Monday, March 29, 2010

Mereka tahu, Tapi..

Assalamualaikum..

Hari ini, kepingin sekali untuk berbicara tentang sesuatu yang boleh dikatakan menjadi 'kegemaran' dalam kalangan masyarakat di Malaysia yang rata-ratanya terdiri daripada mereka yang berpegang dengan ajaran islam, iaitu, meyakini bahawasanya tiada Tuhan melainkan ALLAH, dan Rasulullah itu pesuruhNYA. Perkara ini mungkin sinonim dalam masyarakat hari ini. Tidaklah semua. Tapi, rata-ratanya, begitulah, berkepul-kepul asap keluar dari mulut. Entah di mana keenakan dan kenikmatan yang mereka rasai sehingga mereka sanggup berhabis duit untuk membeli sekotak rokok sehari ataupun lebih daripada itu.

Yang pasti, mereka sangat mengerti. Malah mungkin lebih tahu tentang bahana rokok pada si perokok mahupun orang di sekelilingnya. Tapi, mengapa mereka masih menjadikan rokok itu satu kemestian dalam hari-hari yang mereka lalui.

Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.


Bukankah lebih baik wang disalurkan buat membeli rokok, digunakan untuk berbakti di jalan ALLAH? Mungkin hidayah ALLAH belum sampai pada mereka. Tidakkah mereka tahu, rokok inilah antara salah satu perkara yang disogokkan buat orang islam oleh para kafir musyrik?

Nak berubah, Tapi..
Mungkin juga ada antara mereka yang sememangnya berniat untuk membawa diri beranjak ke hadapan dengan meninggal rokok untuk mencapai hidup yang lebih baik, tapi, masih juga mencari alasan sehingga akhirnya, niat itu hanya sekadar niat tanpa sebarang usaha. Niat tidak cukup. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Mereka yang mencipta alasan sebenarnya, menempah sebuah kegagalan sebelum mencuba. Mereka sendiri yang membuka ruang supaya diri mereka terus berada di takuk lama. Sedangkan, kalau usaha yang dilaksanakan berterusan, dituruti dengan tawakal dan berserah padaNYA, insya-ALLAH, bakal menatijahkan sesuatu yang lebih baik. Nanti, ALLAH akan tanya tentang usaha kita dalam mengubah diri dan seterusnya orang sekeliling kita ke jalanNYA, ALLAH tidak menyoal tentang natijah daripada usaha kita. Yang penting usaha. Tanpa usaha, hanya berkata; "esok aku nak berubah." Tapi, tiada sebarang usaha agar apa yang diperkatakan menjadi kenyataan tidak akan membawa ke mana.Kita ialah apa yang kita usahakan. Bukan apa yang orang lain buat pada kita. Pergilah ke mana sekalipun, kelas bimbingan, kelas agama.. Kalau diri kita tidak mahu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan usaha kita untuk menjadi lebih baik, kita akan tetap menjadi kita yang lama. wallahua'lam... Setakat ini coretan ana. Assalamualaikum.

anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

Wednesday, March 24, 2010

Hari itu...

Titisan hujan yang tadi setia membasahi bumi telah berhenti. Cahaya mentari petang mula terpalit di seluruh pandangan ini. Seketika itu juga hati ini mengungkap bicara memuji TUHAN pencipta sekalian alam. TUHAN yang telah menciptakan setiap yang ada di langit dan di bumi. Maha suci NYA. Tiada Tuhan melainkanNYA.

