Assalamualaikum..
Salam pembuka bicara. Aku menulis kerana mahu menyampaikan. Menyampaikan sesuatu buat dirimu, saudari seislamku. Aku menyampaikan kerana aku tidak tega lagi melihat dirimu terus hanyut. Ingatkah dirimu lagi pada ku? Kita bertemu di bawah naungan rahmatNYA, tempat kita menimba ilmu, memetik redha ILAHI? Ingatkah dirimu lagi detik itu?
Saudariku, diriku mengerti hakikat dirimu yang mendambakan cinta manusia. Begitu juga diriku. Namun, jangan pernah alpa dan lupa untuk mengejar cinta agung yang tidak pernah setanding dengan cinta lainnya. Teruslah mencari. Diriku sendiri masih berusaha mencariNYA. Jujur dari jiwa ini, sering kali perasaan mahu dicintai singgah di hati, tidak lama, sekejap. Pasti akan hadir. Suatu hal yang perlu dirimu ingati, cinta manusia yang menjadi idaman, yang diagung-agungkan itu tidak kekal. Lebih-lebih lagi seandainya cinta itu beralasankan sesuatu yang zahir semata-mata. Carilah cinta ALLAH. Peringatan ini juga buat diriku yang sering alpa. Kita asyik terbuai-buai dek mainan perasaan yang tampak indah hasil tokok tambah syaitan yang tidak pernah letih menggoda agar kita hanyut dan menurut jejak langkahnya seterusnya menjadi temannya di neraka ALLAH nanti. Di sana nanti, kita bakal mempersalah diri mereka, dan mereka pula akan menolak tepi tuduhan itu. Dan, sewaktu itu nanti, kitalah yang akan dipertanggungjawabkan atas setiap perbuatan yang kita lakukan. Kecil mahupun besar.
Saudariku, jangan fikir dirimu sudah terlalu dewasa dalam menilai erti cinta! Jangan terlalu mudah melafazkan ungkapan cinta. Dirimu, dan diriku, kita sama-sama masih mentah. Definisi cinta itu terlalu indah untuk sekadar ditakrifkan sebagai ungkapan semudah 'saya cintakan awak.' Pepatah arab ada mengungkapkan, sesorang itu menjadi hamba kepada apa yang dia cintai. Jelaslah, cinta itu menjadi penghubung yang menjadikan kita seorang hamba yang taatkan perintah ALLAH dan RasulNYA. Semakin kita menyelami erti cinta, semakin dalam pengertian yang perlu kita takrifkan agar kita benar-benar bertemu dengan cinta yang abadi. Cinta yang tiada penghujung. Kematian tidak menjadi penghujung cinta sejati ini. Malah, kematian itu suatu permulaan dan perkara yang paling dinanti-nantikan oleh insan-insan yang di hatinya tertanam cinta agung ini. Cinta agung milik Pencinta yang Maha Menyintai. Kematian dinantik-nantikan kerana itulah saat pertemuannya dengan kekasih yang dicintai sekian lama. Beruntunglah andai kita sama-sama meraih cinta itu. Subhanallah.
ALLAH memberi kita tanpa meminta balasan. ALLAH memberi tanpa putus. Cinta yang bertapak di hati kita juga pemberian dari ALLAH. Pemberian ALLAH tak terhitung. Tidak malukah kita pada ALLAH , apabila kita mengabaikan cinta ALLAH, malah sebaliknya, berlumba-lumba merebut cinta hambaNYA? Layakkah kita untuk menyintai seseorang sebelum kita menyintai Penciptanya?
Saudariku, diriku mengerti akan hakikat diriku yang tidak sempurna. Diriku mengambil ruang dan peluang buat menulis untuk mu kerana aku menyayangi dirimu. Aku menulis juga kerana mahu mengingatkan diriku sendiri.
Saudariku, aku tahu hati mu mahu dibelai, mahu ada yang mengerti. ALLAH kan ada.. Ingat, ALLAH tidak pernah membiarkan hambaNYA.
Cinta itu tidak haram. Cinta itu indah. Peliharalah anugerah ini sebaiknya.
Biarlah terzahirnya cinta buat seseorang itu apabila tiba masanya.
***************
Saudariku, dirimu seindah kuntuman mawar
kuntuman mawar berduri.
mekar mewangi,
sehingga menarik hati sang kumbang.
peliharalah dirimu,
jangan pernah engkau membenarkan
tangan-tangan rakus memetik kuntuman mu yang sedang mekar..
peliharalah, dan nantikan saat penyatuan dirimu dan dia
yang telah tertulis buat mu..
bersabarlah..
jangan pernah mengeluh.
**********
Saudariku, kau diibaratkan berada di sebalik sebuah pintu,
jangan pernah kau buka pintu itu sebelum tiba masanya.
jangan pernah engkau benarkan mereka yang asing,
dan bukan milik mu memasuki pintu itu.
Wassalam,
sahabatmu,
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar
No comments:
Post a Comment