Friday, July 16, 2010

Syurga dan neraka; balasan buat yang berhak..

Assalamualaikum..

Pejam, celik. Pejam, celik. Bulan syaaban sudah pun membuka tirai. Ramadan bakal mengunjung hanya beberapa ketika sahaja lagi. Sedar ataupun tidak, kita sudah melalui separuh perjalanan dalam tahun ini. Cuba hitung semula, setiap yang telah kita usahakan sepanjang separuh perjalanan kita dalam tahun ini. Adakah sudah cukup untuk kita memperoleh kejayaan pada masa akan datang? Kejayaan yang lebih luas daripada kejayaan di dunia ini, iaitu di akhirat. Kejayaan, kebahagiaan, yang sudah tentunya suatu yang pasti. Kerana itu adalah janjiNYA. Firman ALLAH, maksudnya:

"Dan segeralah menuju keampunan Tuhanmu dan memasuki syurga yang lebarnya seperti langit dan bumi, disediakan buat orang yang bertakwa."

[surah al-imran 3: 133]

ALLAH itu Maha Adil, mereka yang berbuat kebaikan, dibalas dengan kebaikan, mereka yang berbuat kejahatan diberi peluang bertaubat selagi nyawanya belum sampai ke kerongkong dan selagi mentari masih terbit dari ufuk timur. Mereka yang berbuat kemungkaran di atas muka bumi ini, tetap tidak akan terlepas dari 'hadiah' istimewa yang sudah lama tersedia buat mereka. Firman ALLAH, maksudnya:

"...Peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang yang kafir..."

[ surah al-baqarah 2: 24]


Jangan pandang enteng pada janji ALLAH. Setiap yang telah termaktub dalam kalam suciNYA, sudah pasti merupakan janji yang benar. Azab di neraka itu tidak mampu kita bayangkan kerana segalanya di luar akal sihat kita, masakan tidak, kepanasan api yang membakar tubuh adalah 70 kali ganda lebih panas berbanding api di dunia. Sedangkan, suhu matahari(suhu permukaannya) itu sendiri adalah 6000 darjah celcius, bagaimana pula dengan darjah kepanasan api di akhirat nanti? Wallahu'alam.. Tak tercapai akal kita untuk berfikir soal itu, tapi yang pasti, azab yang dijanjikannya itu sangat pedih. Sebagaimana sabda Junjungan besar, Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang bermaksud;

"seringan-ringan seksaan penghuni neraka pada hari kiamat ialah orang yang diletakkan bara api di bawah kedua-dua telapak kakinya sehingga mendidih otaknya. Dia tidak menyangka bahawa ada orang lain yang lebih dahsyat seksaan daripadanya. Padahal dialah, orang yang paling ringan seksaannya,.."

[riwayat bukhari dan muslim]

Itu yang dinamakan seringan-ringan seksaan, bagaimana pula dengan seksaan yang lebih berat daripada itu? Hanya ALLAH yang mengetahuinya.

Begitu juga dengan janjiNYA buat mereka yang bertaqwa. Janji yang sangat pasti. Sebagaimana FirmanNYA dalam sebuah hadis Qudsi;

" Aku sediakan bagi hambaku yang soleh, syurga yang tidak pernah mata melihat, tidak pernah telinga mendengar dan tidak pernah terlintas di hati seseorang"
[riwayat Al-bukhari]


Indahnya nikmat syurga itu tidak mampu dibayangkan oleh akal fikiran kita. Itu adalah sebuah rahsia, yang nanti bakal terlerai apabila tiba masa yang telah ditetapkan, buat mereka yang beriman dan bertaqwa.

Nikmat syurga itu sangat diinginkan. Tanyalah pada siapapun, sudah pasti setiap insan akan memberi jawapan yang positif. Namun, persoalannya, dalam pada kita dibuai dunia hari ini, adakah terdetik di hati kita untuk memburu cintaNYA? Untuk menggapai redaNYA? Adakah kita sentiasa bersusah payah, mengerah keringat berjuang di atas jalanNYA? Fikir, renung, dan bertindaklah apa yang sepatutnya. Bawalah diri ke arah suatu perubahan yang positif, perubahan itu tidak akan terjadi dalam sekelip mata, segalanya memerlukan masa dan usaha. Sabar, bersungguh-sungguh, jadikan perisai. Itu yang wajar kita lakukan, bukan berputus asa dengan mengatakan "Aku kan jahat.." sejahat manapun kamu, kalau kamu ingin berubah, dan bertindak untuk berubah, kamu akan berubah. Hidayah itu memang pemberianNYA, tapi, itu tidak bermakna kita hanya menungkat dagu menunggu hidayah dariNYA, sudah tentunya, kita perlu berusaha untuk itu. ALLAH pasti akan membantu hamba NYA yang benar-benar ikhlas untuk berhijrah dari kegelapan kepada sinar yang pasti.
Kalam ini bukan sekadar buat kalian, tapi peringatan buat diri ini juga yang kadang-kadang terleka..



wallahua'alam
wassalam..
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

No comments:

Post a Comment