Sunday, March 27, 2011

Umar Abdul Aziz

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum..


Umar Abdul Aziz. Siapa yang tidak kenal pada sepotong nama ini? Siapa yang tidak pernah mendengar kisah-kisah beliau yang tersimpan dalam lipatan sejarah? Siapa yang tidak pernah mengenal gerangan si pemilik nama yang mempunyai susur galur dengan khalifah Umar Al-Khattab, sahabat yang Nabi Muhammad cintai. 


********


Kisah Umar Al-Khattab, si Penjual Susu dan Anaknya.


Pada suatu malam, Saidina Umar sebagaimana biasa, membuat rondaan bagi memastikan keselematan rakyatnya. Dalam kepekatan malam itu, tidak sengaja, Saidina Umar terdengar perbualan antara seorang wanita penjual susu dan anaknya. Si ibu meyuruh si anak agar mencampurkan susu yang hendak dijual keesokan hari dengan air agar kuantitinya untuk jualan akan bertambah dan mereka akan mengaut keuntungan. Namun, si anak enggan berbuat demikian. 
Si ibu menyatakan, 
"Amirul Mukminin tidak melihat apa yang kita lakukan"
Si anak menjawab,
"Wahai ibuku, jika Amirul Mu'minin tidak nampak, TUHAN Amirul Mu'minin nampak".
Menitis air mata Saidina Umar tatkala mendengar pengucapan gadis itu. Teguhnya ketakwaan kepada ALLAH yang mendorong si gadis itu untuk berbuat dosa meskipun dia sedia maklum, khalifah tidak melihat apa yang akan dikerjakannya.


********


Lahirnya Umar Abdul Aziz.


Hasil daripada perkahwinan 'Asim bin Umar dengan wanita hebat itu, lahirnya seorang wanita solehah, bernama Laila yang kemudiannya berkahwin dengan seorang tokoh Bani Umaiyah, bernama Abdul Aziz yang ketika itu merupakan Gabenor Mesir. Kemudian, lahirlah Umar Abdul Aziz.


Ketika kecilnya, Umar Abdul Aziz sangat suka belajar ilmu fiqh dan hadis daripada ulama' madinah. Beliau juga sangat disayangi penduduk Madinah. Beliau turut dipilih menjadi Gabenor Madinah.



Umar Abdul Aziz dan Khalifah Sulaiman Abdul Malik.


Umar Abdul Aziz sangat akrab dengan Khalifah Sulaiman Abdul Malik. 


Pada suatu hari Umar dibawa oleh Khalifah ke markas tenteranya. Maka ditanya oleh Khalifah kepada Umar, "Apa yang engkau lihat wahai Umar?"

Dijawab oleh Umar Abd Aziz,

"Aku sedang lihat dunia itu sedang memakan satu antara satu sama lain. Dan engkaulah orang yang bertanggungjawab dan akan dipersoalkan oleh Allah mengenainya."


"Kau tidak kagumkah dengan pemerintahan kita ini?" 
Tanya khalifah lagi.

Lalu dijawab oleh Umar Abdul Aziz.

"Bahkan yang paling mengkagumkan ialah orang yang mengenali Allah, kemudian menderhakaiNya. Mengenali syaitan, kemudian mengikutinya. Mengenali dunia, kemudian ia condong kepada dunia."

Sulaiman bin Abd Malik kagum dengan jawapan Umar Abd Aziz. Sehingga pada waktu kematian Sulaiman bin Abdul Malik, ketika dia sedang sakit, dia bertanya kepada Raja' Ibn Haiwah, menteri yang baik dan hebat dalam sejarah Islam.

"Aku sedang berfikir bagaimana aku hendak menyerahkan urusan pentadbiran kaum muslimin selepas ketiadaan ku nanti."

Jawab Raja' Ibn Haiwah,

 
"Wahai Amirul Mu'minin, antara perkara yang boleh menyebabkan engkau selamat dalam kubur dan mendapat syafaat di hari akhirat, engkau tinggalkan urusan pentadbiran ini kepada khalifah yang adil."

"Siapa?" tanya khalifah.

"Aku lihat Umar Abdul Aziz." jawab penasihatnya.

