Friday, February 19, 2010

Ikhlas, tak ikhlas?

Assalamualaikum..

Bicara ini dimulai dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam atas junjungan nabi yang mulia, juga buat para sahabat serta ahli keluarga baginda. Perjalanan hidup ini bermacam karenahnya. Pelbagai ranjau dan durinya. Seketika kebahagiaan yang kita kecapi. Seketika lagi duka dan hiba yang menghurung diri. Begitulah rentetan kehidupan anak Adam di muka bumi ILAHI. Seketika dipuji. Seketika nanti disisih, dihina malah dicerca. Begitulah hakikatnya kehidupan. Sebentar di atas sebentar lagi di bawah. Kerana itu, dalam menjalani kehidupan ini, sifat yang seharusnya disisihkan daripada diri kita sama sekali adalah sifat bongkak. Takbur. Sifat inilah yang bakal memutuskan amalan kita dengan ALLAH. Dengan sifat yang seumpama inilah, menyebabkan tiada ketulusan yang lahir dari jiwa kita dalam melaksanakan amal di atas dunia ini. Seandainya amalan yang dilaksanakan hadir tanpa sebenih ketulusan yang tertanam di hati, sudah pastinya secara tidak langsung kesannya membawa kepada kehidupan ini. Setiap amalan yang dikerjakan, sentiasa disertai pengharapan agar insan lain menghargai dan memujinya. Bukankah ini sudah cukup menunjukkan riak? Nauzubillahiminzalik.

Biarlah amal kita itu disertai ketulusan dan keikhlasan. Ikhlas itu amat mudah sekali dilafazkan, namun sukar sekali untuk mengesan kewujudannya. Umpama mencari seekor semut hitam di atas sebiji batu hitam. Kehadirannya mampu dirasai, namun sukar sekali untuk mencuri pandangan.

Biarlah hanya ALLAH yang menilai diri. ALLAH itu sebaik-baik PENILAI. PENILAI yang sangat adil dalam melaksanakan penilaian ke atas hamba-hambaNYA. Tidak memandang pada pangkat, harta, keturunan jua rupa paras. Hanya keimanan dan ketaqwaan yang menjadi pengukurnya. Tidak seperti penilaian manusia yang sangat cetek ilmunya. Hanya setitis sekiranya hendak dibandingkan dengan ilmu ALLAH yang lebih daripada lautan yang terbentang di atas muka bumi ini. Manusia sering kali menilai sesuatu berasaskan kepentingan material. Kepentingan dunia.

Begitulah hakikat yang diri ini juga tidak mampu menafikannya. Diri ini juga terkadang tersilap langkahnya dalam meniti tiatian kehidupan di atas bumi ILAHI. Diri ini juga terkadang terlepas pandang atas kesilapan yang dilakukan. Maafkan diri ini atas khilafnya diri.
Wassalam~
-Anaqi.NorsyafiqahSaifulAnuar-
19 Februari 2010

No comments:

Post a Comment