Tuesday, June 29, 2010

Putus Cinta?



Air mata titis ke bumi, sedih melanda hati, pilu mencengkam diri. Inilah dia natijahnya sebuah percintaan
antara uda dan dara, yang akhirnya terkandas di persimpangan. Dan seterusnya bernoktah di situ. Tangisan menjadi teman, gelora di hati ditanggung sendiri. Dari sinilah tampak jelas mengapa salahnya sebuah hubungan yang tanpa ikatan sah. Hubungan yang mereka sangkakan cinta, sayang. Hakikatnya, hanya memeritkan hati. Tak tertanggung derita. Mengeluh sendiri. Seharusnya, kita belajar dari kesilapan ini. Dan mendidik diri agar tidak mengulangi tingkah yang kita sangka sangat remeh. Tapi, hakikatnya, mengundang duka yang tak tertanggung dek hati. Sehinggakan hati itu alpa dan hanyut dibuai duka cinta manusia dan lupa pada cinta Agung Sang PENCIPTA yang selayaknya menerima cinta. Bukan mahu menuding jari mengungkap tuduhan, tapi andai hati dibuai rindu pada yang bergelar makhluk, rindu yang tidak berteraskan iman, adakah terselit rindu buat PENCIPTAnya? Persoalan ini, mampu kita jawab sendiri.
Ramai orang mengatakan, 'aku menyintai dia kerana agamanya, pekertinya,..' tapi sayang, itu hanya sekadar ungkapan di bibir, bukan yang terzahir pada jasad, tidak juga pada hati. Bergurau senda, usik mengusik. Pasangan yang belum sah perhubungannya, saling usik mengusik. Gelak tawa. Entah apa yang diusikkan sehingga terhambur tawa. Dan apabila terluka, air matalah sahabat setia.
Justeru, tika berhadapan saat sulit ini, kembalilah pada ALLAH. DIA yang telah menentukan setiap suratan yang terjadi pada diri kita, sudah tentulah, DIA yang lebih mengerti tentang hikmahnya.Mengadu padaNYA, kerana DIA yang paling memahami. Didik hati agar mengerti hikmah ketentuan NYA. Pimpin hati agar melupakan dia, dan menyintai DIA. DIA tidak pernah sesekali melupakan mu, sedangkan kamu yang sering melupakanNYA. Episod yang kamu kira duka dalam hidup kamu itu, itu merupakan episod bahagia, kerana DIA menitipkan kamu peringatan, agar tidak lalai dari mengingatiNYA. Justeru, syukur itu pastinya utama! Kesyukuran yang wujud, itu kemudiannya pasti akan membuahkan cinta, mahabbah. Tetapi, sudah tentunya ia tidak akan bercambah tanpa diberi baja rohani. KalamNYA, yang sememangnya dititipkan untuk hamba-hambaNYA yang mahu berfikir. Jangan sesekali kamu menyangka, hilangnya cinta seorang manusia buat kamu, menyebabkan hidup kamu bakal merana, hakikatnya adalah, hilangnya cinta manusia itu tidak mengganggu kehidupanmu walau sedikitpun. Sebaliknya, andai kamu kehilangan cinta PENCIPTA CINTA, mana mungkin kebahagiaan mampu kamu kecapi..

Orang bilang cinta itu memeritkan,
ya, ia mungkin memeritkan andai salah langkahnya,
Tapi, hakikatnya cinta itu sangat indah,
andai betul landasannya..


wallahu'alam..
wassalam~
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

No comments:

Post a Comment