Thursday, July 29, 2010

"Kenapa dia begitu? Di mana silapnya?"

assalamualaikum..

"Kenapa dia begitu? Dimana silapnya? aku sendiri kurang mengerti.." hati ini mengalunkan persoalan, yang mungkin juga satu keluhan. "Kenapa begini?... ahh"
nauzubillah. Tenangkan hati ini, ya ALLAH. Berikan petunjuk buat hati ini, bahawa setiap yang terjadi itu adalah tanda kasih MU. Tabahkannya, ya ALLAH. Kepada siapa lagi selayaknya diadukan segala-galanya kalau bukan padaMU.

Semalam begitu, hari ini begini.. Mungkin Setiap yang terjadi ini ALLAh tentukan buatku agar aku melihat semula khilaf diri. Ya, aku mengakui, dan aku pasti tiada siapa mampu menafikan fitrah manusia yang tidak sempurna dan sering berbuat khilaf. Begitulah hakikat diri. Tidak perlu untuk menuding jari pada dia, dia dan dia. Mereka juga manusia seperti diri ku. Tiada yang istimewa melainkan nilai iman dan taqwa di sisi DIA, pencipta sekalian alam.

Tiada yang mampu menyingkap bicara hati. Hanya DIA yang mengerti. Aku gelisah. Aku gusar. Aku takut. Aku bimbang. Segalanya bermukim di nubari ini. Melihat sekeliling, dari sehari ke sehari, semakin tandus nilai barakah. Aku sangat gusar, rahmatNYA dan RedhaNYA jauh dari diri ini dan mereka, sedangkan redha dan RahmatNYA itu sangat penting buat kita selaku hamba.

"Mungkin ada hikmah" sudah tentu sekali. ALLAH tidak akan menguji hambaNYA dengan sesuatu yang tiada terdaya untuk hambaNYA. Pasti ALLAH menguji agar hambaNYA mampu menyingkap hikmah di sebalik ujian dan terus memacu ke hadapan bersama seribu pengajaran di sebalik setiap kejadian. "Tiada bumi yang tidak ditimpa hujan.." ya, air laut juga ada pasang surutnya. Inikan pula manusia, yang pasti ada saat genting mahupun sukar.

Pandanglah setiap yang terjadi itu dengan pandangan positif, kerana what you see is, what you get! Apa yang anda lihat, adalah apa yang anda dapat. Melihat sesuatu itu dari sudut positif, akan memberikan hasil yang positif juga, insya ALLAH.

Pesanan buat hati. Hati, saat kamu dirundung kecewa, renungi setiap yang telah DIA anugerahkan buat mu. Terlalu banyak, bukan? Bersyukurlah meskipun kamu sedang menghadapi musibah, kerana DIA akan menambah lagi nikmat buat barang siapa yang bersyukur atas apa sahaja kurniaan yang dianugerahkanNYA buat hambaNYA. Hati, Saat kau dibelit kegusaran, bertawakal padanya, mohon ketenangan daripadaNYA. Mohonlah agar apa yang diusahakan menatijahkan hasil yang selayaknya. Hati, andai kamu gagal di pertengahan, tidak bermakna kamu gagal selamanya. Teruskan melangkah. Gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya! Berusahalah sehabis mungkin, dan kemudian berserah padaNYA. ALLAH menilai usaha bukan hasil. Jadi, tidak perlu kecewa andai kamu gagal setelah berusaha.

"Lebih baik kalah daripada menyerah!" Hati, apabila sedih memahat hati, menangislah dan adukan segalanya pada DIA kerana hanya DIA yang mengerti bicara hatimu. DIA yang maha mengerti. Terakhir yang tidak membawa maksud berakhir, hati ini milik ALLAH, hanya dengan mengingatiNYA hati ini akan tenang!

wallahualam
wassalam
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar



Wednesday, July 21, 2010

Kerana aku mengganggap kamu sebagai teman, atau mungkin juga sahabat...

assalamualaikum..

