Tuesday, June 29, 2010

Putus Cinta?



Air mata titis ke bumi, sedih melanda hati, pilu mencengkam diri. Inilah dia natijahnya sebuah percintaan
antara uda dan dara, yang akhirnya terkandas di persimpangan. Dan seterusnya bernoktah di situ. Tangisan menjadi teman, gelora di hati ditanggung sendiri. Dari sinilah tampak jelas mengapa salahnya sebuah hubungan yang tanpa ikatan sah. Hubungan yang mereka sangkakan cinta, sayang. Hakikatnya, hanya memeritkan hati. Tak tertanggung derita. Mengeluh sendiri. Seharusnya, kita belajar dari kesilapan ini. Dan mendidik diri agar tidak mengulangi tingkah yang kita sangka sangat remeh. Tapi, hakikatnya, mengundang duka yang tak tertanggung dek hati. Sehinggakan hati itu alpa dan hanyut dibuai duka cinta manusia dan lupa pada cinta Agung Sang PENCIPTA yang selayaknya menerima cinta. Bukan mahu menuding jari mengungkap tuduhan, tapi andai hati dibuai rindu pada yang bergelar makhluk, rindu yang tidak berteraskan iman, adakah terselit rindu buat PENCIPTAnya? Persoalan ini, mampu kita jawab sendiri.
Ramai orang mengatakan, 'aku menyintai dia kerana agamanya, pekertinya,..' tapi sayang, itu hanya sekadar ungkapan di bibir, bukan yang terzahir pada jasad, tidak juga pada hati. Bergurau senda, usik mengusik. Pasangan yang belum sah perhubungannya, saling usik mengusik. Gelak tawa. Entah apa yang diusikkan sehingga terhambur tawa. Dan apabila terluka, air matalah sahabat setia.
Justeru, tika berhadapan saat sulit ini, kembalilah pada ALLAH. DIA yang telah menentukan setiap suratan yang terjadi pada diri kita, sudah tentulah, DIA yang lebih mengerti tentang hikmahnya.Mengadu padaNYA, kerana DIA yang paling memahami. Didik hati agar mengerti hikmah ketentuan NYA. Pimpin hati agar melupakan dia, dan menyintai DIA. DIA tidak pernah sesekali melupakan mu, sedangkan kamu yang sering melupakanNYA. Episod yang kamu kira duka dalam hidup kamu itu, itu merupakan episod bahagia, kerana DIA menitipkan kamu peringatan, agar tidak lalai dari mengingatiNYA. Justeru, syukur itu pastinya utama! Kesyukuran yang wujud, itu kemudiannya pasti akan membuahkan cinta, mahabbah. Tetapi, sudah tentunya ia tidak akan bercambah tanpa diberi baja rohani. KalamNYA, yang sememangnya dititipkan untuk hamba-hambaNYA yang mahu berfikir. Jangan sesekali kamu menyangka, hilangnya cinta seorang manusia buat kamu, menyebabkan hidup kamu bakal merana, hakikatnya adalah, hilangnya cinta manusia itu tidak mengganggu kehidupanmu walau sedikitpun. Sebaliknya, andai kamu kehilangan cinta PENCIPTA CINTA, mana mungkin kebahagiaan mampu kamu kecapi..

Orang bilang cinta itu memeritkan,
ya, ia mungkin memeritkan andai salah langkahnya,
Tapi, hakikatnya cinta itu sangat indah,
andai betul landasannya..


wallahu'alam..
wassalam~
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

Friday, June 11, 2010

Musibah tanda KasihNYA


Assalamualaikum...

" Orang yang beriman, akan menilai semua yang berlaku sama ada pada dirinya mahupun alam ini sebagai suatu yang positif. Mereka sedar semua itu ALLAH hasilkan bertujuan untuk mendidik hamba-NYA sekaligus menyelamatkan mereka daripada api neraka..."
Musibah itu rencah kehidupan. Dalam meniti hari di atas muka bumi TUHAN, sudah pastinya kita tidak akan terlepas sama sekali daripada ditimpa musibah. Kerana musibah itu salah satu ujian yang dititipkan oleh ALLAH buat hambaNYA yang beriman. Musibah itu juga bertujuan untuk menilai sejauh mana keimanan seorang hamba itu pada PENCIPTAnya.

"Apakah manusia menyangka yang dia akan dibiarkan begitu sahaja dengan berkata 'kami beriman!' sedang mereka belum diuji.."

