Assalamualaikum..
Alhamdulillah, kornea ini masih lagi mampu menangkap cahaya yang memancar, deria ini masih lagi mampu berfungsi sebaiknya. DIA yang mengizinkan semuanya terjadi.
Dalam pada dibelit kesibukan yang tidak setanding kesibukan si penghunus pedang KHALIQ di medan jihad, entahkan sedar, entahkan tidak, Rabiul awwal sedang dilalui. Serentak itu, teringat bermacam-macam persoalan mengenai sambutan maulud Rasul junjungan. Ada yang mengutarakan, menyambut kelahiran baginda sebagai suatu bid'ah. Wallahu'alam.
**********
Selawat dan salam ke atas pesuruh ALLAH, Nabi Muhammad berkumandang dari corong radio. Alunnya mendamaikan. Tenang. Setiap hari seharusnya begitu. Bukan sekadar terikat pada hari kelahiran baginda semata-mata. Berselawat ke atasnya tanda kasih padanya. Mengikuti sunnahnya, menuruti landasan yang lurus. Landasan yang berteraskan kalam ALLAH. Mengasihinya, juga mengasihi PENCIPTA, tuntutan atas diri mereka yang beriman. Perjuangannya tidak pernah terhenti. Tiada penghujung. Wafatnya baginda bukan maksud sebuah pengakhiran, tetapi, terus menjadi sebuah permulaan kepada penerusan tarbiyah oleh generasi sahabat dan tabi'in. Namun, manusia lupa. Hanyut dibawa arus deras nikmat dunia, sehingga mengabaikan tanggungjawab utama yang baginda wasiatkan.
"Ummati,.. Ummati,.. Ummati"
Cintanya pada umat terus menyegar meskipun di akhir hayat baginda. Taatnya pada PENCIPTA Yang Esa, tiada tertanding, meskipun syurga sudah pasti tersedia buatnya. Kelembutan akhlaknya, kemurniaan luhur budinya, tersimpan kemas dalam lipatan sirah. Keperibadiannya yang tidak pernah bertindak kasar terhadap para sahabat mahupun mereka yang mengasari baginda mengagumkan setiap empunya telinga yang mendengar kisahnya. Subhanallah. Detik perang Uhud yang memeritkan hati, diterima dengan redha. Yakin dengan hikmah yang menanti. Tidak melenting. Tenang dan sabar. Subhanallah. Sampah menanti di muka pintu, baginda terus sabar tanpa mengeluh. Apabila tiada ladi sampah yang sering ditaburkan di muka pintu, tertanya-tanya ke mana perginya si pelaku. Rupa-rupanya, keuzuran mengekangnya berbuat sebagaimana yang sering dilakukan. Baginda lantas menziarah, tanpa sedikit pun dendam di hati. Baginda sebaik-baik manusia. Utusan ALLAH buat umat akhir zaman.
Saat maut menanti, nyawa direntap dengan selembut yang mungkin, baginda masih merasakan sakitnya. Baginda yang tidak punya dosa melalui keperitan saat diambil roh dari jasad, bagaimana pula kita? Yang hidupnya entahkan diberkati, entahkan tidak. Nauzubillah.
Pada awalnya, pemergian baginda terlalu berat untuk diterima para sahabat. Titisan air mata mengiringi pemergian insan agung itu. Namun, akhirnya, tahulah mereka akan hakikat, setiap yang bernyawa bakal menempuh kematian. Begitu juga baginda.
************
bibir terketar-ketar mengalunkan selawat,
ada titisan jernih yang mula membasahi pipi,
sendu kedengaran.
kerinduan buatnya, kekasih ALLAH...
tak mampu dibendung lagi.
mengenang hinanya diri,
di sisi Pencipta dan juga Nabi.
Alpa dan lalai menyergah diri,
terlupa pada tinggalan sejati,
Al-quran dan sunnah panduan hidup duniawi juga ukhrawi.
Selawat terus meniti,
air mata terus mengalir.
jernih, sejernih embunan pagi,
sejernih kasih yang bersemi.
buat baginda,
Kekasih ALLAH yang dirindui.
***********
Pemergianmu-inteam
Kau masih tersenyum mengubat lara
Selindung derita yang kau rasa
Senyuman yang mententeramkan
Setiap insan yang kebimbangan
Selindung derita yang kau rasa
Senyuman yang mententeramkan
Setiap insan yang kebimbangan
Hakikatnya, tak tertanggung lagi derita
Di pangkuan isterimu Humaira?
Menunggu saat ketikanya
Diangkat rohmu bertemu Yang Esa
Tangan dicelup di bejana air
Kau sapu di muka mengurangkan pedih
Beralun zikir menutur kasih
Pada umat dan akhirat
Dan tibalah waktu ajal bertamu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu
Linangan air mata syahdu
Iringi pemergianmu
Oh sukarnya untuk umat menerima
Bahkan payah untuk Umar mempercaya
Tetapi iman merelakan jua
Bahawa manusiakan mati akhirnya
Tak terlafaz kata mengungkap hiba
Gerhanalah seluruh semesta
Walaupun kau telah tiada
Bersemarak cintamu selamanya
Ya Rasulallah
Kau tinggalkan kami warisan yang abadi
Dan bersaksilah sesungguhnya
Kami merinduimu
wassalam,
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar.
No comments:
Post a Comment