Wednesday, March 24, 2010

Hari itu...

Titisan hujan yang tadi setia membasahi bumi telah berhenti. Cahaya mentari petang mula terpalit di seluruh pandangan ini. Seketika itu juga hati ini mengungkap bicara memuji TUHAN pencipta sekalian alam. TUHAN yang telah menciptakan setiap yang ada di langit dan di bumi. Maha suci NYA. Tiada Tuhan melainkanNYA.

-------------------------

Saat aku sendirian, terdetik di hati ini tentang sesuatu yang memalitkan kesan di hati. Sesuatu yang mencoretkan kalam keinsafan di hati. Sesuatu yang membuatkan setiap manusia ingat pada PENCIPTAnya. Sesuatu yang pasti terjadi yang tidak ada keraguan padanya. Sesuatu yang telah dijanjikan oleh ALLAH. Sesuatu yang telah KekasihNYA sampaikan. Sesuatu yang sehingga saat ini, si kafir musyrik masih terus mengingkarinya. Enggan akur pada peringatan dariNYA. Sesuatu yang cuba disangkal oleh mereka yang tidak mengakui kewujudanNYA. Itulah Kiamat! Sesuatu yang tidak mampu disangkal oleh sesiapa. Raja? Maharaja? Permaisuri? tidak ada. Tiada siapa yang mampu menyangkal tentang hari tersebut. ALLAH telah mendatangkan peringatanNYA kepada hamba-hambaNYA yang mahu mengikut jalan yang lurus melalui pesuruh-pesuruhNYA. Tetapi, masih juga golongan yang enggan akur dengan peringatan yang dititipkan. MAsih juga terus angkuh mempertahankan kekuasaan di muka bumi. Melakukan kezaliman tanpa belas kasihan. Berbuat dosa tanpa sebarang rasa bersalah. Berkata-kata nista tanpa segan silu. Mengadu domba tanpa sekelumit gerun pada azabNYA. Azab yang telah DIA janjikan dalam firman-firmanNYA.

"Hari kiamat, (1) Apakah hari kiamat itu? (2) Dan tahukah kamu apakah hari kiamat itu? (3) Pada hari itu, manusia seperti laron yang berterbangan (4) Dan gunung-gunung seperti dihambur-hamburkan (5) Maka adapun orang yang berat timbangan (kebaikan)nya (6) maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan (senang) (7) Dan adapun orang yang ringan timbangan (kebaikan) nya, (8) Maka tempat kembalinya adalah neraka hawiyah. (9) dan tahukah kamu apakah neraka hawiyah itu?(10) (iaitu) api yang sangat panas (11)"

[Surah Al-Qari'ah:1-11]

Bagaimana mungkin kita boleh terus menyia-nyiakan sisa hidup kita yang entahkan bila bakal berakhir tanpa sebarang pengabdian dan pengorbanan di jalanNYA. Tidakkah hati ini bakal dipalit penyesalan kelak. Tidakkah nanti jasad dan roh ini bakal meronta minta dikembalikan ke dunia untuk menginsafi diri dan menawar bakti di jalanNYA. Dan saat itu, tiada lagi waktu buat kita. Yang tersisa, yang boleh membantu hanya amalan kita. Saat itu tiada ibu, tiada bapa yang bakal membela. Hanya amalan kita. Dan tidak dilupakan syafaat dari Junjungan. Itupun, seandainya kita beramal dengan sunnahnya dan sentiasa berselawat ke atasnya.
Tidak mampu dibayangkan, betapa terseksanya diri ini saat berada di padang mahsyar. Manusia yang berada di sana entahkan berapa bilangannya, terlalu banyak. Sesak. Matahari sejengkal dari kepala. Saat itu, yang dapat membantu hanya amal. Andainya saat di muka bumi ALLAH ini kita sibuk menggoyang kaki. Tanpa mengeluarkan setitis keringatpun di jalanNYA, kelak, di sana peluh itulah yang bakal menenggelamkan kita ketika di padang Mahsyar. Apatah lagi penantian yang entah berapa lama yang bakal kita harungi menunggu untuk dihisab. Tidakkah kita gerun dengan apa yang telah DIA janjikan ini? Atau adakah kita berani menjamin, bahawa sememangnya amalan kita sudah cukup banyak dan sudah mampu membantu kita di sana? Entah. Jawapan itu hanya ada pada diri kita.
Sememangnya kita melaksanakan solat, puasa.. Tapi, persoalannya, adakah sudah mencukupi setiap ibadah itu tanpa ada keyakinan, kepercayaan, keimanan, dan ketaqwaan yang mantap di dalam hati? Kita solat namun, kita masih melakukan dosa. Ini menunjukkan, solat kita tidak disertai keimanan, kepercayaan yang mantap pada PENCIPTA. Seandainya, solat kita disertai dengan aspek-aspek tersebut, sudah pastinya kita akan berasa seolah-olah diri ini sentiasa diawasi. Seolah-olah setiap yang kita lakukan sentiasa dalam pemerhatian NYA, sehingga menyebabkan kita malu dan takut untuk melakukan dosa.
Berbicara soal malu, masyarakat hari ini seolah-olah sudah dibelenggu rantai jahiliyyah sehingga menyisihkan malu yang selama ini menjadi pelindung diri daripada berbuat dosa. Gejala yang suatu ketika dulu menjadi amalan masyarakat jahiliyyah, saat sebelum kedatangan islam kini sudah berulang. Zina berleluasa. Lahirnya anak luar nikah. Pembunuhan. Pembuangan bayi. Senario ini dilihat semakin menjadi satu trend. Tidakkah kita takut nanti di sana kita bakal disoal oleh NYA tentang usaha kita membanteras perkara mungkar, dan kita tidak mampu menjawab persoalan yang diajukan kerana kita tidak pernah mengerah sedikit pun tenaga kita untuk melaksanakannya.
Aku sedih melihat kita, kau dan aku, mereka terus menelusuri hayat ini tanpa berbakti pada NYA. Tanpa mengabdikan diri pada NYA. Tanpa mengucapkan syukur padaNYA. Pesan rasul diabaikan, perintah ALLAH tak diendahkan. Yang dilarang dijadikan amalan. Nauzubillahhiminzalik...

------------------------------

Sahabat, masalah itu dan ini kian meruncing
sesama muslim sering berbalah semata-mata
kerana mahu merampas kuasa..
Sesama muslim tega menuding jari dan menfitnah
kerana pangkat dan harta dunia..

Sahabat, tidak mahukah engkau melihat islam bangkit lagi?
bangkit sebagai agama yang disegani...
Agama yang suci tanpa dinodai silap dan dosa penganutnya..
Aku pinta... Pimpin tangan ku..
ayuh kita melangkah menuju jalanNYA..

Jangan sekali kau siakan usia muda mu
kerana dunia semata-mata..
Tiada apa yang perlu kau kejar melainkan akhirat..
Ingat! mereka yang mencari dunia,
akan dapat dunia..
sedangkan, mereka yang mencari akhirat ..
bakal menggenggam kedua-duanya,
Dunia dan akhirat..
InsyaALLAH.

maafkan diri ini, andai ada silapnya..
Wallahua'lam
Wassalam..
anaqi.nosyafiqahsaifulanuar

No comments:

Post a Comment