Sunday, March 13, 2011

KAWAN :)

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, berbekalkan rahmatnya, saya masih di sini. Masih menjalani kehidupan bersama insan-insan penting dalam hidup ini. Dan, tidak sendirian. Saya bersyukur kerana saya masih diberi kesempatan oleh ALLAH untuk menikmati kehidupan bersama insan-insan yang saya kasihi. Thank you ALLAH. Kawan adalah antara yang teristimewa di samping kedua-dua ibu bapa dan keluarga. Merekalah anugerah tak ternilai dari Tuhan.

********

 Kalau saya tak ada kawan? Bagaimana kehidupan saya? Lebih baik atau sebaliknya? Saya sendiri kurang pasti. Yang saya tahu, selama ini, saya tidak pernah sendiri. Kehidupan saya tidak akan pernah lari dari suatu anugerah yang tidak ternilai dari ILAHI. Anugerah yang tak mampu terganti. Mereka; keluarga dan teman yang sentiasa menjadi penyeri hidup ini. Saya tahu akan suatu hakikat. Yang tak mampu dinafikan setiap insan yang mengaku beriman kepada ALLAH dan Rasul. Hakikat bahawa, kehidupan dunia ini sementara. Setiap yang ALLAH kurniakan buat kita itu suatu pinjaman semata-mata. Saya tahu. Suatu hari nanti, rakan dan keluarga juga diri ini bakal dijemput ILAHI. Kerana setiap yang bernyawa pasti akan mati. Cuma, yang kita tidak pasti, bagaimana caranya, di mana tempatnya, dan bila masanya...
  

ALLAH menciptakan manusia. ALLAH sangat arif tentang diri manusia. Fitrah manusia yang mahu berteman. Sebagaimana Nabi Adam A.S yang kesunyian tanpa seorang teman di syurga, dan kemudian ALLAH ciptakan Hawa sebagai pendamping Adam. Jelaslah. Manusia sememangnya fitrahnya mahukan teman. Mahu ditemani. Mahu berkongsi rasa. Dalam masa yang sama, tanpa mengetepikan ALLAH selaku Pencipta. Kerana itu perlu mencari teman yang benar-benar sejati. Teman yang membawa kepada kemanisan ukhuwah murni. Sebagaimana ukhuwah Rasul dan para sahabat yang berbudi. 

"Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak."
(Riwayat Abu Daud)

Terharu rasanya hati apabila menyoroti kisah pengorbanan sahabat terhadap Rasulullah S.A.W. Yang jelas dalam ingatan ini, bagaimana Saidina Abu Bakar yang sanggup menahan kesakitannya akibat binatang berbisa demi menjaga keselamatan Nabi. Masih adakah sahabat sehebat itu pada hari ini? Atau, mampukah saya menjadi sehebat itu? Kesanggupan para sahabat Baginda untuk berkorban demi keselamatan dan kesejahteraan Baginda tiada tara. Mereka saling menyintai kerana ALLAH. Mereka berpisah juga kerana ALLAH.

"Ikatan iman yang paling teguh ialah setiakawan demi Allah dan berkonfrontasi demi Allah, kasih demi Allah, benci pun demi Allah." 
(Riwayat Tayalasi, Hakim, Tabarani fi al-Kabir dan al-Ausat, Ahmad, Ibn Abi Syaibah, dan Ibn. Nasr)
Saya mengharapkan suburnya ukhuwah semurni itu pada hari ini. Dan, saya tahu harapan itu perlu digerakkan dengan usaha dari diri ini... :)

“Jika seseorang itu sayang kepada sahabatnya maka hendaklah dia beritahu bahawa dia menyayanginya.”
(Riwayat Abu Daud)
*****************
Sahabat, hadirmu tanpa ku sedari..
mencoret pelangi di hati ini,
mengukir panorama indah berseri,
memberi irama kala sepi.

Sahabat, ku dambakan ukhuwah murni,
yang terpateri kerana iman di hati,
yang terungkap kerana ILAHI,
bukan semata-mata  fatamorgana duniawi.

Sahabat, ku bukan sempurna,
apatah lagi terpelihara dari melakukan dosa,
ingatkanlah diri ini saat terleka,
tegurlah diri ini saat terlupa..

Sahabat, ku harap ukhuwah ini kekal bersemi,
membawa kita ke syurga abadi.

No comments:

Post a Comment