Sunday, March 25, 2012

Adab dalam membenci.

Photobucket

Bismillahirrahmanirrahim.

Tahu. Dah pagi buta. Tak boleh nak tidur. Nak buat macam mana? Daripada termenung tak tentu pasal, baik tulis sesuatu dekat belog comot yang semakin terbiar sejak akhir-akhir ni. Tak tahu nak tulis tentang apa. Tapi, memandangkan pagi tadi baru lepas habis memikirkan tajuk lisan untuk isnin nanti, jadinya, saya berniat untuk berkongsi topik tu. 

------
Kisah ini dipetik dari kitab yang dikarang Umar Muhammad Noor, terbitan Telaga Biru. Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia. Bukan kitab sebarangan. Kitab ini menghimpunkan kisah-kisah teladan dari ulama' terdahulu. InsyaAllah, banyak ibrah (Pengajaran) yang dapat kita sama-sama ambil daripada himpunan kisah-kisah ini. Daripada banyak-banyak kisah yang dibawakan oleh penulis dalam kitab ini, saya tertarik dengan sebuah kisah yang membawa pengisian agar kita bersederhana dalam membenci.

Membela seseorang yang dicintai, adalah suatu hal yang biasa bagi kita. Tapi, membela seseorang yang kita benci, adalah suatu hal yang luar biasa. Lebih-lebih lagi dalam realiti kehidupan hari ini. Kebiasaannya, kebencian disertai dengan dendam yang membara. Dan apabila seseorang yang kita benci itu memperoleh sesuatu keburukan, itu adalah kegembiraan buat kita. Namun, sejarah ada mencatatkan kisah seorang tokoh yang berhati mulia. Mengetepikan kebencian, demi untuk menegakkan kebenaran.

Kisah ini berlaku di Mesir, dan melibatkan dua orang tokoh besar, Ibnu Binti al-A'az dan Ibnu Daqiq al-'Ied. Kedua-dua ulama' ini mempunyai perhubungan yang kurang baik yang disertai kebencian atas sebab-sebab yang tidak dijelaskan oleh penulis dalam kitab ini. Diceritakan, suatu hari Ibnu Binti al-A'az telah melakukan satu kesalahan yang tidak dapat dimaafkan oleh sultan dan wazir. Keadaan ini mendorong mereka untuk membuat tuduhan palsu ke atas Ibnu Binti al-A'az agar Ibnu Binti al-A'az dihukum bunuh. Tuduhan tersebut adalah, mengatakan bahawa Ibnu Binti al-A'az telah murtad. Tuduhan tersebut seterusnya ditulis di atas selembar surat untuk diedarkan kepada tokoh-tokoh besar Mesir untuk ditandatangani sebagai tanda persetujuan. Seorang demi seorang menandatangani surat tersebut. Ibnu Daqiq al-'Ied merupakan tokoh terakhir yang menerima surat tersebut.



Beliau membaca isi kandungan surat tersebut satu persatu dan mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan sama ada mahu menurunkan tandatangan beliau sebagai tanda persetujuan untuk menghukum mati Ibnu Binti al-A'az. Sekiranya kita berada di tempat beliau, mungkin sekali kita melihat ruang ini sebagai peluang untuk kita membalas dendam dan melenyapkan orang yang kita benci untuk selama-lamanya. Tetapi, adalah sebaliknya bagi Ibnu Daqiq al-'Ied. Beliau mengambil keputusan untuk tidak menurunkan tandatangan dan menyatakan "tidak halal bagi ku untuk menandatangani surat ini.." Beliau turut mengatakan bahawa "Aku tidak akan ikut serta membunuh seorang muslim."

-------

Inilah dia. Apabila hati tunduk kepada tuntutan Allah, dan bukannya tuntutan nafsu. Mengetepikan kebencian untuk menegakkan kebenaran. Melaksanakan keadilan. Untuk menafikan bahawa kita bebas daripada membenci seseorang, amatlah mustahil. Oleh sebab itu, islam bukan sahaja memberi garis panduan dalam berukhuwwah, malah dalan membenci juga ada garis panduannya. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-maidah ayat 8.

"Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Q.S. AL-Maidah: 8)

Ungkapan Saidina Ali yang diriwayatkan oleh al-Hafiz ibn abi syaibah,

"Cintailah kekasihmu sekadar saja. Siapa tahu, ia akan menjadi musuhmu suatu hari nanti. Bencilah musuhmu sekadar saja. Siapa tahu, ia akan menjadi kekasihmu suatu hari nanti."

Hassan al-Basri juga ada menyebut:

Berpadalah dalam mencintai dan berpadalah dalam membenci. Banyak orang yang binasa kerana berlebihan dalam mencintai. Banyak orang yang binasa kerana berlebihan dalam membenci. (diriwayatkan oleh al-Baihaqi)

Siapa kita untuk membenci seseorang secara berlebihan sehingga kita menzalimi orang yang kita benci?

wallahu'alam.
wassalam.
cikarkitek.

No comments:

Post a Comment