Bismillahirrahmanirrahim..
Tiba-tiba, di tengah malam yang tak berapa nak tengah malam dan tak berapa nak sunyi ni, teringin nak berkongsi dengan sesuatu yang saya peroleh daripada pembacaan dalam buku motivasi yang dikarang oleh Hilal Asyraf. Kembara Hamba Mencari Cahaya. Ya, ini memang bukan buku latest Hilal Asyraf. Ada sesuatu yang mencuit hati saya untuk sama-sama berkongsi kisah ini. Sebenarnya, banyak lagi. Tetapi, cukuplah sekadar kisah yang ini dulu untuk saya kongsikan.
....
Diceritakan pada suatu zaman, serigala telah menjaga biri-biri dan tidak memakannya. Sesuatu yang luar biasa dari kebiasaannya. Yang mana, sekiranya serigala dan biri-biri saling berdampingan, pastinya si biri-biri akan dimakan oleh sang serigala. Itulah kebiasaannya. Zaman yang simaksudkan adalah zaman pemerintahan Khalifah Umar ibn Abdul Aziz yang juga merupakan keturunan dari Khalifah Umar al-Khattab, sahabat Rasulullah. Disebutkan juga, berlakunya hal ini adalah kerana keadilan Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz. Sejauh mana kesahihan kisah ini, tidak pula dapat dipastikan. Mungkin kisah ini merupakan suatu kiasan ataupun perumpamaan orang dahulu kala untuk menyatakan keadilan Khalifah Umar ibn Abdul Aziz dalam mentadbir kerajaannya.
Terdapat satu lagi kisah menarik semasa zaman pemerintahan Khalifah Umar ibn Abdul Aziz. Sifar kemiskinan. Sehinggakan tiada langsung orang yang layak untuk menerima zakat. Akhirnya wang-wang baitulmal tersebut digunakan untuk mengahwinkan lelaki yang tidak mampu berkahwin dan membebaskan hamba. Khalifah Umar Abdul Aziz ini hanya memerintah selama dua tahun. Lihat bagaimana beliau berjaya meningkatkan pentadbiran kerajaannya dalam masa yang singkat. Diceritakan juga bahawa, zaman pemerintahannya merupakan zaman yang aman dan makmur. Sehingga digambarkan sekiranya kedai ditinggalkan begitu sahaja, kecurian tidak akan berlaku.
Apabila ditanya bagaimana beliau mampu membentuk kerajaan dan rakyat yang sebegitu rupa, beliau menjawab,
"Aku menyelesaikan urusan aku dengan Allah terlebih dahulu, maka Allah menyelesaikan urusanku dengan rakyat dan kerajaanku.."
Itu dia rahsianya. Selesaikah urusan dengan Allah, dan Allah akan selesaikan urusan kita. Allah adalah Penguasa alam ini. Dia yang berkuasa atas segala sesuatu. Tiadalah mustahil untuk berlakunya sesuatu perkara, kalau memang sudah diizinkan olehNya. TAK MUSTAHIL. Kalau memang Allah kata jadi, maka jadilah. Allah pasti akan memudahkan urusan kita apabila kita selesaikan urusan kita dengan Allah.
Jangan fikir urusan dunia kita tiada kaitan dengan Allah. Allah adalah yang memiliki segalanya yang ada di langit dan di bumi. Allah adalah yang menguasai hari pembalasan. Allah adalah yang memberi rezeki kepada kita. Allah adalah yang maha Melihat kita setiap masa. Allah adalah segala-galanya.
Kita datang dari Allah, kita juga akan kembali kepada Allah. Jadi? Logik ke kalau kita kata hal kita di atas dunia ni tak ada kaitan dengan Allah.
Jom selesaikan urusan dengan Allah. Insya Allah, Allah akan selesaikan urusan kita. Urusan kita akan dipermudahkan Allah. Allah akan bantu hambaNya yang sentiasa ingatkanNya.
Wassalam
cik Arkitek
cik Arkitek
No comments:
Post a Comment