Cukuplah, tak perlu lagi memendam rasa. Sekian lama ku pendam, hati ini semakin tercalar. Bukan kerana kecewa, tapi kerana sedih melihat kau terus-terusan menuruti keegoan diri. Aku tahu aku bukan sesiapa. Aku tahu wujudnya aku atau ghaibnya aku takkan membawa apa-apa perubahan pada dirimu. Itu aku sangat pasti. Tapi, kerana aku mengganggap kamu sebagai rakan ku, teman ku, hati ini cukup sedih melihat apa yang terjadi pada dirimu. Aku tiada daya upaya. Hanya kalam bisu yang mampu aku titipkan. Bagaimana mahu aku ungkapkan pada mu? aku kurang mengerti mengapa hati mu masih belum lentur. Mungkin kalam yang aku titipkan belum cukup menyentuh jiwa mu. Mungkin ada yang tidak kena pada niatnya. Mungkin juga kerana kesilapanku sendiri yang berbicara tanpa berhikmah. Maafkan aku kerana kurang mengerti. Aku juga manusia. Mungkin aku terlalu mendesak. Aku tidak sempurna. Maafkan aku. Aku menitipkan kata-kata kerana kamu aku anggap sebagai teman, rakan dan mungkin juga sahabat buatku, meskipun aku tahu kamu tidak mengganggap aku sebegitu, jauh sekali mengganggap ku sebagai sahabat, kalau rakan pun tidak. Aku tidak peduli itu. Izinkan aku memanggil mu sahabatku..

sahabat,
aku sememangnya tidak mengerti apa yang kau rasai, dan mungkin tidak akan mengerti sama sekali. Apapun yang kau rasai, kembalilah padaNYA. Kenapa mesti menghamburkan kata-kata nista, sedangkan DIA ada. Hati mu akan tenang, andai segalanya kau adukan padaNYA, dan bukan dengan cara menghina manusia lain. Tindakan mu menghina manusia lain itu, tidak kurangnya seperti menghina ciptaanNYA, dan menunjukkan takbur mu padaNYA. Nauzubillahiminzalik.. Takbur itu pakaian ALLAH. Tidak layak untuk kita memakainya. Dan, ciri-ciri orang yang takbur itu adalah, enggan memaafkan orang lain. Jangan sesekali merasa diri kita sudah cukup mulia berbanding orang lain, meskipun dengan seorang pelaku dosa. Mungkin sekali si pelaku dosa itu akan mendapat tempat yang lebih mulia di sisi ALLAH, kerana dia memperoleh khusnul khatimah, sedangkan kita mendapat tempat yang lebih rendah berbandingnya, kerana kita tidak dapat menggapai khusnul khatimah. Nauzubillahiminzalik..
Jangan sesekali kamu merasakan, diri mu hina apabila menerima teguran. Berlapang dadalah, dalam menerima apa sahaja teguran. Bersyukurlah kerana DIA masih mahu mengingatkan kita, saat kita terleka. Saat tuduhan mahupun fitnah dilemparkan, cukuplah untuk kita melihat semula diri kita dan mencari di mana silapnya, kerana kadang kala, pintu kepada fitnah itu ada pada diri kita sendiri tanpa kita sedari.

Kalam ini, bukan hanya untuk mu, tapi buat diriku yang juga tidak terlepas dari berbuat khilaf..

Kalau aku mahu,
boleh sahaja aku biarkan kamu terus begitu,
tapi kerana aku mengganggap kamu sebagai temanku,...

Maafkan aku kerana tidak mengerti.
Maafkan aku kerana silap dalam memberi.

wassalam.
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar


Sunday, July 18, 2010

Keagungan dan kebijaksanaanNYA..

Assalamualaikum,..

Teringat pula beberapa hari yang lalu, semasa belajar tentang star and galaxies. Subhanallah.. hanya itu mampu aku ucapkan, betapa agungnya ALLAH. Alam semesta itu luas. Kitaran kejadian bintang, yang terbentuk daripada nebula dan berakhir sama ada me
njadi white dwarf atau black hole atau neutron star. Matahari yang sebesar-besar bintang dalam sistem suria, itupun ada yang lebih besar. Galaksi yang menempatkan bumi ini, hanya ibarat satu titik di alam semesta. Dalam pada itu, hati ini tertanya-tanya, kalaulah galaksi yang menempatkan kita itu hanya seperti satu titik di alam semesta, bagaimana pula dengan kita? Kita berbangga dengan apa yang kita ada di bumi, kita berbangga dengan bangunan-bangunan setinggi langit, rupa-rupanya langit itu sangat tinggi dan apa yang kita banggakan itu tak ubah seperti sebutir pasir atau mungkin lebih kecil berbanding itu. Kita berjalan di atas muka bumi Tuhan dengan penuh rasa takbur, berbangga dengan kekayaan, kecantikan dan keindahan yang bukan hak mutlak kita.

Semalam, dalam perjalanan pulang ke rumah daripada rumah mak cik saudaraku di Melaka, aku tidak mampu melelapkan mata, meskipun kegelapan langit yang menjamu pandangan. Aku tidak jemu melihat bulan yang menampakkan tidak sampai satu per dua wajahnya. Seketika itu juga, hati ini dipalit beribu pujian buatNYA. KeagunganNYA, KebijaksanaanNYA mengatur setiap yang di langit dan di bumi. Planet-planet beredar di atas orbit masing-masing, bintang-bintang menjadi sisa apabila tiba masanya. Subhanallah..

Manusia kadang-kadang, terlupa melihat alam menggunakan mata hati. Sebab itulah, ada yang masih menafikan kebijaksanaanNYA, kerana mereka melihat alam hanya menggunakan mata yang zahir, tanpa akal. Disebabkan itulah mereka menafikan keagunganNYA, sedangkan segalanya sudah tersaji di depan mata, terpulang pada kita bagaimana kita mentafsirnya.

*********
maha suci ENGKAU, ya ALLAH
Tuhan yang mencipta sekalian alam..
ENGKAU yang menciptakan manusia..
ENGKAU jua yang menciptakan setiap
yang ada di langit dan di bumi...
Tiada siapa mampu menafikan kekuasaanMU..
Tiada siapa yang mampu menafikan keagungan dan kebijaksanaanMU..

Terdetik di hati ini, bagaimana aku di hadapan MU..
Sedangkan tempat yang aku huni ini hanya sebutir pasir
berbanding luasnya kekuasaanMU..
Hinanya aku di sisimu, ya ALLAH..

Ya ALLAH, hanya Engkau yang mengetahui
rahsia hati manusia,..
Engkau jua yang menitipkan ketenangan di hati manusia,..
Titipkanlah ketenangan di hati kami, dia dan mereka..
ketenangan dalam mengingatiMU,
ketenangan dalam menyintaiMu....

wassalam~
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar


Friday, July 16, 2010

Syurga dan neraka; balasan buat yang berhak..

Assalamualaikum..

Pejam, celik. Pejam, celik. Bulan syaaban sudah pun membuka tirai. Ramadan bakal mengunjung hanya beberapa ketika sahaja lagi. Sedar ataupun tidak, kita sudah melalui separuh perjalanan dalam tahun ini. Cuba hitung semula, setiap yang telah kita usahakan sepanjang separuh perjalanan kita dalam tahun ini. Adakah sudah cukup untuk kita memperoleh kejayaan pada masa akan datang? Kejayaan yang lebih luas daripada kejayaan di dunia ini, iaitu di akhirat. Kejayaan, kebahagiaan, yang sudah tentunya suatu yang pasti. Kerana itu adalah janjiNYA. Firman ALLAH, maksudnya:

"Dan segeralah menuju keampunan Tuhanmu dan memasuki syurga yang lebarnya seperti langit dan bumi, disediakan buat orang yang bertakwa."

[surah al-imran 3: 133]

ALLAH itu Maha Adil, mereka yang berbuat kebaikan, dibalas dengan kebaikan, mereka yang berbuat kejahatan diberi peluang bertaubat selagi nyawanya belum sampai ke kerongkong dan selagi mentari masih terbit dari ufuk timur. Mereka yang berbuat kemungkaran di atas muka bumi ini, tetap tidak akan terlepas dari 'hadiah' istimewa yang sudah lama tersedia buat mereka. Firman ALLAH, maksudnya:

"...Peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang yang kafir..."

[ surah al-baqarah 2: 24]


Jangan pandang enteng pada janji ALLAH. Setiap yang telah termaktub dalam kalam suciNYA, sudah pasti merupakan janji yang benar. Azab di neraka itu tidak mampu kita bayangkan kerana segalanya di luar akal sihat kita, masakan tidak, kepanasan api yang membakar tubuh adalah 70 kali ganda lebih panas berbanding api di dunia. Sedangkan, suhu matahari(suhu permukaannya) itu sendiri adalah 6000 darjah celcius, bagaimana pula dengan darjah kepanasan api di akhirat nanti? Wallahu'alam.. Tak tercapai akal kita untuk berfikir soal itu, tapi yang pasti, azab yang dijanjikannya itu sangat pedih. Sebagaimana sabda Junjungan besar, Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang bermaksud;

"seringan-ringan seksaan penghuni neraka pada hari kiamat ialah orang yang diletakkan bara api di bawah kedua-dua telapak kakinya sehingga mendidih otaknya. Dia tidak menyangka bahawa ada orang lain yang lebih dahsyat seksaan daripadanya. Padahal dialah, orang yang paling ringan seksaannya,.."

[riwayat bukhari dan muslim]

Itu yang dinamakan seringan-ringan seksaan, bagaimana pula dengan seksaan yang lebih berat daripada itu? Hanya ALLAH yang mengetahuinya.

Begitu juga dengan janjiNYA buat mereka yang bertaqwa. Janji yang sangat pasti. Sebagaimana FirmanNYA dalam sebuah hadis Qudsi;

" Aku sediakan bagi hambaku yang soleh, syurga yang tidak pernah mata melihat, tidak pernah telinga mendengar dan tidak pernah terlintas di hati seseorang"
[riwayat Al-bukhari]


Indahnya nikmat syurga itu tidak mampu dibayangkan oleh akal fikiran kita. Itu adalah sebuah rahsia, yang nanti bakal terlerai apabila tiba masa yang telah ditetapkan, buat mereka yang beriman dan bertaqwa.

Nikmat syurga itu sangat diinginkan. Tanyalah pada siapapun, sudah pasti setiap insan akan memberi jawapan yang positif. Namun, persoalannya, dalam pada kita dibuai dunia hari ini, adakah terdetik di hati kita untuk memburu cintaNYA? Untuk menggapai redaNYA? Adakah kita sentiasa bersusah payah, mengerah keringat berjuang di atas jalanNYA? Fikir, renung, dan bertindaklah apa yang sepatutnya. Bawalah diri ke arah suatu perubahan yang positif, perubahan itu tidak akan terjadi dalam sekelip mata, segalanya memerlukan masa dan usaha. Sabar, bersungguh-sungguh, jadikan perisai. Itu yang wajar kita lakukan, bukan berputus asa dengan mengatakan "Aku kan jahat.." sejahat manapun kamu, kalau kamu ingin berubah, dan bertindak untuk berubah, kamu akan berubah. Hidayah itu memang pemberianNYA, tapi, itu tidak bermakna kita hanya menungkat dagu menunggu hidayah dariNYA, sudah tentunya, kita perlu berusaha untuk itu. ALLAH pasti akan membantu hamba NYA yang benar-benar ikhlas untuk berhijrah dari kegelapan kepada sinar yang pasti.
Kalam ini bukan sekadar buat kalian, tapi peringatan buat diri ini juga yang kadang-kadang terleka..



wallahua'alam
wassalam..
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

Sunday, July 11, 2010

Pemergiannya..

Assalamualaikum..
Hari ini, aku mendapat khabar tentang pemergiaannya..
Sesuatu yang di luar pengetahuan kita..
kerana sesungguhnya, DIA lebih mengetahui..
Segalanya telah tertulis...
Saat aku mendapat khabar itu,..
lidah ku tak mampu berbicara..
sangat terkejut..

innalillahi wainna ilaihi rajiun..
dia telah pergi, pergi buat selama-lamanya..
pergi bertemu Pencipta..
Hanya ALLAH yang tahu hati ku kala ini..
atma ku menangis sendiri..
ya ALLAH....

****************

Al Fatihah
buat,

Ustaz Ibrahim
Pengetua SMKA MAAHAD HAMIDIAH

wassalam..


Thursday, July 8, 2010

Sudahkah aku menjadi seorang sahabat?


"Sahabat sudi berkongsi suka dan duka, sahabat tidak sunyi dari ucapan pembakar semangat, sahabat tidak jemu mengungkap kata berunsur dorongan. Sahabat tidak bermuka-muka, sahabat menangis bersama kita tatkala peritnya kehidupan. Sahabat juga yang mengungkap ketabahan tatkala diri hampir berputus asa. Persoalannya, sudahkah aku menjadi seorang sahabat?"


Sudahkah aku menjadi seorang sahabat? persoalan ini adalah lebih utama untuk diajukan berbanding persoalan, Bisakah aku menemui seorang sahabat. Kita sering mengeluh, dia itu begini, dia itu begitu. Dia tidak pernah menghargai diri kita, dia ti
dak pernah bersikap adil pada diri kita dan bermacam-macam lagi ungkapan tidak puas hati kita pada dia. Aku juga tidak menafikannnya, aku juga begitu. Kala diri kabur, lemas dalam kemarahan bercampur keegoan, mulut tersilap bicara, sehingga lupa hakikat diri yang punya kekurangan sehingga terhambur keluhan tentang dirinya. Sedangkan, hakikat sebenar aku dan dia sama. Tiada beza, kerana kami sama-sama manusia yang perlukan bimbingan. Tiada guna kita mempersoal di mana sahabat tatkala kita kesusahan, yang patut kita persoalkan adalah, di mana kita tatkala sahabat kita kesusahan. Tidak perlu kita mengutarakan persoalan, di mana bisikan ketabahan dari seorang sahabat tatkala diri dirundung kecewa, sebaliknya utarakan persoalan apa tindakan kita tatkala sahabat dirundung kecewa.. Jangan pertikaikan itu dan ini tentang dia, sebaliknya pertikaikan diri kita sendiri, Adakah kita sudah menjadi sahabat yang cukup baik buat dia? Mencari seorang sahabat itu akan menemui kegagalan, sekiranya kita sendiri gagal menjadi sahabat yang baik, sahabat yang ciri-cirinya diinginkan oleh kita sendiri. Sahabat yang mengikat ukhuwah itu dengan iman.
Dan, aku akui, aku masih belum menjadi sahabat yang baik buat sahabat ku. Hati ini juga kekadang dilanda kegusaran. Gusar dan bimbang aku sudah melukai sahabat-sahabat ku. Aku bimbang tatkala melihat wajahnya mempamerkan kedukaan. Aku bimbang, akulah yang telah melukakan hatinya tanpa aku sedari.

****
Buat sahabat,
aku titipkan ungkapan maaf ku..
Aku tahu,
entah sudah berapa kali
hatimu, aku sakiti.
Maafkan aku.
Kerana aku hanya manusia
yang tidak kurang lebihnya berbanding kalian..
maafkan aku atas kesulitan yang aku timbulkan..
maafkan aku atas setiap air matamu yang tumpah kerana perbuatanku..
maafkan aku..
maafkan aku..

maafkan aku..!
wassalam~
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar