Friday, June 11, 2010

Musibah tanda KasihNYA


Assalamualaikum...

" Orang yang beriman, akan menilai semua yang berlaku sama ada pada dirinya mahupun alam ini sebagai suatu yang positif. Mereka sedar semua itu ALLAH hasilkan bertujuan untuk mendidik hamba-NYA sekaligus menyelamatkan mereka daripada api neraka..."
Musibah itu rencah kehidupan. Dalam meniti hari di atas muka bumi TUHAN, sudah pastinya kita tidak akan terlepas sama sekali daripada ditimpa musibah. Kerana musibah itu salah satu ujian yang dititipkan oleh ALLAH buat hambaNYA yang beriman. Musibah itu juga bertujuan untuk menilai sejauh mana keimanan seorang hamba itu pada PENCIPTAnya.

"Apakah manusia menyangka yang dia akan dibiarkan begitu sahaja dengan berkata 'kami beriman!' sedang mereka belum diuji.."

[surah al-ankabut:2]

Musibah itu juga lahir kerana kasihNYA, dan kerana kasihNYA, DIA menitipkan peringatan buat hambaNYA melalui musibah yang menimpa. Apa yang kita lihat, itu yang kita dapat. 'Lihat' di sini membawa erti kata pemikiran. Sekiranya kita memikirkan yang positif mengenai sesuatu, maka kita akan dapat sesuatu yang positif daripadanya, dan begitulah sebaliknya. What you see is what you get! Disebabkan oleh inilah, sekiranya kita ditimpa musibah yang merupakan ujian daripadaNYA, kita perlu berbaik sangka denganNYA dan mengambil hikmah di sebalik setiap musibah itu. Musibah itu tanda kasihNYA, kerana di sebalik musibah itu, ALLAH turut menitipkan pahala buat hambaNYa yang bersabar. Justeru, sangat perlu untuk kita bersabar dalam menghadapi musibah, dan tidak lupa juga untuk lebih mendekatkan diri kita padaNYA. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesungguhnya besarnya pahala diukur dengan besarnya ujian, dan apabila ALLAH suka pada kaum itu, maka mereka diuji. Jika mereka redha, maka ALLAH redha dan jika mereka marah, ALLAH pun marah kepadanya."
[riwayat al-Tirmizi]

Redha tidak bermakna kita pasrah secara membabi buta, tanpa sebarang usaha. Ikhtiar itu sangat perlu agar kita mampu membawa diri kita setapak ke hadapan dan menghindarkan diri daripada perkara seumpama itu terjadi lagi. Kita memang tidak boleh lari dari TakdirNYA, tapi, kita masih boleh berusaha untuk menjadi lebih baik dan mengelakkan sesuatu perkara itu berulang. Apa yang penting usaha. ALLAH juga menilai Usaha, bukan hasilnya. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Orang Mukmin tidak akan terjatuh ke lubang yang sama dua kali" [Riwayat Muslim]

Apa yang kita perlu lakukan adalah berusaha, dan selebihnya kita berserah pada ALLAH. Jangan sesekali kita berkata "Ya ALLAH, apakah dosa ku, sehingga KAU menimpakan ke atas ku musibah yang sebegini.." Sudah terang lagi bersuluh, kita selaku hambaNYA, pasti mempunyai dosa. Sabda Rasulullah s.a.w:
"Setiap anak adam memiliki kesalahn (dosa), dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang bertaubat.." [riwayat al-tirmizi]

" Apabila ALLAH menguji orang islam dengan tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati, dan memikirkan dengan akal agar tercungkil hikmahnya, jika tidak, itu tandanya penglihatan hati tidak jauh dan akal pendek.."

**********

"Saat mentari terik memancar, kita mengeluh kepanasan. Apabila titisan hujan mencurah bumi, sekali lagi kita mengeluh dan lupa mensyukuri nikmat itu. Kemudian, hujan berhenti dan muncul pelangi yang indah, kita bersorak riang, tapi kita lupa memuji PENCIPTA alam ini.."











Wassalam...
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

No comments:

Post a Comment