Monday, November 21, 2011

Aduhai, muslimah...

Photobucket

#SEBAIK-BAIK MEREKA YANG BERBUAT SALAH ADALAH MEREKA YANG BERTAUBAT.

Hari ini terdetik untuk mencoret sesuatu buat tatapan dan renungan bersama. Kita selaku manusia, mana ada yang sempurna. Kita perlukan suatu detik untuk bermuhasabah diri kita. Kita perlukan secebis nasihat sebagai peringatan. Tiada orang yang tidak terlepas dari berbuat salah. Dan, sebaik-baik orang yang buat salah itu, adalah orang yang sedar akan kesalahan yang dilakukan, dan bertaubat serta tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Nabi Muhammad (saw) berkata: "Semua keturunan Adam adalah orang-orang berdosa, dan yang terbaik antara yang sesat dan menyesatkan ialah orang-orang yang bertaubat."
[Diriwayatkan oleh Darimi]
Allah tidak pernah menzalimi hambaNya. Hanya kita yang menzalimi diri kita sendiri. Allah beri peluang untuk kita bertaubat, tetapi kita mensia-siakan peluang itu dengan beranggapan, 'Aku banyak dosa, Allah ampunkan ke dosa aku?'

Allah berfirman:Wahai anak-anak adam,selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dariKu,Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu,Aku tidak peduli.Wahai anak Adam,jika dosamu sampai ke puncak langit,lalu engkau pohon keampunan dariKu,Aku ampunkan engaku,Aku tidak peduli.Wahai anak-anak Adam,jika engkau datang kepadaKu dengan dosa yang hampir memenuhi bumi,namun engkau menemuiKu tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu,nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan.{HR Al-Tarmizi}

Allah maha penerima Taubat.

#MENJAGA AURAT&PANDANGAN

Hari ini, bermacam-macam alternatif/ jalan untuk berinteraksi dengan dunia luar. Facebook, Blog, Tumblr, Twitter dan lain-lain. Ada sesetengah pihak yang meletakkan hukum haram berkaitan penggunaan laman sesawang-laman sesawang sosial ini. Tapi, bagi cik arkitek sendiri, semua benda dalam dunia ada pro & kontra. Semua tu juga berdasarkan cara kita gunakan. Kalau kita gunakan semua kemudahan itu dengan sebaik mungkin, yang kita peroleh, insya Allah positif. Tetapi, sebaliknya pula kalau kita gunakan dengan niat yang tidak wajar, yang akan kita peroleh adalah negatif. Penggunaan sebaik mungkin juga berbeza dari kaca mata setiap orang. Sangat subjektif. Tapi, perkara ini akan menjadi satu apabila yang menjadi panduan, yang menjadi manual kita dalam setiap segi kehidupan adalah syariat Allah.


Sekarang ni, teknologi membolehkan semua benda kita dapat di hujung jari. Tinggal kita saja yang memilih, sama ada mahukan yang baik atau sebaliknya. Meng-upload (memuat naik) gambar ke laman sesawang sosial juga perlu ada batasnya. Ada panduan. 




Itu bab aurat di alam maya. Tiada bezanya di alam realiti. Apa yang aurat di alam realiti, aurat juga di alam maya. Aurat seorang wanita itu mencerminkan maruah dirinya. Analogi ringkas, apabila ke kedai buku, Majalah letaknya di rak di luar kedai. Majalah tidak berbalut plastik sebagaimana buku-buku yang lebih mahal dan lebih menarik pengisiannya. Buku-buku yang berharga, berbalut plastik dan tersimpan kemas di dalam almari kaca, paling tidak pun tersusun rapi di atas rak kayu. Hendak membacanya, perlu dibeli. Berbeza dengan majalah, dapat dibelek-belek ke depan, ke belakang. Akhirnya, majalah tersebut diletakkan balik ke tempatnya. Tanpa ada  yang membeli. Begitulah ibaratnya, seorang wanita yang menutup aurat sebaik mungkin dengan mereka yang sebaliknya. 

#ANALOGI 4 BIJI BOTOL


Analogi lain yang dapat cik arkitek kaitkan. Apabila ingin membeli air minuman, kita diberi pilihan untuk memilih, yang pertama air yang tinggal separuh, dan botolnya tidak berpenutup. Yang kedua, air yang masih penuh, tetapi botolnya tidak berpenutup. Yang ketiga, air yang tinggal separuh dan botolnya berpenutup. Yang terakhir, air yang masih penuh dan botolnya berpenutup. Yang mana akan jadi pilihan. Tentunya, yang terakhir yang akan menjadi pilihan, kann? siapa mahukan air yang telah tercemar kerana botolnya yang tidak ditutup seperti pilihan pertama dan kedua. Dan, siapa pula yang menginginkan air yang mungkin telah diminum orang lain seperti pilihan ketiga. 


#Botol pertama: Airnya sudah tinggal separuh dan botolnya tidak berpenutup. Hal ini boleh dikaitkan dengan ungkapan 'sudah ditebuk tupai'. Seseorang yang kurang menjaga aurat dan pergaulannya dengan mereka yang bukan mahram.