Maka ditulisnya di dalam surat lalu dipanggilnya semua ketua pentadbiran dan juga tentera-tentera lalu disuruhnya mengangkat baiah terhadap nama yang tertera di dalam surat tersebut.



Umar Abdul Aziz menjadi Khalifah.

Selepas kematiannya, maka semua orang berkumpul di dalam masjid untuk mengetahui siapakah yang akan menjadi khalifah selepas itu, lalu Raja' Ibn Haiwah membaca isi dalam surat tersebut. "Bangkit wahai Umar Abd Aziz. Engkaulah nama yang berada dalam surat ini."

Umar terperanjat lalu dia pun bangkit dan berkata kepada orang ramai.

"Wahai manusia, sesungguhnya jawatan ini telah diberikan kepadaku tanpa bermesyuarat dengan ku dan dengan kamu semua. Sesungguhnya aku mencabut baiah taat setia daripada tengkuk-tengkuk kamu maka kamu pilihnya sesiapa yang kamu mahu."

Semua orang yang hadir pada ketika itu menolak dan tetap kepada pemilihan Umar Abdul Aziz sebagai khalifah.



Kemudian pulanglah Umar Abdul Aziz ke rumah. Lalu berfikirlah dia apa yang perlu dilakukan olehnya sebagai khalifah sambil berehat di atas katil. Kemudian masuk anaknya, Abd Malik yang berusia 15 tahun.

"Wahai ayahku apa yang engkau sedang buat?"

Di jawab oleh Umar Abdul Aziz,

"Wahai anakku, ayahmu terlalu letih menguruskan jenazah. Dan ayahmu tidak pernah merasai satu keadaan yang tubuhku terlalu penat dengan jawatan seperti hari ini."

"Jadi apa yang engkau akan buat wahai ayah?"

"Ayahmu akan tidur sekejap sehingga masuk waktu zuhur, kemudian ayah akan keluar bersembahyang dengan orang ramai."

Maka jawab anaknya,

"Wahai Amirul Mu'minin, siapa yang menjamin Amirul Mu'minin hidup sehingga waktu zuhur. Sedangkan sekarang ialah waktu Amirul Mu'minin keluar untuk mengembalikan hak-hak orang yang telah dizalimi."

Tersentak dan terbangun Umar Abdul Aziz mendengar kata-kata anaknya. Lalu dipanggil anaknya datang menghampirinya dan dicium kedua mata anaknya.

"Alhamdulillah kerana telah dikeluarkan dariku, orang yang akan menolong aku di atas agamaku."

Salah satu khutbah Umar Abdul Aziz yang terkenal iaitu pada hari kedua dia menjadi khalifah :

"Wahai manusia, tidak ada kitab selepas al-Quran dan tidak ada nabi selepas Muhammad SAW. Aku bukan penentu hukum, aku pelaksana hukum Allah. Aku bukan ahli bid'ah, aku seorang yang mengikut sunnah. Aku bukan orang yang paling baik di kalangan kamu, cuma aku orang yang paling berat tanggungannya di kalangan kamu. Aku mengucapkan ucapan ku ini sedangkan aku tahu bahawa aku orang yang paling berdosa di sisi Allah."

Selepas itu, Khalifah Umar pulang ke rumah dan menangis mengenangkan ujian Allah yang sangat besar. Kemudian isterinya duduk di sebelahnya dan bertanya. "Apa yang Amirul Mu'minin tangiskan?"

Lalu dijawab oleh Khalifah,
"Wahai isteriku, aku telah diuji oleh Allah dengan jawatan ini. Dan aku teringat orang-orang miskin, aku teringat ibu-ibu yang janda, anaknya ramai tetapi rezkinya sedikit, aku teringat orang-orang dalam tawanan, aku teringat para fuqara' kaum muslimin. Aku tahu bahawasanya mereka semuanya ini, akan berdiri mendakwaku pada hari akhirat kelak dan aku tidak dapat menjawab hujah-hujah mereka sebagai khalifah. Kerna aku tahu pembela mereka pada ketika itu ialah Nabi Muhammad SAW."

