaubagaimanapun, si pemuda ini, tidak pernah menunaikan tuntutan solat sejak kecil. Penduduk kampung tersebut yang sangat prihatin terhadap pemuda itu sering mengajak ulama' untuk mendidik si pemuda itu untuk bersolat. Setiap ulama' yang datang bertemu si pemuda itu, pasti akan bersyarah panjang terhadap si pemuda. Suatu hari, seorang 'alim telah dijemput untuk mendidik si pemuda itu untuk bersolat. Pendekatan yang digunakan olehnya amat berbeza dengan ulama' sebelumnya. Beliau bersahabat dengan si pemuda tadi dan menetap di rumah pemuda tadi untuk beberapa hari. Tiba hari kepulangannya, dia meminta si pemuda tadi untuk menunaikan solat subuh. Sejak hari itu, si pemuda ini tidak pernah meninggalkan solat subuh. Kemudian, tahun berikutnya, si 'alim ini datang lagi berjumpa dengan si pemuda itu. Si 'alim ini bertanya mengenai perihal solat subuh si pemuda. Alhamdulillah, tidak pernah tinggal. Si 'alim ini menetap bersama si pemuda itu untuk beberapa hari. Sebelum pulang, si 'alim sekali lagi meminta agar si pemuda itu untuk menunaikan solat zuhur. Sejak hari itu, si pemuda itu tidak pernah meninggalkan solat subuh dan solat zuhur. Begitulah tahun-tahun berikutnya. Si 'Alim ini, mengambil masa 5 tahun untuk menjinakkan si pemuda untuk bersolat lima waktu sehari semalam. Perubahan yang sedikit demi sedikit tapi berterusan.
Namun, janganlah perkara ini menjadi alasan untuk kita bertangguh. Secara berperingkat tidak bermaksud kita perlu bertangguh dalam melaksanakan perubahan tersebut.
The man who decided to change on the twelfth hour dies on the eleventh
Karya Hlovate antara penceritaan terbaik mengenai manusia yang ingin berubah. Bermula daripada seorang remaja lelaki yang cintakan art&music, Fend mula menjinakkan diri dengan masjid apabila tiba-tiba Chad mempelawanya untuk ke Australia. Pengembaraan mereka ke Australia seterusnya membawa perubaha besar dalam diri mereka. Berpuasa di Australia. Membina ukhuwwah bersama jemaah di masjid; tempat mereka menumpang tidur. Bangun di sepertiga malam. Berbuka bersama. Bertadarus bersama. Keindahan ukhuwwah yang terbentuk hasil dari iman yang tersemai, meskipun berbeza bangsa dan budaya. Pengalaman di sana mengajar mereka erti kehidupan. Pada awalnya, mereka sendiri liat untuk berubah. Tetapi, secara berperingkat mereka membawa diri mereka setapak demi setapak ke arah perubahan yang lebih baik.
Berdasarkan dua kisah ini, kita dapat mengambil kesimpulan, perubahan mampu dibentuk melalui jalinan ukhuwwah yang kukuh. Kasih sayang kerana Allah merupakan kunci untuk mendidik diri kita sendiri serta diri sahabat kita ke arah yang lebih baik.
*******
Buat sahabat.
Peringatan ini buat kita bersama. Kita sama-sama manusia. Kehidupan kita di dunia ini cuma sementara. Beringatlah sebelum menghadapNya. Hiburan itu dunia semata-mata. Ketenangan yang abadi itu datang dariNya. Kenapa perlu mengharap pada makhluk yang tak sempurna? Kembalilah padaNya. Kerana Dia sentiasa merindui doa kita. Letakkan cintaNya di tangga pertama. Letakkan Dia di tempat selayaknya. Bahagia hari ini bukan bahagia selamanya. Takut nanti di sana kita kan kecewa. Sahabat, sayang ini keranaNya. Semoga kita nanti di bawah naungan RahmatNya, di sana. Amin.
********
Ramadhan bakal menjelang. Iman melonjak-lonjak girang. Syaitan berang.
Salam Ramadhan 1432h.
Maaf dipohon menyucikan diri sebelum tibanya Ramadhan.
Saya hanya manusia biasa. Maafkan saya kalau saya salah.
wallahu'alam
Wassalam :)
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar
No comments:
Post a Comment