-------------------------

Saat aku sendirian, terdetik di hati ini tentang sesuatu yang memalitkan kesan di hati. Sesuatu yang mencoretkan kalam keinsafan di hati. Sesuatu yang membuatkan setiap manusia ingat pada PENCIPTAnya. Sesuatu yang pasti terjadi yang tidak ada keraguan padanya. Sesuatu yang telah dijanjikan oleh ALLAH. Sesuatu yang telah KekasihNYA sampaikan. Sesuatu yang sehingga saat ini, si kafir musyrik masih terus mengingkarinya. Enggan akur pada peringatan dariNYA. Sesuatu yang cuba disangkal oleh mereka yang tidak mengakui kewujudanNYA. Itulah Kiamat! Sesuatu yang tidak mampu disangkal oleh sesiapa. Raja? Maharaja? Permaisuri? tidak ada. Tiada siapa yang mampu menyangkal tentang hari tersebut. ALLAH telah mendatangkan peringatanNYA kepada hamba-hambaNYA yang mahu mengikut jalan yang lurus melalui pesuruh-pesuruhNYA. Tetapi, masih juga golongan yang enggan akur dengan peringatan yang dititipkan. MAsih juga terus angkuh mempertahankan kekuasaan di muka bumi. Melakukan kezaliman tanpa belas kasihan. Berbuat dosa tanpa sebarang rasa bersalah. Berkata-kata nista tanpa segan silu. Mengadu domba tanpa sekelumit gerun pada azabNYA. Azab yang telah DIA janjikan dalam firman-firmanNYA.

"Hari kiamat, (1) Apakah hari kiamat itu? (2) Dan tahukah kamu apakah hari kiamat itu? (3) Pada hari itu, manusia seperti laron yang berterbangan (4) Dan gunung-gunung seperti dihambur-hamburkan (5) Maka adapun orang yang berat timbangan (kebaikan)nya (6) maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan (senang) (7) Dan adapun orang yang ringan timbangan (kebaikan) nya, (8) Maka tempat kembalinya adalah neraka hawiyah. (9) dan tahukah kamu apakah neraka hawiyah itu?(10) (iaitu) api yang sangat panas (11)"

[Surah Al-Qari'ah:1-11]

Bagaimana mungkin kita boleh terus menyia-nyiakan sisa hidup kita yang entahkan bila bakal berakhir tanpa sebarang pengabdian dan pengorbanan di jalanNYA. Tidakkah hati ini bakal dipalit penyesalan kelak. Tidakkah nanti jasad dan roh ini bakal meronta minta dikembalikan ke dunia untuk menginsafi diri dan menawar bakti di jalanNYA. Dan saat itu, tiada lagi waktu buat kita. Yang tersisa, yang boleh membantu hanya amalan kita. Saat itu tiada ibu, tiada bapa yang bakal membela. Hanya amalan kita. Dan tidak dilupakan syafaat dari Junjungan. Itupun, seandainya kita beramal dengan sunnahnya dan sentiasa berselawat ke atasnya.
Tidak mampu dibayangkan, betapa terseksanya diri ini saat berada di padang mahsyar. Manusia yang berada di sana entahkan berapa bilangannya, terlalu banyak. Sesak. Matahari sejengkal dari kepala. Saat itu, yang dapat membantu hanya amal. Andainya saat di muka bumi ALLAH ini kita sibuk menggoyang kaki. Tanpa mengeluarkan setitis keringatpun di jalanNYA, kelak, di sana peluh itulah yang bakal menenggelamkan kita ketika di padang Mahsyar. Apatah lagi penantian yang entah berapa lama yang bakal kita harungi menunggu untuk dihisab. Tidakkah kita gerun dengan apa yang telah DIA janjikan ini? Atau adakah kita berani menjamin, bahawa sememangnya amalan kita sudah cukup banyak dan sudah mampu membantu kita di sana? Entah. Jawapan itu hanya ada pada diri kita.
Sememangnya kita melaksanakan solat, puasa.. Tapi, persoalannya, adakah sudah mencukupi setiap ibadah itu tanpa ada keyakinan, kepercayaan, keimanan, dan ketaqwaan yang mantap di dalam hati? Kita solat namun, kita masih melakukan dosa. Ini menunjukkan, solat kita tidak disertai keimanan, kepercayaan yang mantap pada PENCIPTA. Seandainya, solat kita disertai dengan aspek-aspek tersebut, sudah pastinya kita akan berasa seolah-olah diri ini sentiasa diawasi. Seolah-olah setiap yang kita lakukan sentiasa dalam pemerhatian NYA, sehingga menyebabkan kita malu dan takut untuk melakukan dosa.
Berbicara soal malu, masyarakat hari ini seolah-olah sudah dibelenggu rantai jahiliyyah sehingga menyisihkan malu yang selama ini menjadi pelindung diri daripada berbuat dosa. Gejala yang suatu ketika dulu menjadi amalan masyarakat jahiliyyah, saat sebelum kedatangan islam kini sudah berulang. Zina berleluasa. Lahirnya anak luar nikah. Pembunuhan. Pembuangan bayi. Senario ini dilihat semakin menjadi satu trend. Tidakkah kita takut nanti di sana kita bakal disoal oleh NYA tentang usaha kita membanteras perkara mungkar, dan kita tidak mampu menjawab persoalan yang diajukan kerana kita tidak pernah mengerah sedikit pun tenaga kita untuk melaksanakannya.
Aku sedih melihat kita, kau dan aku, mereka terus menelusuri hayat ini tanpa berbakti pada NYA. Tanpa mengabdikan diri pada NYA. Tanpa mengucapkan syukur padaNYA. Pesan rasul diabaikan, perintah ALLAH tak diendahkan. Yang dilarang dijadikan amalan. Nauzubillahhiminzalik...

