Thursday, March 17, 2011

Tsunami di Jepun

Assalamualaikum...
 Alhamdulillah, hari ini, diri ini masih mampu hidup di bumi Tuhan. Kurniaan dariNYA. Meskipun begitu, hati terheret untuk berbicara tentang bencana yang menimpa nun negara matahari terbit di timur sana. Negara yang punya kemajuan dalam setiap segi. Teknologinya membuat mata manusia kagum.
 

Jepun. Bukan nama asing bagi masyarakat dunia. Terkenal dengan kemewahan dan kemajuannya dalam teknologi oleh masyarakat dunia. Namun, takdir Tuhan, tiada siapa yang mampu menolaknya. Teknologi sehebat manapun tidak mampu menolak kekuasaan Tuhan. Tiada yang mampu menghalang. Dan, ketetapanNYA, sentiasa membawa maksud dan hikmah yang tersirat.



 " Orang Jepun tak percaya Tuhan. Sebab itulah kena Tsunami." 

 Mungkin ada benarnya ungkapan itu. Namun, siapa kita mampu menilai dugaan itu mutlak buat mereka. Mereka tidak percaya Tuhan. Mereka dapat habuan. Bagaimana kita boleh seyakin itu? Ya, ujian yang datang suatu peringatan. Tapi, peringatan itu bukan sekadar buat mereka sahaja. Bahkan kita yang turut jauh dari mereka. Kita yang hanya melihat tanpa merasai. ALLAH mengirimkan dugaan itu mungkin buat mereka, untuk membuktikan kekuasaanNYA, yang tak mampu ditandingi apa sekalipun, walaupun teknologi canggih yang selama ini dikagumi masyarakat dunia. Dalam masa yang sama, ALLAH mahu memberi peringatan buat kita sendiri. Kita yang suka menuding jari ke arah orang lain. Kita yang suka melihat kesalahan orang lain tanpa menyedari kesalahan kita sendiri.

Kita sibuk dengan kehidupan dunia. Berebut kedudukan. Asyik berhibur. Sibuk menghitung harta dunia. Sehingga terlupa hakikat tujuan dan matlamat kehidupan.
"Sesungguhnya tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk menyembah (beribadah) kepadaKu (Adz Dzaariyaat : 56)
Ya, inilah tujuan hidup kita. Jangan kecilkan skop ibadah kepada sekadar amalan-amalan seperti solat, puasa dan sebagainya. Hakikatnya, ibadah itu merangkumi banyak hal. Hal-hal dalam kehidupan. Segalanya boleh menjadi ibadah apabila kita membetulkan niat. Segalanya berniat kerana ALLAH. Insya-ALLAH.

"Apa kaitannya Tsunami dengan tujuan hidup?" 
Ada kaitannya. Tsunami. Suatu ujian. Bencana yang membawa kemusnahan harta benda, meragut nyawa, dengan izin ALLAH.Hal ini, mengingatkan kita pada kematian. Secara tidak langsung jiwa kita akan bermuhasabah sendiri. Menilai tujuan hidup selama ini yang hanya dipandang sepi.
"Bagaimana seandainya aku yang melalui keadaan itu,.." 
"Sudah cukupkah amalan ku selama ini? "
"Terjaminkan tempat ku di sana nanti?"


 
 :)

Ambillah iktibar dari bencana yang menimpa negara matahari terbit ini. Kekuasaan ALLAH tiada yang mampu menafikannya. Kun fayakun.. Segalanya terjadi dengan kehendakNYA.



********

"Teriakan dan tangisan itu masih tidak lenyap dari ingatannya. Ombak ganas yang menghanyutkan rumahnya, keluarganya masih teguh di pandangan. Kekal dalam ingatan. Segalanya bagaikan sekelip mata. Bayangan ayah dan ibu pergi begitu sahaja. Lenyap. Dia mampu menangis, termenung."
*********
 Wassalam,
betulkan saya kalau saya salah..
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

No comments:

Post a Comment