2 tahun 5 bulan 5 hari mentadbir, maka terjadilah keadaan yang kita selalu dengar iaitu tiada orang-orang miskin yang layak menerima zakat lagi wujud pada waktu itu.

Perginya Seorang Khalifah ALLAH.

Ketika Khalifah Umar Abd Aziz hendak meninggal, orang-orang yang datang berziarah semua melihat keadaan khalifah yang sangat miskin, hanya memiliki sehelai baju. Lalu bertanya kepada Khalifah, "Wahai Khalifah, tidakkah engkau mahu mewasiatkan sesuatu kepada anak-anakmu?"

Maka jawab Khalifah Umar Abd Aziz,

"Anak-anakku jika mereka orang-orang soleh, Allah lah yang menguruskan orang-orang soleh. Jika mereka orang-orang yang tidak soleh, aku tidak ingin meninggalkan hartaku kepada orang-orang yang menderhakai Allah."

Lalu dipanggil anak-anakanya masuk lalu dikatanya,
"Wahai anak-anakku sesungguhnya bapamu telah diberikan dua pilihan. Yang pertama menjadikan kamu semua kaya, dan bapamu masuk ke dalam neraka. Yang kedua kamu menjadi miskin seperti sekarang dan bapamu masuk ke dalam syurga. Sesungguhnya bapamu memilih untuk masuk ke dalam syurga."

Selepas kematian Umar Abdul Aziz, ketika mana kejatuhan Bani Umaiyyah, anak-anak Umar Abdul Aziz 

menjadi kaya raya sedangkan anak-anak khalifah yang kaya sebelum itu semuanya telah jatuh miskin.


************
Umar Abdul Aziz,
pemimpin berjiwa rakyat,.
kehidupan penuh sederhana,
kerana mahu memastikan rakyat sejahtera..
sentiasa memegang amanah ALLAH dan Rasulnya,
walau apa jua tindakan yang dilaksanakannya.

***********
masih adakah pemimpin sehebat beliau ?
Tepuk dada, tanya iman.
Kitalah yang mencorak hari ini dan esok.
Tidak perlu menuding jari,
setiap kali kita menuding jari ke arah insan lain,
hal itu hakikatnya kembali pada diri kita sendiri.. :)

wallahua'alam,
betulkan saya kalau saya salah.
wassalam,
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar :)

Thursday, March 17, 2011

Tsunami di Jepun

Assalamualaikum...
 Alhamdulillah, hari ini, diri ini masih mampu hidup di bumi Tuhan. Kurniaan dariNYA. Meskipun begitu, hati terheret untuk berbicara tentang bencana yang menimpa nun negara matahari terbit di timur sana. Negara yang punya kemajuan dalam setiap segi. Teknologinya membuat mata manusia kagum.
 

Jepun. Bukan nama asing bagi masyarakat dunia. Terkenal dengan kemewahan dan kemajuannya dalam teknologi oleh masyarakat dunia. Namun, takdir Tuhan, tiada siapa yang mampu menolaknya. Teknologi sehebat manapun tidak mampu menolak kekuasaan Tuhan. Tiada yang mampu menghalang. Dan, ketetapanNYA, sentiasa membawa maksud dan hikmah yang tersirat.



 " Orang Jepun tak percaya Tuhan. Sebab itulah kena Tsunami." 

 Mungkin ada benarnya ungkapan itu. Namun, siapa kita mampu menilai dugaan itu mutlak buat mereka. Mereka tidak percaya Tuhan. Mereka dapat habuan. Bagaimana kita boleh seyakin itu? Ya, ujian yang datang suatu peringatan. Tapi, peringatan itu bukan sekadar buat mereka sahaja. Bahkan kita yang turut jauh dari mereka. Kita yang hanya melihat tanpa merasai. ALLAH mengirimkan dugaan itu mungkin buat mereka, untuk membuktikan kekuasaanNYA, yang tak mampu ditandingi apa sekalipun, walaupun teknologi canggih yang selama ini dikagumi masyarakat dunia. Dalam masa yang sama, ALLAH mahu memberi peringatan buat kita sendiri. Kita yang suka menuding jari ke arah orang lain. Kita yang suka melihat kesalahan orang lain tanpa menyedari kesalahan kita sendiri.