------------------------------

Sahabat, masalah itu dan ini kian meruncing
sesama muslim sering berbalah semata-mata
kerana mahu merampas kuasa..
Sesama muslim tega menuding jari dan menfitnah
kerana pangkat dan harta dunia..

Sahabat, tidak mahukah engkau melihat islam bangkit lagi?
bangkit sebagai agama yang disegani...
Agama yang suci tanpa dinodai silap dan dosa penganutnya..
Aku pinta... Pimpin tangan ku..
ayuh kita melangkah menuju jalanNYA..

Jangan sekali kau siakan usia muda mu
kerana dunia semata-mata..
Tiada apa yang perlu kau kejar melainkan akhirat..
Ingat! mereka yang mencari dunia,
akan dapat dunia..
sedangkan, mereka yang mencari akhirat ..
bakal menggenggam kedua-duanya,
Dunia dan akhirat..
InsyaALLAH.

maafkan diri ini, andai ada silapnya..
Wallahua'lam
Wassalam..
anaqi.nosyafiqahsaifulanuar

Wednesday, March 17, 2010

Si anak..

Kalam ini aku tuntaskan saat jiwa ini menginginkan sebuah pengertian yang sekian lama tertanam di lubuk hati yang paling dalam. Tidak mampu untuk aku mengarang madah sehebat seorang karyawan hebat. Cukuplah sekadar aku menulis setiap yang bermain di benak ini mengikut melodi hati yang kian mendayu. Aku bukan penulis hebat seperti sasterawan Negara. Yang mampu jariku tarikan di atas lembaran ini, hanyalah sekadar ini. Inilah diriku.



-----------------------------------------------------------------------------------------



Saat matanya merenung melihat keadaan di sekeliling. Corong telinganya menangkap melodi riang dan gelak tawa manusia. Keseronokan bermain di setiap ceruk. Seolah-olah dunia akan kekal selamanya. Seolah-olah tiada hari pembalasan sebagaimana yang dijanjikanNya. Pelbagai persoalan yang meniti di titian jiwa. Jiwa manusia biasa yang rapuh. ‘ Ke mana hilangnya pejuang agama Allah yang sangat dinantikan?’ ‘Di mana letaknya agama itu pada hari ini?’ ' Kenapa orang islam sekarang tak sehebat Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda, sebagaimana yang selalu umi ceritakan?' 'Kenapa kakak tu pakai macam tu? Bukan ke itu pakaian yang tak menutup aurat?' Persoalan itu terus membelit dirinya.

"Aisyah, kenapa dari tadi umi tengok Aisyah termenung saja. Ada apa-apa yang tak kena?" Soal si ibu sebaik sahaja tiba di tempat parkir kereta.

" Aisyah peliklah, umi. Umi selalu cerita tentang sahabat-sahabat nabi dan umat islam yang hidup semasa zaman nabi. Tapi, kenapa umat islam sekarang tak macam umat islam yang hidup masa zaman nabi? Kenapa umat islam sekarang tak macam peribadi Rasulullah dan para sahabat baginda, macam yang umi cerita, tu.." Pintu kereta dikuak. Aisyah melangkah menaiki kereta myvi milik ibunya.

"Aisyah, umat sekarang termasuk kita ini telah disuapkan dengan bermacam-macam rancangan jahat orang kafir yang nak sangat tengok islam jatuh. Dan, usaha mereka boleh dikira berjaya. Kerana, orang islam sekarang banyak yang dah terpengaruh dengan apa yang mereka bawa."

"Apa yang mereka bawa, umi?" Soal Aisyah berminat.

"Mereka sogok kita dengan macam-macam. Mereka menyerang kita. Tapi, mereka tak guna senjata. Mereka cuma guna media, dan pemikiran dengan mengetengahkan budaya-budaya yang tak elok. Yang tak sesuai orang islam amalkan"jawab ibunya sambil menumpukan perhatian pada pemanduan.

"Oh.. Sebab itulah kakak tadi tu pakai pakaian tak tutup aurat, ya umi?"

"Sayang, kakak tu mungkin belum dikurniakan hidayah oleh ALLAH. Sebab itu dia berpakaian macam tu. Aisyah doakanlah kakak tu supaya ALLAH kurniakan hidayah pada dia."

" Umi, kenapa pula Aisyah yang kena doakan. Kakak tu tak sembahyang ke? Kakak tu tak doa ke? Aisyah bukan kenal dia pun. Dia pun tak kenal Aisyah" Aisyah pelik dengan jawapan ibunya.

"Aisyah, kita tak semestinya mendoakan orang yang kita kenal atau orang yang kenal kita saja. Kita doakan untuk se,mua orang islam. Orang islamkan bersaudara?"

"Aahlah. Aisyah lupa." Aisyah tersenyum menampakkan barisan giginya.

Diam sebentar.

"Umi, boleh tak kita berseronok macam abang-abang dan kakak-kakak tadi? Umi kata dunia bukan tempat untuk kita berseronok." Aisyah membenihkan persoalan.

"Kenapa Aisyah tanya? Aisyah teringin ke?" Soal si ibu sambil mempamerkan senyuman.

" Taklah. Aisyah tanya saja. Aisyah peliklah. Umi kata dunia bukan tempat kita berseronok. Umi kata dunia ni tempat kita menjalankan amanah ALLAH. Tapi, kenapa abang-abang dengan kakak-kakak tu seronok-seronok?"

"Macam umi cakap tadi. Mungkin mereka tidak diberikan hidayah lagi oleh ALLAH tentang tanggungjawab mereka di atas muka bumi ini. Aisyah doakanlah. Itu saja yang Aisyah mampu buat setakat ini. Nanti, Aisyah dah besar. Aisyah boleh bimbing mereka. Bawa mereka kembali ke jalan ALLAH." Si ibu masih tidak jemu menjawab soalan-soalan yang terbit dari anak kecilnya.

"Oklah, Aisyah nak belajar rajin-rajin. Tapi,, Aisyah nak jadi doktor. Aisyah tak nak jadi Ustazah. Macam mana Aisyah nak bawa mereka ke jalan ALLAH?"

"Aisyah, kerja dakwah ni, bukan khusus untuk ustazah saja. Orang biasa pun boleh berdakwah kalau ada ilmu. Sebab itulah Aisyah kena belajar rajin-rajin. Supaya, dunia Aisyah dapat, Akhirat pun Aisyah dapat. Dan, Aisyah boleh tolong orang, kan?"

"Terima kasih, Umi. Sayang Umi!" Aisyah tersenyum menampakkan barisan giginya.

"Sama-sama. Lepas ni, Aisyah kena tolong umi juag."

"Tolong apa? Aisyah sedia membantu." ceria suara anak kecil itu.

"Tolong umi masaklah." Senyuman terpamer di bibir si ibu.

"OKAY.Untuk umi, Apa saja." Keletah Aisyah cukup membuahkan ceria. Anak kecil berusia 8 tahun itu sangat petah dalam berkata-kata. Mungkin sekali kerana didikan kedua-dua ibu bapanya.



wassalam.
Anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

Sunday, March 7, 2010

Lagi,.. lagi dan lagi!

Lagi berita pembuangan bayi bertandang di dada akhbar. Entah di mana silapnya. Manusia seakan hilang perikemanusiaannya. Apa yang ditakuti dan dibimbangi adalah, lama kelamaan, fenomena ini menjadi satu 'trend'. Nauzubillah.
Malah, lebih dibimbangi lagi, seandainya tingkah yang melanggar syariat ini, menjadi sesuatu yang sebati dalam masyarakat hari ini. Teknologi semakin maju, tapi masyarakat semakin mundur. Masyarakat kembali pada jalan jahiliyyah sebagaimana zaman sebelum kedatangan islam. Kehidupan inikah yang dikatakan mengikut trend masa kini? Kehidupan yang bergelumbang maksiat inikah yang dinamakan mengikut peredaran zaman? Astaghfirullah..

Ya ALLAH,..
Ampunkan dosa kami, hamba-hambaMU..
yang tidak pernah lekang dari berbuat dosa..
Jauhkanlah kami dari perkara-perkara yang bisa mengundang murkaMU..
Jauhkanlah hati-hati kami dari bisikan makhluk itu..
Makhluk yang pernah berjanji untuk memesongkan anak adam dari landasan yang benar..

Ya ALLAH,..
Lindungi kami daripada fitnah akhir zaman..
Fitnah yang sangat besar..
Bimbinglah kami menuju jalan yang ENGKAU redhai..
Bimbinglah kami menuju cintaMU..
Hanya pada MU kami memohon..
dan hanya padaMU kami bertawakal..

Friday, March 5, 2010

Itu..Ini


' Mengapa mesti pertikaikan itu dan ini, sedangkan tiada sebarang tindakan yang dilaksanakan buat mencari penyelesaiannya. Sebaliknya, kau hanya berbicara itu dan ini.
Menyangkal itu dan ini. Bicara yang penuh emosi. Tanpa sebarang rasional di sisi. Mencari silap orang itu orang ini.Menuding jari, melabelkan orang itu, orang ini. Sedangkan kesilapan sendiri belum tentu mampu dibaiki.'

---------------------

Beginilah kebiasaannya. Manusia. Termasuk diri ini yang tidak pernah lari dari melakukan kesilapan. Itu sesuatu yang tidak mampu diri ini nafikan. Kuman di seberang menjadi tatapan, namun gajah melintas di hadapan mata, tidak disedari.

Menurut perkiraan diri ini, alangkah baiknya andainya kita sama-sama melihat kurang dan lemahnya diri daripada sibuk menyelongkar silapnya insan lain. Kita sering mengatakan orang itu begini, begitu.. Siapa kita untuk melabel mereka? Kita bukan Tuhan. Bukankah lebih baik untuk kita mendoakan mereka agar mampu melihat kebenaran dan hidayah ALLAH. Perlukah kita melabelkan, 'orang ini teruk.' 'Orang ini tidak boleh diubah langsung.' Kenapa mesti kita melabelkan sebegitu sedangkan kita tidak mengerahkan sedikit pun tenaga kita untuk mengubah mereka. Cukupkah dengan hanya sekadar melabelkan mereka itu begitu, begini?
Renungilah hakikat diri. Kita dan mereka tiada bezanya. Diciptakan dari tanah juga. Rupa paras, wajah atau apa sekalipun tak memainkan peranan di sisi ALLAH. Yang penting hanya iman dan taqwa.

Andainya kita sibuk menuding jari pada orang itu, orang ini, kita tidak kurang lebihnya berbanding dengan mereka. Mereka begitu, kita pula begini. Tiada bezanya.





wallahua'lam
wassalam
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

Monday, March 1, 2010

Bicara bisu sekeping hati

Jalan kehidupan ini terus dilalui biarpun peritnya luka di hati masih terasa. Luka yang dari sehari ke sehari membengkak. Cuba diubati. Namun, sebagaimana kebiasaan pada diri insan yang lemah dan hina, hati ini terus terhasut dengan bisikan syaitan laknatullah. Melihat fenomena di sekeliling, amat payah untuk diri ini bertemu dan bersua dengan seorang insan yang benar-benar bisa membimbing diri ini. Hanya Ayah dan Bonda menjadi pembakar buat diri supaya keinsafan dan kesedaran itu terus bertakhta di hati. Hati ini menangis. Menangis kerana khilaf diri yang sering lupa pada DIA dan KekasihNYA. Bibir ini sering menuturkan rindu pada DIA dan KekasihNYA, namun, kadangkala.. malah, mungkin sering, diri ini melupakan DIA dan KekasihNYA. Saat mentari membawa diri, saat itulah juga hati ini terusik. Saat itulah juga hati ini berkata-kata sendirian, menyingkap lembaran kehidupan. Menyingkap helaian demi helaian yang akhirnya membuatkan hati ini menangis. Tangisan tanpa setitis air mata yang gugur. Tangisan yang hanya dirasai jiwa ini. Jiwa yang bergelumang dosa. Kala langit diselimuti kegelapan, diri ini menanam azam. Namun, siangnya, diri ini mengkhianatinya. Begitulah kitarannya. Mudah benar tewas dengan pujukan duniawi. Sedangkan diri ini tahu dunia itu hanya sementara.

Kala hati tercari-cari, saat itu juga kerinduan buat dia menggamit hati ini. Kerinduan pada kekasih yang amat mulia. Meskipun selama ini namanya setia meniti di bibir, namun kali ini adalah berbeza. Sangat berbeza. Kerinduan ini membuka mata yang selama ini dikaburi bisikan makhluk yang tidak pernah mengenal erti putus asa dalam 'mendidik' anak Adam supaya mengikut jejaknya ke Neraka. Destinasi yang sudah pasti buatnya dan para pengikutnya. Dan diri ini, tidak mahu menjadi sebahagian daripada mereka. Kerana itu, hati ini punya keinginan. Keinginan untuk membawa diri mencari segunung keinsafan buat diri. Sedang diri terkapai-kapai inilah kerinduan itu hadir. Sekaligus meleraikan kekusutan yang melanda fikiran. Dialah yang kucari. Dialah yang wajar kuteladani. Dialah insan itu. Insan maksum. Yang suci daripada berbuat dosa dan maksiat. Padanyalah contoh yang terbaik. Dialah kekasih ALLAH. Muhammad Rasulullah. Kekasih yang dirindui. Namanya setia meniti di bibir sehingga saat ini meskipun sudah bertahun lamanya, dia pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Cintanya pada ummah, tidak ternilai harganya.


Pengorbanannya buat ummah..
tidak terkata..
pengabdiannya pada TUHANnya,..
membuatkan diri ini terasa kerdil dan hina..
Akhlak dan budinya..
membuatkan diri ini jatuh cinta..
Ketabahannya mengharungi badai kehidupan,..
melahirkan rasa buat diri yang hina..
Meskipun wajahnya tidak pernah menyaji ruang mata..
Cukuplah sekadar kalamnya yang tersemat di hati..

Selawat dan salam atas junjungan
Rasulullah S.A.W...

---------------------------

Diri ini malu. Malu kerana sering mengulang sebuah kesilapan. Malu kerana sering melupakan diriNYA. Malu kerana asyik mengadu padaNYA. Malu kerana sering meminta dariNYA. Sedang diri ini lekang sekali dalam mengabdikan diri padaNYA...

Tundukku malu didepanMu
kernaku insan berdosa
kuadukan sesalanku
apakah kan Kau terima

kesunyian ini sedarkan diriku yang lena
tinggalkan semalam yang nanah
lantas meratap hina kan ku pada sempurnaMu
terpaut aku tak berpaling

ku bersyukur hanya padaMu tuhan
kau temukan laluan bermula
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara yang melepaskan dahaga

suburkan cahaya menerangi langkahku
semaikan segala hiasan indah cintaMu

ku bersyukur hanya padaMu tuhan
kau tunjukkan laluan ku pulang
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara yang melepaskan dahaga

ku mohon kau tenangkan gusar hatiku yang rawan
bimbang Kau singkirkan taubatku
kurayu Kau hulurkan keampunanMu padaku
kelakku zalimi diriku

Janjiku padaMu abdikan seluruh jiwa
sehingga masanya kau seru hujung nyawaku

ku bersyukur hanya padaMu tuhan
kau tunjukkan laluan ku pulang
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara yang melepaskan dahaga

Tak jemu dimanakah hentinya rayuan taubatku padaMu....

----------------------------------

wassalam~
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar