Wednesday, October 13, 2010

PMR selesai, Dewan Peperiksaan Dunia masih dihuni.

assalamualaikum..

Alhamdulillah, medan peperiksaan yang menjadi wadah pertempuran buat beberapa ketika telah pun melabuhkan tirai. Kini, diri ini meneruskan kehidupan dalam dewan peperiksaan yang lebih besar. Dunia. Ya, dunia ibarat dewan peperiksaan. Dewan peperiksaan besar yang dihadapi oleh setiap manusia. Al-hasilnya bakal kita peroleh di akhirat nanti. Jangan sekali-kali disangka tiada lagi keperluan untuk menimba ilmu apabila sudah selesai peperiksaan. Sebaliknya, teruskan usaha mencari setitik ilmu daripada lautan ilmu ALLAH. Ilmu ALLAH terlalu luas. Ilmu ALLAH ada di mana-mana. Menuntut ilmu fardhu atas setiap muslim. Bagi menjamin sejahtera dunia mahupun akhirat. Bagi melalui peperiksaan besar (ujian dunia) juga perlunya ilmu.

Kita selalu menyiap siagakan diri untuk menghadapi peperiksaan. Tidak kiralah peperiksaan itu apa tahapnya. UPSR, PMR mahupun SPM. Tidak pernah seseorang pun berbuat sambil lewa bagi menghadapi detik ini. Namun, manusia sering lupa akan hakikat diri yang berada di dalam dewan peperiksaan besar, yang nanti bakal menatijahkan hasil yang juga sangat besar ertinya pada diri. Dewan besar ini menjadi saksi atas setiap usaha. Hasilnya juga bergantung atas setiap titis keringat yang gugur. Sejauh mana dimanfaatkan masa-masa singkat di dewan gergasi ini, sebanyak itulah ganjaran yang diperoleh. Sebaik mana kualiti amalan diberi, sebanyak itulah pahala yang menanti.

Purata umur umat nabi Muhammad adalah antara 60-70 tahun, dan amatlah sedikit mereka yang melebihi daripada itu. Dengan umur yang hanya beberapa detik inilah kita berhempas pulas mencipta usaha di dewan dunia ini. Itupun, sekiranya usia kita menjangkau ke pertengahan abad. Setelah tiba masa dijanjikan, berangkatlah kita ke barzakh. Menanti detik mengutip setiap hasil daripada peperiksaan besar yang kita hadapi di dunia. Segalanya tergantung pada amal dan bakti. Tepuk dada, tanya selera, sejauh mana persediaan menghadapi peperiksaan besar (dunia) ini, adakah setanding dengan peperiksaan umum yang hanya menjanjikan kejayaan di dunia?

wallahu'alam
wassalam,
anaqi.norsyafiqahsaifulanuar

No comments:

Post a Comment