Kita sibuk dengan kehidupan dunia. Berebut kedudukan. Asyik berhibur. Sibuk menghitung harta dunia. Sehingga terlupa hakikat tujuan dan matlamat kehidupan.
"Sesungguhnya tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk menyembah (beribadah) kepadaKu (Adz Dzaariyaat : 56)
Ya, inilah tujuan hidup kita. Jangan kecilkan skop ibadah kepada sekadar amalan-amalan seperti solat, puasa dan sebagainya. Hakikatnya, ibadah itu merangkumi banyak hal. Hal-hal dalam kehidupan. Segalanya boleh menjadi ibadah apabila kita membetulkan niat. Segalanya berniat kerana ALLAH. Insya-ALLAH.

"Apa kaitannya Tsunami dengan tujuan hidup?" 
Ada kaitannya. Tsunami. Suatu ujian. Bencana yang membawa kemusnahan harta benda, meragut nyawa, dengan izin ALLAH.Hal ini, mengingatkan kita pada kematian. Secara tidak langsung jiwa kita akan bermuhasabah sendiri. Menilai tujuan hidup selama ini yang hanya dipandang sepi.
"Bagaimana seandainya aku yang melalui keadaan itu,.." 
"Sudah cukupkah amalan ku selama ini? "
"Terjaminkan tempat ku di sana nanti?"


 
 :)

Ambillah iktibar dari bencana yang menimpa negara matahari terbit ini. Kekuasaan ALLAH tiada yang mampu menafikannya. Kun fayakun.. Segalanya terjadi dengan kehendakNYA.



********

"Teriakan dan tangisan itu masih tidak lenyap dari ingatannya. Ombak ganas yang menghanyutkan rumahnya, keluarganya masih teguh di pandangan. Kekal dalam ingatan. Segalanya bagaikan sekelip mata. Bayangan ayah dan ibu pergi begitu sahaja. Lenyap. Dia mampu menangis, termenung."
*********
 Wassalam,
betulkan saya kalau saya salah..
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

Sunday, March 13, 2011

KAWAN :)

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, berbekalkan rahmatnya, saya masih di sini. Masih menjalani kehidupan bersama insan-insan penting dalam hidup ini. Dan, tidak sendirian. Saya bersyukur kerana saya masih diberi kesempatan oleh ALLAH untuk menikmati kehidupan bersama insan-insan yang saya kasihi. Thank you ALLAH. Kawan adalah antara yang teristimewa di samping kedua-dua ibu bapa dan keluarga. Merekalah anugerah tak ternilai dari Tuhan.

********

 Kalau saya tak ada kawan? Bagaimana kehidupan saya? Lebih baik atau sebaliknya? Saya sendiri kurang pasti. Yang saya tahu, selama ini, saya tidak pernah sendiri. Kehidupan saya tidak akan pernah lari dari suatu anugerah yang tidak ternilai dari ILAHI. Anugerah yang tak mampu terganti. Mereka; keluarga dan teman yang sentiasa menjadi penyeri hidup ini. Saya tahu akan suatu hakikat. Yang tak mampu dinafikan setiap insan yang mengaku beriman kepada ALLAH dan Rasul. Hakikat bahawa, kehidupan dunia ini sementara. Setiap yang ALLAH kurniakan buat kita itu suatu pinjaman semata-mata. Saya tahu. Suatu hari nanti, rakan dan keluarga juga diri ini bakal dijemput ILAHI. Kerana setiap yang bernyawa pasti akan mati. Cuma, yang kita tidak pasti, bagaimana caranya, di mana tempatnya, dan bila masanya...
  

ALLAH menciptakan manusia. ALLAH sangat arif tentang diri manusia. Fitrah manusia yang mahu berteman. Sebagaimana Nabi Adam A.S yang kesunyian tanpa seorang teman di syurga, dan kemudian ALLAH ciptakan Hawa sebagai pendamping Adam. Jelaslah. Manusia sememangnya fitrahnya mahukan teman. Mahu ditemani. Mahu berkongsi rasa. Dalam masa yang sama, tanpa mengetepikan ALLAH selaku Pencipta. Kerana itu perlu mencari teman yang benar-benar sejati. Teman yang membawa kepada kemanisan ukhuwah murni. Sebagaimana ukhuwah Rasul dan para sahabat yang berbudi. 

"Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak."
(Riwayat Abu Daud)

Terharu rasanya hati apabila menyoroti kisah pengorbanan sahabat terhadap Rasulullah S.A.W. Yang jelas dalam ingatan ini, bagaimana Saidina Abu Bakar yang sanggup menahan kesakitannya akibat binatang berbisa demi menjaga keselamatan Nabi. Masih adakah sahabat sehebat itu pada hari ini? Atau, mampukah saya menjadi sehebat itu? Kesanggupan para sahabat Baginda untuk berkorban demi keselamatan dan kesejahteraan Baginda tiada tara. Mereka saling menyintai kerana ALLAH. Mereka berpisah juga kerana ALLAH.

"Ikatan iman yang paling teguh ialah setiakawan demi Allah dan berkonfrontasi demi Allah, kasih demi Allah, benci pun demi Allah." 
(Riwayat Tayalasi, Hakim, Tabarani fi al-Kabir dan al-Ausat, Ahmad, Ibn Abi Syaibah, dan Ibn. Nasr)
Saya mengharapkan suburnya ukhuwah semurni itu pada hari ini. Dan, saya tahu harapan itu perlu digerakkan dengan usaha dari diri ini... :)

“Jika seseorang itu sayang kepada sahabatnya maka hendaklah dia beritahu bahawa dia menyayanginya.”
(Riwayat Abu Daud)
*****************
Sahabat, hadirmu tanpa ku sedari..
mencoret pelangi di hati ini,
mengukir panorama indah berseri,
memberi irama kala sepi.

Sahabat, ku dambakan ukhuwah murni,
yang terpateri kerana iman di hati,
yang terungkap kerana ILAHI,
bukan semata-mata  fatamorgana duniawi.

Sahabat, ku bukan sempurna,
apatah lagi terpelihara dari melakukan dosa,
ingatkanlah diri ini saat terleka,
tegurlah diri ini saat terlupa..

Sahabat, ku harap ukhuwah ini kekal bersemi,
membawa kita ke syurga abadi.

Friday, March 11, 2011

Wanita, tudung dan fesyen.

Assalamualaikum,
Sekejap saja masa berlalu. Terlalu pantas. Benarlah, masa itu ibarat pedang, kalau bukan kita yang memotongnya, dia akan memotong kita. Semoga hari-hari yang telah lalu telah kita manfaatkan sebaiknya. Lebih kurang seminggu saya terbelenggu dengan ikatan pelajaran. Ujian Formatif 1. Dan, petang ini, bermulanya episod 'cuti sekolah' bagi saya. Seronok? Tidak sama sekali. Cuti bukan untuk berlibur. Hakikatnya, cuti untuk menyelesaikan, menglangsaikan, melunaskan setiap tugasan yang baru diberikan ataupun yang telah tertangguh sekian lama. Doakan saya mampu lakukannya untuk seminggu ini. :)
********
Wanita, tudung dan fesyen
 :)
Ada apa pada tiga rangkai kata ini?

Wanita fitrahnya mahu kelihatan cantik. Bertudung satu tuntutan agama ke atas mereka yang mengaku
beriman kepada ALLAH dan rasul.
firman ALLAH; 
Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman,agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya,.... 
Surah Al- Nur :31
Fesyen dan wanita boleh dikatakan tidak mampu dipisahkan. Wanita yang fitrahnya mahukan kecantikan, pasti tidak akan terlepas dari berfesyen. Tidak ketinggalan juga mereka yang menyarungkan tudung. Mereka ini menampilkan imej islam di mata masyarakat. Namun, seribu kali sayang, apabila rata-rata mereka yang bertudung dan berfesyen tanpa batasan. Pelbagai jenis tudung di pasaran mengundang bermacam-macam fenomena dan ragam dari kalangan wanita yang bertudung. Shawl, Pashima, dan macam-macam lagi. 
"Salah ke?"

Islam memang tidak kata, shawl tak boleh pakai. Yang itu boleh pakai. Yang ini tak boleh. Islam tidak menggariskan begitu. Islam menggariskan syaratnya. Sebagaimana dalam Ayat 3, surah an-Nur. Tidak salah untuk mengenakan 'shawl', dengan syarat, 'shawl' tidak jarang dan cukup labuh untuk menutupi dada.Kalau sudah memenuhi syaratnya, kenapa tidak?

Ada yang berpendapat, melabuhkan tudung ini merupakan sesuatu yang ekstrem atau berlebih-lebihan. Memakai tudung secara 'biasa-biasa' (tidak melabuhkannya sehingga menutupi dada) dianggap sebagai kesederhanaan dalam beragama. Kenapa begitu? Apa hujahnya? 

Hakikat sebenar adalah, apa yang sedang kita laksanakan ini, jangankan dianggap ekstrem, tahap sederhana pun masih belum di capai.

"Kenapa ?"

Apa yang ALLAH suruh ke atas kita adalah yang terbaik untuk kita. Apa yang diamalkan keluarga rasulullah dan generasi sahabat adalah yang terbaik dan yang paling bersederhana dalam beragama. Menutup aurat biarlah menyeluruh. Bukan sekerat-sekerat. Tudung tersarung di kepala, tetapi seluar ketat. Tudung tersarung di kepala tetapi memakai baju yang jarang. Tudung tersarung di kepala tapi, anggota badan tidak dilindungi dengan sempurna. Jangan banyak berdalih. Jangan kata susah untuk lakukan itu dan ini dengan melabuhkan tudung menutupi dada. Terpulanglah tudung jenis apa yang mahu dikenakan. Yang penting, syariat terjaga.

 :)
Saya melihat fenomena hari ini. Wanita berpeleseran di ibu kota dengan bermacam ragam. Berfesyen tanpa batasan. Sehingga terlupa hukum Tuhan. Berfesyen biar berpada. Islam tidak menghalang wanita untuk berfesyen. Tetapi, islam menetapkan syarat dalam berfesyen. Islam mengutamakan wanita agar memperlihatkan perhiasannya, kecantikannya hanya pada mereka yang berhak. Islam telah menggariskan segalanya. Tidak perlulah berlebih-lebihan dalam mendandan untuk urusan luar. Peliharalah kecantikan itu yang benar-benar berhak.

"orang akan pandang saya sebagai seorang yang kolot."

Kenapa bimbang soal pandangan manusia. Apa yang penting kita melakukan hal yang betul. Cuba kita bermuhasabah, sering kali apabila kita melakukan hal yang salah di mata insan lain, dan manusia akan mengutarakan bermacam-macam kritikan tanpa di minta,  kita sering kali akan berbicara:
"Biarlah apa orang nak kata. Saya tetap saya.."
Namun, ke mana hilangnya prinsip itu tatkala kita berhadapan dengan orang ramai apabila kita menegakkan syariat? Tepuk dada, sama-samalah kita bertanyakan khabar iman kita :)

:) 


Wallahu'alam..
betulkan saya, kalau saya salah.
Maafkan saya, kalau saya silap.
wassalam.
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar :)


Wednesday, March 9, 2011

Make me strong :)

I know I’m waiting,
Waiting for something,
Something to happen to me.

But this waiting comes with,
Trials and challenges,
Nothing in life is free.

I wish that somehow,
You’d tell me out aloud,
That on that day I’ll be ok.

But we’ll never know cause,
That’s not the way it works.
Help me find my way.

My Lord show me right from wrong,
Give me light make me strong,
I know the road is long.
Make me strong.

Sometimes it just gets too much,
I feel that I’ve lost touch,
I know the road is long,
Make me strong.

I know I’m waiting,
Yearning for something,
Something known only to me.

This waiting comes with,
Trials and challenges,
Life is one mystery.

I wish that somehow,
You’d tell me out aloud,
That on that day you’ll forgive me,

But we’ll never know cause,
That’s not the way it works,
I beg for your mercy.

My Lord show me right from wrong,
Give me light make me strong,
I know the road is long,
Make me strong.

Sometimes it just gets too much,
I feel that I’ve lost touch,
I know the road is long,
Make me strong.

Words: Sami Yusuf
Music: Sami Yusuf
Produced by Sami Yusuf