Thursday, August 11, 2011

Perkongsian Ramadhan :)

Assalamualaikum..

Alhamdulillah. Fasa kedua bulan Ramadhan sudah berkunjung. 
Kelmarin, seusai tamat mengerjakan Solat Sunat Tarawih, sebagaimana kebiasaan, tazkirah di waktu selingan antara Solat Tarawih dan Solat Witir berjalan sebagaimana hari-hari sebelumnya.
Dalam pada itu, saya sempat mencuri-curi baca buku teks Sejarah, memandangkan saya akan menghadapi ujian keesokan harinya. (jangan ikut.) 

Alhamdulillah.
Dalam sibuk-sibuk menelaah buku teks sejarah,  sempat juga menangkap pengisian yang dibawa oleh ustaz yang sedang memberi tazkirah. Subhanallah. Waktu itu, rasa syukur lahir dalam jiwa. Deria kurniaan Allah begitu berharga. Dalam pada mata menatap teks Sejarah, sempat lagi deria pendengaran menangkap pengisian tazkirah yang dibawa oleh ustaz yang sedang semangat memberi perkongsian ilmu. Lebih-lebih lagi apabila tajuk yang sedang ditelaah adalah berkaitan dengan akidah.


" Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ (surah al-Baqarah ayat 183)

Taqwa.
Dalam tulisan jawi, perkataan taqwa dieja dengan huruf 'Ta', 'Qaf ', 'Wa' dan 'Ya'.

'Ta'-Taqwa
Untuk mencapai Taqwa, yang pertama perlu ada taubat.
Sebagaimana yang diutarakan ustaz tersebut, rata-rata kita hari ini, hanya melafazkan istighfar pada bibir, tanpa bertaut dengan hati. Istighfar merupakan pengakuan taubat kita kepada Allah. Istighfar dan zikir, dua perkara yang berbeza. Zikir merupakan pengakuan kita membesarkan Allah. Istighfar sebagai penyesalan dan pengakuan kita memohon keampunan dari Allah. Pencinta Agung. 
Analogi yang diutarakan ustaz pada malam itu; sekiranya kita ingin meminta maaf dari rakan, ahli keluarga atau siapa sahaja dalam kalangan insan yang kita cintai, adakah kita sekadar mengulang-mengulang ucapan maaf kita tanpa penyesalan dan pengakuan mengenai kesilapan yang kita lakukan. Begitu juga dalam memohon keampunan Allah. Malah, seharusnya lebih lagi.

'Qaf'-qanaah
Yang kedua, untuk mencapai taqwa, perlu dengan Qanaah. Rasa cukup dengan rezeki yang Allah kurniakan. Dalam erti kata lain, bersyukur dengan pemberian Allah. Dalah hal dunia, kita dianjurkan untuk melihar orang di bawah kita. Supaya dengan hal ini, kita akan bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan buat kita. Namun, sebaliknya dalam hal akhirat; amal ibadah, kita dianjurkan untuk melihat mereka yang di atas. Mereka yang lebih baik daripada kita. Supaya kita terdorong untuk meningkatkan amal kita.
Ustaz juga ada menyebut, penyakit orang yang beramal, sering berpuas hati dan rasa cukup serta bangga dengan amalan yang dilaksanakan. Sebagai contoh, seorang yang sering berjemaah di surau, merasakan amalannya sudah cukup kerana dia membandingkan dirinya dengan orang yang solat sendirian. Ini kesilapan masyarakat kita. Kita sering berlumba-lumba untuk melaksanakan perkara dunia. Mengejar kejayaan yang sementara. Tapi, kita selalu meletakkan KPI dalam ibadah kita pada tahap yang rendah, dan kita terlalu mudah berpuas hati dengan ibadah yang kita laksanakan. Satu perkara lagi, penentuan syurga atau neraka tempat kita, bukan bergantung pada ibadah yang kita lakukan. Tetapi, hal ini bertaut dengan rahmat Allah. Kalaulah dihitung amalan kita, takkan mampu dan tak layak untuk kita duduk di syurga Allah.

'Wa'-Warak
Warak diertikan sebagai berhati-hati. Takwa diertikansebagai berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan agar tidak melampaui batasan yang ditegah oleh Allah.
 Umar al-Khattab pernah bertanya kepada Ubay bin Ka’ab tentang takwa.
 Ubay berkata: “Pernahkah kamu berjalan di suatu jalan yang penuh berduri?”
 Jawab Umar: “Ya”.
Tanya Ubay lagi: “Bagaimana kamu melaluinya?”
Kata Umar: “Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh.”
 Lalu Ubay berkata: “Itulah makna takwa.”
Orang yang bertaqwa akan berhati-hati dalam setiap hal yang akan dilakukannya, agar tidak melanggar larangan Allah.

Yang terakhir, 'Ya'-yakin.
Seorang yang bertaqwa, benar-benar yakin dengan janji-janji Allah.
* tak fokus masa huruf yang terakhir. hilang point :)

Wallahua'alam.
Betulkan mana yang salah.
norsyafiqahsaifulanuar:)


No comments:

Post a Comment