Thursday, February 24, 2011

Syadid atau memang salah?

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum,
Kesibukan sering mengekang diri untuk mencoret sesuatu.
Alhamdulillah, akhirnya muncul juga peluang keemasan ini di celah jadual yang semakin mengekang diri.
Kesibukan yang mengekang diriku hanya sedetik cuma, tidak pernah setanding dengan kesibukan perjuangan pejuang-pejuang ALLAH di Mesir, Libya dan seluruh pelusuk dunia, apatah lagi jika mahu dibandingkan dengan kesibukan perjuangan tentera ALLAH semasa zaman Rasulullah, Sahabat dan Tabiin.


**********

saya tidak pasti, saya yang salah, atau sebaliknya. Rata-rata yang melihat tidak terasa keadaan itu suatu yang asing. Suatu yang bercanggah dengan syariat. Mengapa? Timbul pula persoalan, saya yang terlalu syadid atau hakikatnya hal itu memang salah. Andai hal itu salah dan bertentangan dengan syariat, mengapa masing-masing berdiam diri? Mengapa tiada yang membuka bicara? Saya dan sahabat sudah mencuba, kami bukan pelajar senior, bimbang dikatakan berlagak senior dan sudah tahu semuanya. Bukankah mereka itu lebih dewasa? Bukankah Qudwah itu perlu datang dari mereka selaku yang lebih dewasa. Saya tertanya-tanya. Di mana dapat saya rungkaikan jawapannya? 

Saya menghormati mereka kerana usia, tetapi, mungkin tidak kerana setiap yang menyaji pandangan mata. Namun, sayang, insyaALLAH masih ada, walau hanya sekecil cuma. Saya tidak mahu mereka terus begitu. Tetapi bagaimana caranya? Hanya doa yang mampu disampaikan. Atau mungkin ALLAH memperlihatkan keadaan itu kepada diriku sebagai salah satu cara mengingatkan diri ini yang terkadang alpa dan akhirnya bertindak sebagaimana perlakuan mereka. Insya-ALLAH, akan ku jadikan pengajaran dan sempadan. Mungkin ALLAH mahu mengajar diriku sesuatu melalui peristiwa itu. Setiap peristiwa itu pasti ada rasionalnya. 

"Islam itu datangnya dalam keadaan asing, dan akan kembali asing. Beruntunglah bagi mereka yang asing.."

************

Ya ALLAH,
Aku tidak mampu melihat kelemahan ku sediri,
Entahkan begitu, entahkan begini..
Mungkin hal itu 
satu bentuk teguran MU buat ku,
yang sering alpa dan leka.

Ya ALLAH, pimpini kami..
menuju jalan yang Engkau Redhai..
Bantulah kami untuk dekat denganMU,
Bantulah kami agar sentiasa menjaga syariatMU,
Bantulah kami agar mampu meraih cintaMU..

wassalam.
betulkan saya kalau saya salah :)
Anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

Friday, February 18, 2011

Surat buat dia.

Assalamualaikum..

Salam pembuka bicara. Aku menulis kerana mahu menyampaikan. Menyampaikan sesuatu buat dirimu, saudari seislamku. Aku menyampaikan kerana aku tidak tega lagi melihat dirimu terus hanyut. Ingatkah dirimu lagi pada ku? Kita bertemu di bawah naungan rahmatNYA, tempat kita menimba ilmu, memetik redha ILAHI? Ingatkah dirimu lagi detik itu? 

Saudariku, diriku mengerti hakikat dirimu yang mendambakan cinta manusia. Begitu juga diriku. Namun, jangan pernah alpa dan lupa untuk mengejar cinta agung yang tidak pernah setanding dengan cinta lainnya. Teruslah mencari. Diriku sendiri masih berusaha mencariNYA. Jujur dari jiwa ini, sering kali perasaan mahu dicintai singgah di hati, tidak lama, sekejap. Pasti akan hadir. Suatu hal yang perlu dirimu ingati, cinta manusia yang menjadi idaman, yang diagung-agungkan itu tidak kekal. Lebih-lebih lagi seandainya cinta itu beralasankan sesuatu yang zahir semata-mata. Carilah cinta ALLAH. Peringatan ini juga buat diriku yang sering alpa. Kita asyik terbuai-buai dek mainan perasaan yang tampak indah hasil tokok tambah syaitan yang tidak pernah letih menggoda agar kita hanyut dan menurut jejak langkahnya seterusnya menjadi temannya di neraka ALLAH nanti. Di sana nanti, kita bakal mempersalah diri mereka, dan mereka pula akan menolak tepi tuduhan itu. Dan, sewaktu itu nanti, kitalah yang akan dipertanggungjawabkan atas setiap perbuatan yang kita lakukan. Kecil mahupun besar.

Saudariku, jangan fikir dirimu sudah terlalu dewasa dalam menilai erti cinta! Jangan terlalu mudah melafazkan ungkapan cinta. Dirimu, dan diriku, kita sama-sama masih mentah. Definisi cinta itu terlalu indah untuk sekadar ditakrifkan sebagai ungkapan semudah 'saya cintakan awak.' Pepatah arab ada mengungkapkan, sesorang itu menjadi hamba kepada apa yang dia cintai. Jelaslah, cinta itu menjadi penghubung yang menjadikan kita seorang hamba yang taatkan perintah ALLAH dan RasulNYA. Semakin kita menyelami erti cinta, semakin dalam pengertian yang perlu kita takrifkan agar kita benar-benar bertemu dengan cinta yang abadi. Cinta yang tiada penghujung. Kematian tidak menjadi penghujung cinta sejati ini. Malah, kematian itu suatu permulaan dan perkara yang paling dinanti-nantikan oleh insan-insan yang di hatinya tertanam cinta agung ini. Cinta agung milik Pencinta yang Maha Menyintai. Kematian dinantik-nantikan kerana itulah saat pertemuannya dengan kekasih yang dicintai sekian lama. Beruntunglah andai kita sama-sama meraih cinta itu. Subhanallah.

ALLAH memberi kita tanpa meminta balasan. ALLAH memberi tanpa putus. Cinta yang bertapak di hati kita juga pemberian dari ALLAH. Pemberian ALLAH tak terhitung. Tidak malukah kita pada ALLAH , apabila kita mengabaikan cinta ALLAH, malah sebaliknya, berlumba-lumba merebut cinta hambaNYA? Layakkah kita untuk menyintai seseorang sebelum kita menyintai Penciptanya?
Saudariku, diriku mengerti akan hakikat diriku yang tidak sempurna. Diriku mengambil ruang dan peluang buat menulis untuk mu kerana aku menyayangi dirimu. Aku menulis juga kerana mahu mengingatkan diriku sendiri.

Saudariku, aku tahu hati mu mahu dibelai, mahu ada yang mengerti. ALLAH kan ada.. Ingat, ALLAH tidak pernah membiarkan hambaNYA. 

Cinta itu tidak haram. Cinta itu indah. Peliharalah anugerah ini sebaiknya.
Biarlah terzahirnya cinta buat seseorang itu apabila tiba masanya.
***************
Saudariku, dirimu seindah kuntuman mawar
kuntuman mawar berduri.
mekar mewangi,
sehingga menarik hati sang kumbang.
peliharalah dirimu,
jangan pernah engkau membenarkan 
tangan-tangan rakus memetik kuntuman mu yang sedang mekar..
peliharalah, dan nantikan saat penyatuan dirimu dan dia
yang telah tertulis buat mu..
bersabarlah..
jangan pernah mengeluh. 

**********
Saudariku, kau diibaratkan berada di sebalik sebuah pintu,
jangan pernah kau buka pintu itu sebelum tiba masanya.
jangan pernah engkau benarkan mereka yang asing,
dan bukan milik mu memasuki pintu itu.

Wassalam,
sahabatmu,
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

Tuesday, February 15, 2011

Rasulullah yang dirindui


Assalamualaikum..

Alhamdulillah, kornea ini masih lagi mampu menangkap cahaya yang memancar, deria ini masih lagi mampu berfungsi sebaiknya. DIA yang mengizinkan semuanya terjadi.

Dalam pada dibelit kesibukan yang tidak setanding kesibukan si penghunus pedang KHALIQ di medan jihad, entahkan sedar, entahkan tidak, Rabiul awwal sedang dilalui. Serentak itu, teringat bermacam-macam persoalan mengenai sambutan maulud Rasul junjungan. Ada yang mengutarakan, menyambut kelahiran baginda sebagai suatu bid'ah. Wallahu'alam.

**********
Selawat dan salam ke atas pesuruh ALLAH, Nabi Muhammad berkumandang dari corong radio. Alunnya mendamaikan. Tenang. Setiap hari seharusnya begitu. Bukan sekadar terikat pada hari kelahiran baginda semata-mata. Berselawat ke atasnya tanda kasih padanya. Mengikuti sunnahnya, menuruti landasan yang lurus. Landasan yang berteraskan kalam ALLAH. Mengasihinya, juga mengasihi PENCIPTA, tuntutan atas diri mereka yang beriman. Perjuangannya tidak pernah terhenti. Tiada penghujung. Wafatnya baginda bukan maksud sebuah pengakhiran, tetapi, terus menjadi sebuah permulaan kepada penerusan tarbiyah oleh generasi sahabat dan tabi'in. Namun, manusia lupa. Hanyut dibawa arus deras nikmat dunia, sehingga mengabaikan tanggungjawab utama yang baginda wasiatkan.

"Ummati,.. Ummati,.. Ummati"

Cintanya pada umat terus menyegar meskipun di akhir hayat baginda. Taatnya pada PENCIPTA Yang Esa, tiada tertanding, meskipun syurga sudah pasti tersedia buatnya. Kelembutan akhlaknya, kemurniaan luhur budinya, tersimpan kemas dalam lipatan sirah. Keperibadiannya yang tidak pernah bertindak kasar terhadap para sahabat mahupun mereka yang mengasari baginda mengagumkan setiap empunya telinga yang mendengar kisahnya. Subhanallah. Detik perang Uhud yang memeritkan hati, diterima dengan redha. Yakin dengan hikmah yang menanti. Tidak melenting. Tenang dan sabar. Subhanallah. Sampah menanti di muka pintu, baginda terus sabar tanpa mengeluh. Apabila tiada ladi sampah yang sering ditaburkan di muka pintu, tertanya-tanya ke mana perginya si pelaku. Rupa-rupanya, keuzuran mengekangnya berbuat sebagaimana yang sering dilakukan. Baginda lantas menziarah, tanpa sedikit pun dendam di hati. Baginda sebaik-baik manusia. Utusan ALLAH buat umat akhir zaman.

Saat maut menanti, nyawa direntap dengan selembut yang mungkin, baginda masih merasakan sakitnya. Baginda yang tidak punya dosa melalui keperitan saat diambil roh dari jasad, bagaimana pula kita? Yang hidupnya entahkan diberkati, entahkan tidak. Nauzubillah.

Pada awalnya, pemergian baginda terlalu berat untuk diterima para sahabat. Titisan air mata mengiringi pemergian insan agung itu. Namun, akhirnya, tahulah mereka akan hakikat, setiap yang bernyawa bakal menempuh kematian. Begitu juga baginda.

************
bibir terketar-ketar mengalunkan selawat,
ada titisan jernih yang mula membasahi pipi,
sendu kedengaran.
kerinduan buatnya, kekasih ALLAH...
tak mampu dibendung lagi.
mengenang hinanya diri,
di sisi Pencipta dan juga Nabi.
Alpa dan lalai menyergah diri,
terlupa pada tinggalan sejati,
Al-quran dan sunnah panduan hidup duniawi juga ukhrawi.

Selawat terus meniti,
air mata terus mengalir.
jernih, sejernih embunan pagi,
sejernih kasih yang bersemi.
buat baginda,
Kekasih ALLAH yang dirindui.

***********
Pemergianmu-inteam
Kau masih tersenyum mengubat lara
Selindung derita yang kau rasa
Senyuman yang mententeramkan
Setiap insan yang kebimbangan

Hakikatnya, tak tertanggung lagi derita
Di pangkuan isterimu Humaira?
Menunggu saat ketikanya
Diangkat rohmu bertemu Yang Esa

Tangan dicelup di bejana air
Kau sapu di muka mengurangkan pedih
Beralun zikir menutur kasih
Pada umat dan akhirat

Dan tibalah waktu ajal bertamu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu
Linangan air mata syahdu
Iringi pemergianmu

Oh sukarnya untuk umat menerima
Bahkan payah untuk Umar mempercaya
Tetapi iman merelakan jua
Bahawa manusiakan mati akhirnya

Tak terlafaz kata mengungkap hiba
Gerhanalah seluruh semesta
Walaupun kau telah tiada
Bersemarak cintamu selamanya

Ya Rasulallah
Kau tinggalkan kami warisan yang abadi
Dan bersaksilah sesungguhnya
Kami merinduimu

wassalam,
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar.

Wednesday, February 9, 2011

Usrah pengikat ukhuwah


Assalamualaikum.

Alhamdulillah, masih berkesempatan, dan diberi ruang dan peluang oleh Pencipta Agung untuk terus bertatih di atas dunia ini. Syukur dipanjatkan.

Bulan Februari menjengah. Diri semakin dicengkam kesibukan rutin sebagai hambaNYA yang tidak pernah lepas dari tuntutan menuntut ilmu. Menuntut ilmu itu fardhu atas setiap muslim. Kita akan sentiasa menjadi pelajar seumur hidup ini, kerana ilmu ALLAH itu terlalu luas. Tiada penghujungnya. Semakin kita belajar, kita akan merasakan bahawa diri kita semakin kerdil di sisiNYA. Semakin banyak kita belajar, lebih banyak lagi ilmu di luar pengetahuan kita. Subhanallah..

Alhamdulillah, DIA masih memberi diri ini peluang buat menjengah sedetik dua. Menyatakan sesuatu. 'Saya menulis kerana suka. Saya suka menulis kerana mahu menyampaikan.' :)

Bulan februari merupakan pembuka tirai kepada aktiviti yang mungkin dipandang enteng sesetengah pelajar, kerana matlamat kewujudannya yang mungkin kurang terkesan dalam diri pelajar. Tidak asing lagi, aktiviti usrah yang diadakan sekali dalam seminggu.

" Alah.. ada usrah."
"Ada usrah ke petang ni? Malaslah.."

Keluhan yang kedengaran. Mungkin pengisian yang kurang menarik atau semangat untuk hidup di dalam halaqah yang disulami cinta yang menuju kebenaran masih belum tertanam dalam hati.

Pelajar hanya melihat halaqah atau usrah itu sebagai salah satu aktiviti persekolahan yang wajib tanpa mengambil kira kepentingannya.

Umat islam menjadi kuasa besar dan kuat suatu ketika dahulu kerana perpaduan. Perpaduan dan kecintaan yang berteraskan kepada kecintaan kepada Al-KHALIQ yang esa, juga kasih terhadap RasulNYA. Mereka saling membantu, saling menyayangi, saling menyintai, saling menghormati kerana ALLAH. Untuk semua ini, kita perlu menjaga hati. Jauh dari larangannya, dan sentiasa menyirami hati dengan baja-baja taqwa.
Perpaduan, kasih sayang yang sebegini sukar untuk kita temui pada hari ini. Usrahlah yang boleh menjadi salah satu medium penyambung ukhuwah. Usrah pengikat ukhuwah. InsyaALLAH.
Tautan hati(karya Fatimah Syarha) mengajar saya tentang ini.:)

Buat diri saya, usrah kali ini berbeza. Tahun lalu, saya sebagai adik usrah. Tahun ini sebagai naqibah. Nampak enteng. Namun, hal yang paling berat di dunia ini adalah amanah. Naqibah bukah sahaja perlu mentarbiyah ahli-ahli usrahnya, malah dirinya juga. Qudwah yang baik. Ya, itu yang utama. Di mana pun kita berada, dengan siapa. Qudwah yang baik perlu sentiasa bersama. Biarpun tiada yang melihat, tapi ALLAH ada. ALLAH melihat kita.
InsyaALLAH.

*************
Pencarian ini takkan pernah berhenti,
akan ku terus mencari,
sebuah ukhuwah membenihkan cinta yang suci,
ukhuwah yang tidak pernah sunyi,
dari alunan cinta buat ILAHI.
Amin~

wallahu'alam,
Wassalam,
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

Tuesday, February 1, 2011

Hikmah di sebalik musibah



Assalamualaikum..

Alhamdulillah, semalam seharian titisan hujan yang menemani. Namun, hari ini mentari mula menampakkan diri. Memberi bahang menghangatkan tubuh yang kesejukan. Segala puji bagi ALLAH.

Dalam pada langit di sini cerah dihiasi mentari, nun jauh di selatan tanah air, sahabat dan saudara kita di sana masih teruji. Hujan mencurah-curah. Air sungai melimpah. Jalan penghubung ditutup. Bantuan mula dihulurkan. Keperluan penting seperti pakaian mula diagihkan di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir.
Di waktu genting ini pula, anak-anak kecil mengambil peluang bermain air, tanpa menyedari bahaya yang menanti.

"banjir lagi..."
"huh, banjir tiap-tiap tahun, rugilah macam ni.."

Masing-masing mengeluh.
Tanpa kita sedari, musibah itu suatu rahmat. Pasti ada silap yang mahu ALLAH tegur. Musibah memberi ruang untuk kita bermuhasabah. Pandanglan musibah itu sebagai sesuatu yang positif, kerana yang positif itulah nanti hasil dari musibah yang menimpa. Pasti ada yang tidak kena pada diri kita, dan ALLAH memeri kita peringatan agar dapat kita melihat kembali dalam diri, di mana silapnya. ALLAH sedang berbicara dengan kita di sebalik ujian ini. Kembali padaNYA. Pastikan kita temui penyelesaianNYA, dan dipermudahkan dalam setiap sesuatu. Insya ALLAH.

************
Aku di sini, bertemankan sang mentari..
Kehangatan membalut tubuh,.
Mereka di sana, bertemankan titisan hujan,
Kesejukan mencengkam,
namun, mereka tidak sendiri..
kerana ada saja yang sudi menghulur bantuan..

rahmat dariNYA,..
suatu ujian tanda kasihNYA.. :)

P/s: Gambar: banjir di segamat beberapa tahun dulu..
sumber: google :)

Wassalam,
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar