Wednesday, December 7, 2011

Maaf..

Photobucket

Bismillahirrahmanirrahim.

Memaafkan bukan mudah. Kadang-kadang, satu kesalahan atau perbuatan buruk seseorang itu mampu menutup semua kebaikannya kepada kita, sehingga kita sukar untuk memaafkannya. Tapi, semua ini mampu kita hadapi, mampu kita jalani dengan sebaik mungkin andai kita benar-benar beriman kepada Allah. Keimanan yang diakui melalui lisan, yang seterusnya dibenarkan dalam hati membawa kepada pembuktian melalui kehidupan kita. 

Daripada Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu telah berkata : Aku mendengar Rassulullah S.A.W bersabda : Sesungguhnya Allah berfirman (maksud) : Wahai anak Adam! Apabila engkau memohon dan mengharapkan pertolonganKu maka Aku akan mengampunimu dan Aku tidak menganggap bahawa ia suatu yang bebanan. Wahai anak Adam! Sekalipun dosa kamu seperti awan meliputi langit kemudian kamu memohon keampunanKu, nescaya Aku akan mengampuninya. Wahai anak Adam! Jika kamu menemuiku(selepas mati) dengan kesalahan sebesar bumi, kemudiannya kamu menemuiKu dalam keadaan tidak syirik kepadaKu dengan sesuatu nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan terhadap dosa sebesar bumi itu.
- Riwayat imam Tarmizi dan kata beliau ia adalah hadis Hasan Sohih -

Allah mengampunkan hambaNya, Rasulullah ampunkan ummatnya. Siapa kita untuk tidak memaafkan orang lain? Siapa kita untuk menghukum dan enggan memaafkan manusia lain? 

Memaafkan itu menenangkan hati. Tapi, dendam mengeruhkan hati. Hati kita tidak akan pernah mampu merasai ketenangan. Setiap hari, hati kita, akal kita ligat mencari silap dan peluang untuk menabur dendam. 

#Mereka menyakitkan hati! Tidak tahu menghormati hati orang lain. Bagaimana?
Apapun realiti sikap mereka, mereka adalah manusia. Seperti kita. Melakukan kesilapan. Memaafkan mereka adalah jalan terbaik. Menyimpan dendam dan terus bermasam muka bukan penyelesaiannya. Lebih baik setiap masa kita digunakan, dimanfaatkan untuk kita mengemudi diri kita dan membangunkan diri agar dapat berbakti kepada agama bukannya memerah otak, membiarkan hati terus berkecamuk dengan dendam. Sia-sia. Kita mungkin sangka, kita akan memperoleh kepuasan apabila dendam kita terbalas. Hakikatnya, TIDAK. Dendam hanya jarum syaitan. 

Tidak memaafkan akan menyebabkan kita sentiasa dibayangi peristiwa ataupun hal yang berkaitan. Hati kita tidak tenang. Tidak memaafkan menyebabkan kita terus-terusan mencari kesalahan dari pihak berkenaan. Otak sibuk berhempas pulas menangkap kesalahan dari pihak berkenaan. 



#Dia yang mulakan dulu!
 Dia mulakan dulu? Ini formula rahsia dalam sesebuah ukhuwwah yang diketengahkan oleh Hilal Asyraf dalam novel sinergi menerusi watak Irfan Hakimi. 

Hubungan aku dengan orang lain, adalah tanggungjawab aku dengan Allah. Hubungan orang lain dengan aku adalah tanggungjawab orang lain dengan Allah. Tak kiralah bagaimana orang lain melayan aku, aku tetap akan menjaga hubungan aku dengan orang lain kerana ia tanggungjawab aku kepada Allah.

Antara dendam dan kasih sayang. Yang mana kita pilih? Rasulullah, semasa pembukaan kota Mekah telah memaafkan penduduk mekah yang dulunya mengganggu dan memperlekehkan kerja dakwah baginda. Adakah kita memilih untuk menuruti sunnah Rasulullah atau terus hidup dalam dendam yang tak berpenghujung. 

Maafkan mereka,
Kerana kita juga tidak sempurna,
Siapa kita
untuk menghukum si pendosa
Sedangkan diri kita juga sering alpa,
dan mengabaikan tanggungjawab kita.
Kembali padaNya,
Maafkan dengan hati terbuka,
semoga keampunannya mengiringi kita,
hamba yang kerdil lagi hina.

#saya dah maafkan dia! Tapi, kenapa saya masih meluat untuk memandang wajahnya?
Orang selalu kata, forgive but not forget. Memang, kesalahan atau satu kesilapan itu diumpamakan paku-paku yang membenamkan diri pada dinding. Apabila dicabut akan meninggalkan kesan. Tapi, kalau kita betul-betul melaksanakan tanggungjawab kita kepada Allah, kita mampu menghadapinya dengan sabar. Sebab kita percaya dan yakin dengan Allah. 

#susahlah. Kita nak buat baik pada dia, tapi dia tak boleh terima dan sakitkan hati pula..
Sabar. Itu kuncinya. Mungkin itu satu bentuk ujian dan Allah sedang berbicara dengan kita soal kesabaran dan sejauh mana kita mampu bertahan untuk melunaskan tanggunjawab kita terhadapNya. Mana ada ubat yang sedap. Walaupun pahit, pengakhirannya, insyaAllah baik. Sebab, Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya. Adalah hasil yang lumayan menanti. Kalau bukan di sini, di sana nanti.


Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan shalat, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.QS. Al Baqarah (2) : 153


Memaafkan memang tidak mudah. Tetapi kita perlu melakukannya. Kita juga berbuat silap dan mengharapkan kemaafan dan pengampunan. 

Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara, sebab itu demikianlah ( perbaikilah hubungan ) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat. -surah al-hujjurat, ayat 10-

Wallahua'lam.
Wassalam.
Cik Arkitek.

No comments:

Post a Comment