#Botol kedua: Airnya masih penuh, tetapi botolnya tidak berpenutup. Gambaran ringkas mengenai seseorang yang masih tahu menjaga aurat dan pergaulannya, namun cara menutup auratnya masih belum sempurna, tudung tidak labuh menutupi dada, berpakaian ketat dan menampakkan bentuk badan, dan sebagainya.

#Botol ketiga: Airnya tinggal separuh, tetapi masih berpenutup. Gambaran seseorang yang masih tahu menjaga aurat, namun, kurang menjaga pergaulannya sesama bukan mahram. Auratnya juga tidak ditutup dengan sempurna. Atau disebut sebagai, membalut aurat.

#Botol keempat: Airnya masih penuh, dan botolnya bertutup rapi. Inilah yang terbaik. Gambaran bagi seorang wanita yang auratnya ditutup sempurna dan pergaulannya dijaga rapi, serta sifat malu menghiasi diri dan menjadi benteng daripada melakukan larangan Allah.



#TUTUP AURAT VS BALUT AURAT

Pakai tudung sudah seperti satu trend. Pakai tudung semata-mata kerana berfesyen. Tanpa kita sedar atau mungkin kita menyedarinya, bahawa pakai tudung bukan semata-mata pakai tudung, tetapi satu tuntutan agar kita menjaga aurat kita daripada terlihat oleh mereka yang tidak berhak. Tapi, apa yang terlihat hari ini, tudung bermacam-macam jenis. Itu bukan kesalahan. Tetapi, yang menjadi kesilapannya adalah apabila kita seolah-olah mencipta aturan sendiri. Pakai tudung, tapi baju jarang, seluar ketat. Pakaiannya menampakkan bentuh badan. Mungkin masyarakat hari ini, melakukannya kerana tidak tahu. Dan, di situ peranan kita untuk membetulkan keadaan supaya mereka tahu. Amar Makruf dan Nahi Munkar. Mengajak berbuat kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Apabila azab Allah datang, ia tidak mengenal siapa. Seluruh anggota masyarakat akan menerima kesannya.


Tak kisahlah fesyen tudung yang bagaimana menjadi pilihan. Yang lebih utama adalah, ia menepati syariat Allah. Mematuhi syariat Allah itu suatu kewajipan dan bukan pilihan. Apabila kita sudah mengakui kita ini muslim dan beriman kepada Allah, mematuhi perintah dan syariat Allah adalah kewajipan tidak ada istilah 'tunggu dulu,' 'belum sampai seru.'

Memang perubahan itu tidak mampu dilaksanakan secara tiba-tiba. Mendadak. Tapi, kita perlu laksanakannya. Sedikit demi sedikit. Setiap perubahan menuju kebaikan memang akan menempuhi bermacam-macam dugaan. Ada ketika, diri terasa letih. Ada ketika diri terasa sia-sia apa yang dilakukan. Tapi, kita akan mampu menghadapinya, dengan meminta kekuatan dari Allah. Kalau kita benar-benar mahu kembalikan diri kita ke landasan fitrah, kebaikan, kita mohon kepada Allah semoga setiap hal dipermudahkan. 

Allah sentiasa membantu hambaNya yang meminta pertolongan.


#DARI MATA JATUH KE HATI

Pandangan pertama rezeki. Pandangan kedua maksiat. Mata mampu mendatangkan pelbagai kesan kalau penggunaannya tanpa berdasarkan al-Quran. Al-Quran merupakan manual hidup kita. Sebagaimana, barangan elektrik mempunyai manual penggunaannya, begitu juga diri kita. 'Pencipta' kita telah menyediakan manual yang sebaiknya untuk kita guna pakai agar kita mampu mengendalikan diri kita untuk melunaskan tanggungjawab, mengapa kita diciptakan. 



"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku."
 -Surah az-Zariyat: ayat 56.-

Ini manual kita.
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." Surah an-Nur, ayat 31

Allah yang mencipta kita. Allah tahu apa yang kelemahan kita. Kerana itu Allah memerintahkan kita supaya meundukkan pandangan. Hanya dengan pandangan mata kita mampu mengheret diri kita ke arah kebinasaan. Yang mana, pada awalnya hanya berpandangan, membawa kepada bibit perkenalan. Lama-kelamaan kehadirannya dirasakan mengisi 'kekosongan' hati yang sepatutnya diisi dengan pentarbiyahan buat diri. Kita semakin leka, dan terus leka, tanpa kita sedar kita sedang berbuat dosa. Syaitan terus menampakkan seolah-olah kita tidak salah. Apabila dosa yang dilakukan terasa manis, dan kebaikan dirasakan pahit. Kita terus tertipu. Mulanya hanya dari mata. Membawa ke beberapa kesan lain. Pandangan yang kemudiannya menuju ke hati, membuatkan kita alpa dan leka. Dalam hati kita ini, cuma boleh ada satu. Sama ada Allah atau bukan Allah. Tidak akan ada kedua-duanya sekali. Apabila hati kita sarat dengan perasaan lagha, di mana Allah? Di mana Allah di hati kita? Sepatutnya, hati kita sarat dengan kecintaan dan kerinduan buat Allah, Pencinta Agung.




"Wanita hiasan dunia, seindah hiasan adalah wanita solehah."

wassalam. 
cik Arkitekk :)

No comments:

Post a Comment