[surah al-ankabut:2]

Musibah itu juga lahir kerana kasihNYA, dan kerana kasihNYA, DIA menitipkan peringatan buat hambaNYA melalui musibah yang menimpa. Apa yang kita lihat, itu yang kita dapat. 'Lihat' di sini membawa erti kata pemikiran. Sekiranya kita memikirkan yang positif mengenai sesuatu, maka kita akan dapat sesuatu yang positif daripadanya, dan begitulah sebaliknya. What you see is what you get! Disebabkan oleh inilah, sekiranya kita ditimpa musibah yang merupakan ujian daripadaNYA, kita perlu berbaik sangka denganNYA dan mengambil hikmah di sebalik setiap musibah itu. Musibah itu tanda kasihNYA, kerana di sebalik musibah itu, ALLAH turut menitipkan pahala buat hambaNYa yang bersabar. Justeru, sangat perlu untuk kita bersabar dalam menghadapi musibah, dan tidak lupa juga untuk lebih mendekatkan diri kita padaNYA. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesungguhnya besarnya pahala diukur dengan besarnya ujian, dan apabila ALLAH suka pada kaum itu, maka mereka diuji. Jika mereka redha, maka ALLAH redha dan jika mereka marah, ALLAH pun marah kepadanya."
[riwayat al-Tirmizi]

Redha tidak bermakna kita pasrah secara membabi buta, tanpa sebarang usaha. Ikhtiar itu sangat perlu agar kita mampu membawa diri kita setapak ke hadapan dan menghindarkan diri daripada perkara seumpama itu terjadi lagi. Kita memang tidak boleh lari dari TakdirNYA, tapi, kita masih boleh berusaha untuk menjadi lebih baik dan mengelakkan sesuatu perkara itu berulang. Apa yang penting usaha. ALLAH juga menilai Usaha, bukan hasilnya. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Orang Mukmin tidak akan terjatuh ke lubang yang sama dua kali" [Riwayat Muslim]

Apa yang kita perlu lakukan adalah berusaha, dan selebihnya kita berserah pada ALLAH. Jangan sesekali kita berkata "Ya ALLAH, apakah dosa ku, sehingga KAU menimpakan ke atas ku musibah yang sebegini.." Sudah terang lagi bersuluh, kita selaku hambaNYA, pasti mempunyai dosa. Sabda Rasulullah s.a.w:
"Setiap anak adam memiliki kesalahn (dosa), dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang bertaubat.." [riwayat al-tirmizi]

" Apabila ALLAH menguji orang islam dengan tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati, dan memikirkan dengan akal agar tercungkil hikmahnya, jika tidak, itu tandanya penglihatan hati tidak jauh dan akal pendek.."

**********

"Saat mentari terik memancar, kita mengeluh kepanasan. Apabila titisan hujan mencurah bumi, sekali lagi kita mengeluh dan lupa mensyukuri nikmat itu. Kemudian, hujan berhenti dan muncul pelangi yang indah, kita bersorak riang, tapi kita lupa memuji PENCIPTA alam ini.."











Wassalam...
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

Monday, June 7, 2010

Mari perbaiki diri kita, dan tolong mereka!

"Sudah segunung mana pengorbanan kita untuk ISLAM?" "Sudah banyak mana kita menitiskan keringat untuk memperjuangkan hak kita sebagai seorang MUSLIM?" "Atau adakah kita hanya bertindak sebagai 'best speaker' sahaja?"

Aku juga menyedari kekurangan diri yang sering lupa. Memang lumrahnya begitu. Manusia itu fitrahnya memang pelupa. Dan, sudah menjadi tanggungjawab sesama muslim juga untuk saling ingat mengingati.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan mngerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran."

[surah al-asr:1-3]

Melihat sahabat-sahabatku hari ini yang terus hanyut di tengah limpahan nikmat dunia, aku jadi gusar. Aku sendiri jadi gerun kerana bimbang diriku juga bakal menyusul bersama. Sebelum terlambat mungkin aku bisa berusaha untuk membawa mereka kembali ke pulau keinsafan. Aku tahu aku bukan sesiapa. Aku juga tahu aku banyak kekurangannya. Tapi, adakah itu bermakna aku tidak bisa bersuara? Adakah salah untuk kita saling nasihat-menasihati? Kau mengingatkan aku saat aku tersilap langkah, dan aku mengingatkan mu saat kau tersalah pilih. Sudah memang begitu lumrahnya. Manusia sentiasa memerlukan peringatan. Kerana itu ALLAH menurunkan AL-QURAN, supaya kita sentiasa mendapat peringatan apabila membacanya. Tapi, kini, kebanyakan kita, hanya membaca, tanpa menyelami maksud dan pengertian kalam ALLAH itu. Apatah lagi untuk menghafal, jauh panggang dari api, nauzubillah. Dan sebaliknya pula, kita berusaha seupaya mungkin untuk mendapatkan lirik2 lagu. Untuk apa? Untuk apa lagi kalau bukan untuk melagukannya saat kebosanan. Ya ALLAH, hinanya diriku ini...

Sahabat, kita ini tidak mempunyai apa-apa. Mata yang kau gunakan untuk membaca nota ini juga pinjaman dari NYA. Tangan yang memegang tetikus itu juga milik ALLAH. Segala-galanya milik ALLAH! Tapi, adakah kita memanfaatkan sebaiknya? Adakah kita menggunakan tangan itu untuk berbakti di jalanNYA, Atau adakah sebaliknya? Renungilah diri kita. Perbaikinya sebelum segala-galanya terlambat. Jangan nanti sudah terhantuk baru tengadah. Manfaatkanlah ia sebaiknya.

Mana milik kita
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya
Mengapa kita sombong
Memilik Allah punya
Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya
Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya
Malulah kepada Allah
Kerana milik Ia punya
Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa
Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisiNya
Yang sebenarnya Allah punya
Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga
Bersyukur kepada Allah
Bukan mengungkit jasa
Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepadanya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya

Mana milik kita-Rabbani

Sahabat, saudara-saudara kita di tanah suci ketiga dalam islam, Palestin sangat mengharapkan bantuan kita saat ini. Mereka tidak mengharapkan kita berkunjung ke sana dan mengangkat senjata. Cukuplah dengan doa. Qunut Nazilah. Ya, itu kekuatan kita. Tapi, dalam pada itu, jangan lupa untuk kita menghayati dan bertindak sepenuhnya. Paling tidak, kita perlu berusaha untuk membawa diri kita setapak ke hadapan, dan tidak terus membiarkan diri kita hanyut bersama senjata rahsia mereka, hiburan. Hiburan yang kita agungkan, yang kita mahu rasai 24 jam itu tak ubah seperti dadah. Yang mana, kalau sedikit pengambilannya, mampu memberi keceriaan, tapi, kerana terlebih, bakal membawa ketagihan dan padah. Dalam islam, hiburan itu tidak dilarang sama sekali. Kerana, hiburan itu indah. Tapi, apabila kita salah memilihnya, ia bakal mengundang murka ALLAH. Jadi, pilihlah sebaiknya. Jangan sampai kita terleka dan mengundang murka ALLAH.

Akhir bicara, teringin untuk ku memetik kata-kata salahuddin al-ayubi:
" Untuk melihat siapa yang berkuasa di dunia, lihat siapa yang berkuasa di Palestin.."

Aku mengajak kalian untuk memanjatkan qunut nazilah, kerana hanya itu yang mampu kita lakukan selaku hambaNYA yang lemah..


Ya Allah, Sesungguhnya kami letakkan Engkau dibatang leher musuh-musuh kami!
Dan Kami berlindung denganMu dari kejahatan mereka
Ya Allah, hancur leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka,
kacau bilaukan persatuan mereka!
Cerai-beraikan pakatan mereka!
Goncangkan pendirian mereka!
Hantarkan Ya Allah, anjing-anjing ke atas mereka!
Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa!
Wahai Tuhan Yang Penuh Raksaka!
Wahai Tuhan Yang Bersifat Murka!
Ya Allah!
Wahai Tuhan yang menurunkan KITAB!
Wahai Tuhan yang mengerakkan awan!
Wahai Tuhan yang menewaskan Bala Tentera Ahzab Kalahkan mereka!
Kalahkan mereka!
Kalahkan mereka!
Menangkanlah Kami ke atas mereka....

Saturday, June 5, 2010

Qunut Nazilah



Ya Allah, Sesungguhnya kami letakkan Engkau dibatang leher musuh-musuh kami!
Dan Kami berlindung denganMu dari kejahatan mereka
Ya Allah, hancur leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka,
kacau bilaukan persatuan mereka!
Cerai-beraikan pakatan mereka!
Goncangkan pendirian mereka!
Hantarkan Ya Allah, anjing-anjing ke atas mereka!
Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa!
Wahai Tuhan Yang Penuh Raksaka!
Wahai Tuhan Yang Bersifat Murka!
Ya Allah!
Wahai Tuhan yang menurunkan KITAB!
Wahai Tuhan yang mengerakkan awan!
Wahai Tuhan yang menewaskan Bala Tentera Ahzab Kalahkan mereka!
Kalahkan mereka!
Kalahkan mereka!
Menangkanlah Kami ke atas mereka....

amin ya rabbal amin..
wassalam..



Hanya padaNYA kita meminta pertolongan..

Aku hanya insan tak berdaya. Saat saudara seislam ku di sana tabah menempuh dugaan yang membuktikan kasih NYA buat hambaNYA, aku di sini, tidak berdaya untuk menempuhi dugaan yang DIA kurniakan buat ku. Dugaan yang hanya sekecil kuman jika hendak dibandingkan dengan dugaan yang dihadapi mereka para syuhada' yang berjuang di jalan suci RABB yang agung. Kekadang, air mata ini tak mampu ku tahan, jiwa ini menangis mengenangkan nasib mereka di sana, juga nasib aku di sini yang tak setabah dan sekuat mereka. Mereka sangat tabah. Mereka cekal. Aku? adakah aku sanggup untuk menanggung apa yang mereka tagung hari ini? Sanggupkah aku? Aku sendiri tidak pasti jawapannya. Kerana itu aku kira, aku perlu menyediakan diriku untuk mampu menjawab setiap persoalan itu dengan sepatah kata, "YA". Walaupun aku tahu, tidak mudah untuk aku menjadi seperti mereka. Apa yang mampu aku titipkan buat mereka, ialah doa. Ya, Doa. Kerana doa itu lah senjata kita. Biarlah mereka membawa berjuta-juta kereta kebal, atau apa sahaja, doa yang kita panjatkan dengan sepenuh keyakinan kita padaNYA yang juga disertai usaha, insha ALLAH, Kemenangan bakal menjadi milik kita. amin.

wassalam..
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar