Monday, March 1, 2010

Bicara bisu sekeping hati

Jalan kehidupan ini terus dilalui biarpun peritnya luka di hati masih terasa. Luka yang dari sehari ke sehari membengkak. Cuba diubati. Namun, sebagaimana kebiasaan pada diri insan yang lemah dan hina, hati ini terus terhasut dengan bisikan syaitan laknatullah. Melihat fenomena di sekeliling, amat payah untuk diri ini bertemu dan bersua dengan seorang insan yang benar-benar bisa membimbing diri ini. Hanya Ayah dan Bonda menjadi pembakar buat diri supaya keinsafan dan kesedaran itu terus bertakhta di hati. Hati ini menangis. Menangis kerana khilaf diri yang sering lupa pada DIA dan KekasihNYA. Bibir ini sering menuturkan rindu pada DIA dan KekasihNYA, namun, kadangkala.. malah, mungkin sering, diri ini melupakan DIA dan KekasihNYA. Saat mentari membawa diri, saat itulah juga hati ini terusik. Saat itulah juga hati ini berkata-kata sendirian, menyingkap lembaran kehidupan. Menyingkap helaian demi helaian yang akhirnya membuatkan hati ini menangis. Tangisan tanpa setitis air mata yang gugur. Tangisan yang hanya dirasai jiwa ini. Jiwa yang bergelumang dosa. Kala langit diselimuti kegelapan, diri ini menanam azam. Namun, siangnya, diri ini mengkhianatinya. Begitulah kitarannya. Mudah benar tewas dengan pujukan duniawi. Sedangkan diri ini tahu dunia itu hanya sementara.

Kala hati tercari-cari, saat itu juga kerinduan buat dia menggamit hati ini. Kerinduan pada kekasih yang amat mulia. Meskipun selama ini namanya setia meniti di bibir, namun kali ini adalah berbeza. Sangat berbeza. Kerinduan ini membuka mata yang selama ini dikaburi bisikan makhluk yang tidak pernah mengenal erti putus asa dalam 'mendidik' anak Adam supaya mengikut jejaknya ke Neraka. Destinasi yang sudah pasti buatnya dan para pengikutnya. Dan diri ini, tidak mahu menjadi sebahagian daripada mereka. Kerana itu, hati ini punya keinginan. Keinginan untuk membawa diri mencari segunung keinsafan buat diri. Sedang diri terkapai-kapai inilah kerinduan itu hadir. Sekaligus meleraikan kekusutan yang melanda fikiran. Dialah yang kucari. Dialah yang wajar kuteladani. Dialah insan itu. Insan maksum. Yang suci daripada berbuat dosa dan maksiat. Padanyalah contoh yang terbaik. Dialah kekasih ALLAH. Muhammad Rasulullah. Kekasih yang dirindui. Namanya setia meniti di bibir sehingga saat ini meskipun sudah bertahun lamanya, dia pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Cintanya pada ummah, tidak ternilai harganya.


Pengorbanannya buat ummah..
tidak terkata..
pengabdiannya pada TUHANnya,..
membuatkan diri ini terasa kerdil dan hina..
Akhlak dan budinya..
membuatkan diri ini jatuh cinta..
Ketabahannya mengharungi badai kehidupan,..
melahirkan rasa buat diri yang hina..
Meskipun wajahnya tidak pernah menyaji ruang mata..
Cukuplah sekadar kalamnya yang tersemat di hati..

Selawat dan salam atas junjungan
Rasulullah S.A.W...

---------------------------

Diri ini malu. Malu kerana sering mengulang sebuah kesilapan. Malu kerana sering melupakan diriNYA. Malu kerana asyik mengadu padaNYA. Malu kerana sering meminta dariNYA. Sedang diri ini lekang sekali dalam mengabdikan diri padaNYA...

Tundukku malu didepanMu
kernaku insan berdosa
kuadukan sesalanku
apakah kan Kau terima

kesunyian ini sedarkan diriku yang lena
tinggalkan semalam yang nanah
lantas meratap hina kan ku pada sempurnaMu
terpaut aku tak berpaling

ku bersyukur hanya padaMu tuhan
kau temukan laluan bermula
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara yang melepaskan dahaga

suburkan cahaya menerangi langkahku
semaikan segala hiasan indah cintaMu

ku bersyukur hanya padaMu tuhan
kau tunjukkan laluan ku pulang
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara yang melepaskan dahaga

ku mohon kau tenangkan gusar hatiku yang rawan
bimbang Kau singkirkan taubatku
kurayu Kau hulurkan keampunanMu padaku
kelakku zalimi diriku

Janjiku padaMu abdikan seluruh jiwa
sehingga masanya kau seru hujung nyawaku

ku bersyukur hanya padaMu tuhan
kau tunjukkan laluan ku pulang
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara yang melepaskan dahaga

Tak jemu dimanakah hentinya rayuan taubatku padaMu....

----------------------------------

wassalam~
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

No comments:

Post a Comment