Thursday, September 15, 2011

Iman menjadi paksi..

Mentari petang berselindung di sebalik timbunan awan mendung. Langit yang tadinya cerah disimbah cahaya mentari, mula pudar warnanya. Semakin kelabu. Namun, keindahan masih terpancar. Ciptaan Ilahi. Siapa mampu menafikan keindahannya. Merenung jauh. Entah ke mana pandangan ini dilayangkan. Angin yang mengelus lembut wajah meredakan kekusutan minda yang entah puncanya dari mana. Jasad memerhati langit ilahi. Atma mencari satu pengertian hakiki. 'Bukan senangkan, nak berubah..?' Atma menyoal. Minda berteleku. Bukan mencari jawapan. Tapi, menyingkap makna. 'Nak ubah orang, susah.. Nak ubah diri sendiri lagilah susah..' Minda melontar jawapan. 'Ya, bukan mudah. Fitrah manusia, tak mampu melihat kelemahan pada diri kita sendiri. Yang kita mampu lihat, hanya kekurangan di pihak lain.' atma terus melayan emosi. Dibuai angin petang, sambil melihat kebesaran Ilahi, tenang rasanya. 'Sebab itu adanya tanggungjawab amar ma'ruf nahi munkar. Ajak buat baik. Cegah buat jahat. Walaupun dalam sekecil-kecil perkara. Dari yang kecil, munculnya yang besar. Sebagaimana yang diungkapkan dalam pantun melayu,

Siakap senohong, gelama ikan duri..
Bercakap bohong, lama-lama mencuri..

Pendek. Ringkas. Membawa makna. Bohong sikit-sikit. Lama-lama terbiasa. Akhirnya membawa kepada dosa yang lebih berat.' minda membalas panjang. 

 Apapun dalam dunia ini, semuanya kembali pada Iman. Keimanan kepada Allah yang menjadi paksi untuk kita, sama ada kita akan menyusur jalan yang lurus atau sebaliknya. Iman membuahkan cinta. Cinta kepada Rabb. Cinta kepada keluarga, saudara dan sahabat. Cinta kepada seluruh umat manusia. Cinta kepada kebaikan dan ibadah. Iman membawa persaudaraan yang dilimpahi kasih. Apabila bersahabat kerana Allah, segalanya terasa indah. Iman menimbulkan ketegasan dalam diri untuk menolak kemungkaran. Kecekalan dan istiqamah, mampu digapai dengan meletakkan iman sebagai masdar dalam kehidupan. Setiap yang dilakukan, setiap yang berlaku diukur dengan neraca Allah. Cinta, kasih, ketegasan, istiqamah dan kecekalan datangnya dari iman. Kerana itu, iman perlu dimantapkan sebaik mungkin supaya kita mampu membawa perubahan bukan sahaja dalam diri kita sendiri, malah dalam diri mereka yang berada di sekeliling kita. Semuanya kerana iman. Iman tulang belakang sebuah kehidupan yang diberkati. 

Kita tidak mungkin untuk menjadi sempurna. Iman teguh. Tanpa ada turun naiknya. Kita hanya manusia biasa. Refleksi iman kita setiap masa. Bagaimana keadaannya. Bekerjakah ia, atau mungkin tumbang,  tewas di tangan nafsu? Tepuk dada, tanya iman. Iman penggerak perubahan ummah. ;)

wassalam,
norsyafiqahsaifulanuar

No comments:

Post a Comment